Tuesday 30 December 2008

Maal Hijrah dan Tahun Baru

Tahun Baru Hijrah 1430H dan Tahun Baru 2009... sesungguhnya kedatangan tahun baru adalah sesuatu yang mendebarkan. Penuh dengan semangat, inspirasi dan komitmen untuk sesuatu yang baru, perancangan pada satu perjalanan hidup yang menuntut pelbagai cabaran... Apa yang pasti kesabaran menjadi taruhan....
Apabila tiba tahun baru, pastinya usia juga meningkat – ia bukanlah sesuatu yang menakutkan – sekadar suatu nombor untuk kelangsungan hidup kerana apa yang penting ialah pengisian sepanjang usia tersebut, suka duka mewarnai diri yang secara tidak langsung mematangkan fikiran untuk suatu kronologi hidup yang lengkap....
Dan lagi, yang berkait dengan tahun baru ialah azam baru...sedikit senyum tercalit dibibir memikirkannya... Apa azam baru untuk tahun ini?
Tepuk dada tanya selera... Jawabnya, peningkatan kualiti hidup dengan kesempurnaan akal dan fikiran.... Merialisasikan impian-impian yang telah direncanakan, untuk semua insan tersayang dan juga diri sendiri...
SELAMAT TAHUN BARU!!!

Wednesday 24 December 2008

Pulang Ke Desa...

Amira di hadapan rumah berlatar bendang dan pasaraya besar... antara imej moden dan tradisi...

Pembangunan tidak pernah ada noktah, termasuklah di Kg. Mempelam Alor Setar juga... tempat kelahiran suami yang telah menjadi sebahagian dari kampungku juga. Memang pembangunannya pesat, jauh berbeza jika dibandingkan dengan suasana lima tahun lalu ketika pertama kali aku menjejakkan kaki ke sini...
Apapun, yang paling gembira sekali apabila mendengar nama kampung ialah Amira... hinggakan tak mahu kembali ke Ibu Kota kerana ligatnya bermain di kampung... anak kota yang hatinya akan tetap bersalut dengan adat dan ciri-ciri kampung serta budaya Melayu – harap abah dan mama!

Friday 12 December 2008

Ikatan Kasih Abadi 12 Disember

Dalam alam rumah tangga, bersama merancang kebahagiaan, impikan kesejahteraan, menyulam kasih dan sayang, menganyam kasih dan rindu... biarpun dengan onak dan ranjau berduri, seiring melangkah saling menyokong dalam meniti suka dan duka.... Semoga berkekalan ke akhir hayat bersama putera dan puteri pengikat cinta....

Ikatan Kasih Abadi

Thursday 11 December 2008

Catatan 11 Disember

Tiba-tiba tergambar di fikiran ketika bersantai mengisi ruang semasa... betapa, pejam dan celik, pejam dan celik masa berlalu memintas kenangan. Entah sama ada dalam sedar atau tanpa sengaja terfikir di benak masa berlalu dengan pantas... mungkin kerana alpa atau leka dengan tugas seharian. Tetapi sesungguhnya, perjalanan menyedarkan bahawa setiap apa yang dilakukan sama ada semalam, hari ini atau esok sekalipun sememangnya ia adalah tanggungjawab seharian untuk kelangsungan hidup. Demi sebuah tanggungjawab sebagai insan dan hamba kepada-Nya, wanita dan isteri yang menghuni ruang hati suami serta anak dan ibu kepada dua generasi berbeza. Benarkah?

Menatap wajah anak-anak, setinggi kesyukuran dipanjatkan... atas apa yang telah dilimpahkan... sedar tak sedar Amira meniti usia kanak-kanak... mula memahami setiap tingkah dan ayat yang diluah, mengamati dan menilai sebelum mengaplikasikan untuk dirinya sendiri. Malah Ameer juga telah mengenali raut wajah bonda dan ayahandanya dengan butiran suara tanpa kata menutur bicara. Bahagia atas kesejahteraan yang dilimpahkan. Dapat melihat detik waktu yang berlalu dalam proses pendewasaan mereka sedang meniti di minda masa pengisian yang akan dicanai untuk permata jiwa. Bagaimana?

