Friday 28 March 2014

Cuti Sekolah di Kampung

Cuti persekolahan hanya seminggu sahaja. Perancangan sudah dilakukan sejak dari awal lagi. Sememangnya menjadi kemestian pada kami sekeluarga untuk pulang ke desa Mr. Hubby di kala cuti sekolah. Hanya inilah saat untuk anak-anak meluangkan masa bersama-sama tok wan mereka, berkenal-kenalan dengan sanak saudara dan jiran tetangga juga.
Sudah menjadi kebiasaan juga setiap kali pulang ke kampung maka Mr Hubby akan bawa kami sekeluarga bertandang ke rumah adik-beradiknya. Setakat ini tidak pernah gagal biarpun pulang ke kampung hanya tiga empat hari namun perancangan Mr Hubby telah disusun awal. Aku memahami, Mr Hubby amat akrab dengan adik-beradiknya dan seboleh mungkin dia mahukan ikatan yang kukuh terjalin bukan hanya antara kami tetapi juga pada anak-anak kami kelak.

Anak-anak juga seakan telah tahu, dari rumah Long di Ayer Itam, rumah Pak Ngah di Pendang, rumah Mak Anjang di Sungai Petani, rumah Pak Su di Kuala Nerang dan rumah Mak Teh yang hanya tinggal di kampung berdekatan. Mak Chaq akan pulang ke kampung juga jika kami ada biarpun dia tinggal di Tunjang bersama mertuanya. Kebetulan pula ada kenduri kakap ipar Pak Lang di Sungai Petani maka keluarga besar ini dapat berkumpul walau tidak lama.

Amira dan Ameer amat sebati dengan jiwa desa sementara Nina sedikit cerewet dan memilih. Mujur juga anak-anak Mak Tamnya ada bersama menjadi kawan-kawan mereka yang menjadikan suasana bingit dengan sikap saling berkejaran antara satu sama lain.

Cuaca panas dan kering di kampung tidak membataskan aktiviti anak-anak untuk saling berkejaran di luar rumah juga. Nina yang manja mengadu padaku sikap Amira yang bermain kotor, menconteng pasir dan daun-daunan untuk dijadikan sebagai bahan seakan masakan. Aku kata tidak apa... Dia mengadu lagi, Amira bermain air dan pepasir yang menjadikan lopak kecil, juga aku kata tak apa... lantas dia kehairanan dengan menyoal aku pula, "mama tak marah kakak main kotor, main pasir, main tanah?"

Aku memahami persoalan yang tergambar di benaknya lantaran sebelum ini aku mendisiplinkan anak-anak untuk tidak berbuat demikian apabila berada di rumah kami sendiri. Dalam senyum aku menjawab, "tak apa di kampung, di kampung inilah masanya nak main pasir. Kalau adik nak main pun pergilah..."

Pastinya suasana desa amat berbeza dengan kawasan perumahan kami sendiri. Biarpun kampung Mr Hubby telah dikelilingi pembangunan namun rumah-rumahnya masih lagi bercirikan kampung dengan jiran tetangga ramah-tamah dan saling mengenali sekalipun dari hujung jalan hinggalah ke hujungnya lagi. Dengan suasana desa ini, ada sawah di hadapan rumah yang kontang dan kemudiannya pasaraya besar Tesco dengan hotel Grand Alora.

Ameer pula lebih gemar mengejar ayam itik tok wan. Berlarian berkeliling rumah dengan kayu panjang tergengam di tangan. Sawah bendang di depan rumah yang kontang turut menjadi tempat Ameer bermain. Ceria tanpa awasan atau tegahan dari aku dan Mr Hubby. Biarlah dia selami kehidupan anak desa yang tidak pernah dilaluinya sebelum ini.










No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers