Tiba-tiba tergambar di fikiran ketika bersantai mengisi ruang semasa... betapa, pejam dan celik, pejam dan celik masa berlalu memintas kenangan. Entah sama ada dalam sedar atau tanpa sengaja terfikir di benak masa berlalu dengan pantas... mungkin kerana alpa atau leka dengan tugas seharian. Tetapi sesungguhnya, perjalanan menyedarkan bahawa setiap apa yang dilakukan sama ada semalam, hari ini atau esok sekalipun sememangnya ia adalah tanggungjawab seharian untuk kelangsungan hidup. Demi sebuah tanggungjawab sebagai insan dan hamba kepada-Nya, wanita dan isteri yang menghuni ruang hati suami serta anak dan ibu kepada dua generasi berbeza. Benarkah?
Menatap wajah anak-anak, setinggi kesyukuran dipanjatkan... atas apa yang telah dilimpahkan... sedar tak sedar Amira meniti usia kanak-kanak... mula memahami setiap tingkah dan ayat yang diluah, mengamati dan menilai sebelum mengaplikasikan untuk dirinya sendiri. Malah Ameer juga telah mengenali raut wajah bonda dan ayahandanya dengan butiran suara tanpa kata menutur bicara. Bahagia atas kesejahteraan yang dilimpahkan. Dapat melihat detik waktu yang berlalu dalam proses pendewasaan mereka sedang meniti di minda masa pengisian yang akan dicanai untuk permata jiwa. Bagaimana?
Namun dalam masa yang sama, getir dihati gagal disembunyi. Kegelisahan atas apa yang bakal terjadi dan kemungkinan-kemungkinan yang menanti di hari esok. Apatah lagi diahir-akhir tahun begini, mengingatkan diri bahawa pelbagai perkara boleh terjadi. Atas takdir yang telah dituliskan, atas harapan yang diimpikan dan atas alam yang tiada pernah melupakan. Kerana itu, perumpamaan ‘sediakan payung sebelum hujan’ terlintas difikiran. Persediaan atas kemungkinan yang bermain dalam akal... untuk keluarga dan rumah tangga, untuk anak-anak dan juga untuk diri sendiri... Mampukah kemungkinan yang ada dilalui dengan kekuatan dan ketenangan serta keredhaan sekiranya ia benar-benar berlaku suatu hari nanti... dengan ikhlas atas ketentuan sebelum sampai noktahnya?
No comments:
Post a Comment