Tuesday 9 December 2008

Penantian...

Pagi ini sekali lagi aku hubungi, bertanya tentang statusnya sedangkan dalam hati telah aku tahu jawapannya... seperti biasa 'masih dalam proses', dan memang jawapan sama yang aku peroleh sejak lebih dari sepuluh tahun lalu....

Terkilan... memang... hampa... ya, tapi aku tak akan putus asa. Aku tahu untuk mendapat sesuatu yang dihajati bukan semudah berkata sahaja. Aku akur dengan segala prosedurnya tetapi lumrah insani, sesekali hati kecil mengeluh juga. Persolan yang bermain di minda, mengapa terlalu lama masa yang diambil sedang usia tidak pernah menanti barang sedetik pun..., pilunya rasa hati.

Tuesday 2 December 2008

Antara cita-cita dan juga impian

Terlalu banyak yang ingin dilakukan. Antara cita-cita dan juga impian. Pengorbanan dituntut pada satu perjalanan yang panjang. Jika pernah dikorbankan untuk masa depan maka kini apa lagi yang dituntut demi kesinambungan perjalanan kesekian kalinya. Suatu keputusan untuk satu kepuasan yang entah bila akan terjadi.

Sunday 16 November 2008

Ke Zoo Negara

Cuti, bawa Amira dan Ameer ke Zoo Negara bersama dengan anak-anak abang Hakim dan anak anag Bullah. Penuh satu kereta tapi meriah. Nasib kami baik kerana kebetulannya hari ini kanak-kanak percuma sempena tajaan dari ING. Bayangkan, dengan jumlah kanak-kanak seramai lima orang tak termasuk Ameer.

Friday 14 November 2008

Ke Makam Bonda

Puisi ini pernah ku baca, aku gemari lalu aku kaji bait-bait katanya lewat usiaku belasan tahun lalu, malah aku menyusuri makna rangkapnya dengan penuh sayu dan syahdu...dan dewasa ini aku bukan setakat memahaminya malah telah pun melaluinya sendiri.... Dan di Aidilfitri yang lalu... aku bertemankan suami dan anak-anak bersama bapa dan abang-abang yang lain berkunjung ke pusara mak... dengan lafaz bismillah surah Yassin kami bacakan, bertahlil dan berdoa agar rohnya tenang dan bersama orang-orang yang beriman... Al-Fatihah!!!

Kami mengunjungi pusara bonda
Sunyi pagi disinari suria
Wangi berseri puspa kemboja
Menyambut kami mewakili bonda

Tegak kami di makam sepi
Lalang-lalang tinggi berdiri
Dua nisan terkapar mati
Hanya papan dimakan bumi

Wednesday 12 November 2008

Kerinduan buat bondaku


Suara seorang ibu
Rintihnya di dalam sendu

Keluhnya tanpa ku tahu

Hiba terasa bertakung rindu...


Semalam ketika menonton sinetron Wulan, pada babak Wulan dan Awan berkunjung ke pusara, tiba-tiba Amira bersuara, “mama, macam kubur nenek kan.... Nenek dah meninggal ada dalam kubur.” Dan aku kelu lidah tanpa suara hanya menganggukkan kepala. Tiba-tiba pula hati terasa syahdu. Kerinduan teramat sangat pada arwah mak.... Terbayang wajahnya, jernih matanya, pandangannya, kelibatnya, pesanannya, suaranya dan segala tentangnya.

Memang aku tidak pernah sedetik pun lupa pada arwah mak. Kemana saja aku pergi pesannya mengiringi. Seringkali juga ketika aku memandu sendirian sama ada ke pejabat atau dalam perjalanan pulang ke rumah akan terbayangkan mak... ketika mak sakit, terbaring di katil. Memang tiada rasa terkilan kerana hingga ke akhir hayatnya aku berada di sisi mak, dapat menjaganya... memandikan, memberi makan, tidur bersamanya pada malam-malam terakhirnya di rumah tetapi... aku rasa jika lah masa dapat diulang kembali akan aku lakukan lebih baik lagi....

Saturday 8 November 2008

Gurindam Anakanda (buat Amira Farhana)


Puisi ini aku tulis ketika usia Amira baru dua bulan, dan kemudian tersiar dalam laman e-sastera.com pada Jun 2005.

Ketika aku tulis puisi ini aku berada di pejabat, waktu itu kerinduan pada anak sulungku amat terasa apatah lagi, abahnya yang ketika itu menghantarnya ke Taska buat pertama kali baru lepas menghubungiku.

Katanya, sayu hati apabila menyerahkan permata jiwa ke tangan orang lain untuk diasuh... biarpun cuma seketika tetapi detik perpisahan amat terasa. Bergenang airmataku mendengarnya..., namun ku pujuk jiwa yang lara agar laksanakan amanah kerja dengan sempurna lantas apabila tamat waktu bekerja aku dapat segera bersama dengannya.

Wednesday 22 October 2008

Kembali lagi

Lama dah tak imbau blog ni, alasan tempat memang sepatutnya diketepikan tapi itulah realitinya. Kalau di pejabat, memang secara total gagal untuk mencari waktu seminit dua sekali pun, adakalanya waktu rehat terguna untuk agenda lain... dan kemudian niat untuk menulis tertangguh. Kononnya, niat disimpan untuk menulis apabila sampai di rumah. Tapi nampaknya terbengkalai juga, berada di rumah lagilah tak sempat. Terkejar dengan Ameer dan kak longnya yang penuh dengan pelbagai ragam.

Minggu ni memang sedikit lelah, pelbagai tentatif telah diatur dan cuba disesuaikan dengan masa suami agar masa bersama keluarga dapat digunakan. Memandangkan abah kak long masa bekerja tak macam orang lain, maka kenalah pandai-pandai sendiri untuk mencari ruang bersama.

Sebenarnya sejak awal perkenalan dengan suami lagi masa kami memang selalu sahaja bertindih tetapi apabila ada yang terluang maka masa tersebut akan digunakan sepenuhnya untuk mengganti masa yang berlalu. Semoga persefahaman ini akan berkekalan....

Monday 13 October 2008

Hujung minggu

Hujung minggu menghabiskan masa di rumah sahaja tapi aku gagal mencuri masa untuk memenuhi ruang catatanku. Tumpuanku pada tugas harian rumahtangga dan anak-anak. Alhamdulillah anak-anakku tidak banyak masalah dan cuma sesekali saja kak long buat hal, dia memang cerewet... banyak sedikit kerenahnya yang menuntut kesabaran.

Sesekali aku cuba melarikan diri dari fikirkan hal-hal pejabat apatah lagi yang berkaitan dengan politik semasa tetapi sesungguhnya, lumrah kehidupan... sememangnya ia sebahagian daripada hal-hal semasa yang perlu diikuti.

Friday 10 October 2008

Permulaan


Sesuatu yang baru...sememangnya telah lama diimpikan untuk mempunyai blog sendiri tetapi nampaknya baru hari ini ia mampu direalitikan. Beban tugas yang digalas di pejabat dan tanggungjawab selaku isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata sesungguhnya menuntut pengurusan masa yang bukan sedikit.

Pelbagai tugas dilakukan sesempurna yang mungkin dengan hati sentiasa cuba bersifat lapang agar apa yang dilaksanakan dapat dibuat dengan ikhlas. Namun apabila ada masa yang terluang, tidak tercapai juga impian melayar blog sendiri kerana telah kelelahan. Adakalanya duduk tersandar di sofa atau terbaring melayan kerenah anak-anak di hadapan tv.

Memang sesekali tergambar difikiran... seakan terbayang saat-saat remaja lalu. Walau sesibuk mana sekalipun, ruang penulisan tidak pernah dilupakan malah ia telah sebati dalam diri untuk sentiasa berkarya, namun kini setelah berumahtangga apatah lagi memiliki cahaya mata, menulis yang dahulunya menjadi hobi seakan samar dari jangkauan....

Harapan tersemat di hati agar blog ini menjadi titik permualan untuk meneruskan impian yang tidak terlaksana, sekurang-kurangnya sebagai tempat meluah rasa apabila yang terbuku di kalbu gagal dihamburkan...
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers