Monday, 18 January 2010

Masa yang berlalu

Tahun 2010 sudah hampir sebulan berlalu namun aku masih gagal meluangkan masa terbaik untuk mengatur kehidupan apatah lagi dalam penulisan.

Kedatangan tahun ini memang penuh dengan pelbagai hal; dari tanggungjawab terhadap kerjaya hinggalah kepada urusan dalam keluarga dan rumahtangga. Satu suasana baru di tahun baru, persekitaran yang asing apabila berlaku pertukaran dalam bahagian di pejabat. Biarpun aku sememangnya telah biasa dengan hampir kesemua kakitangan yang berada bersama ku di sini, di samping kerja-kerja yang dilakukan masih sama dengan tugas hakiki sebelum ini namun sesekali terasa juga keterasingan... mungkin masa akan membiasakan nanti.

Dalam masa yang sama aku menghitung hari... menanti detik menerima orang baru dengan tahap kesihatan yang sentiasa aku utamakan. Semoga kesejahteraan dan kesihatan akan mengizinkan aku menghadapi detik tersebut; dalam tenang aku gementar biarpun ini bukan yang pertama atau kedua kali... rasanya masih sama juga dengan suasana untuk menimang cahaya mata pertama lima tahun lalu....

Thursday, 7 January 2010

Jadilah Anak Yang Solehah, Amira

Tanggal 7 Januari, semoga anakandaku Nur Amira Farhana menjadi insan berilmu, tabah mengharungi badai mendatang... teguh dengan cita-cita di dada dan penuh rasa cinta pada agama, bangsa dan negara. Doa mama padamu anakku, semoga cekal dan sentiasa bersemangat dengan menikmati setiap detik masa tanpa keluhan dan rasa cemas. Redhalah atas apa jua ketentuan setelah usaha dan doa dipanjatkan. Yakinlah, selagi dirimu dihiasi takwa dan iman, Insya-Allah, jalanmu pada masa hadapan akan membahagiakan....


Friday, 18 December 2009

Salam Maal Hijrah

Semoga kehadiran 1 Muharam ini akan memberi seribu makna dalam kehidupan, insyaAllah, cita-cita yang selama ini terpendam akan menjadi realiti berlandaskan perancangan yang akan dilaksanakan.... Salam Maal Hijrah

Tuesday, 15 December 2009

Ulang Tahun ke-6


Tanpa sedar masa datang dan berlalu pergi bersama kenangan demi kenangan.... Sesungguhnya tarikh 12 Disember tetap kan terpahat dalam ingatan; tanda terpatrinya aku sebagai isteri apabila ijab dan kabul sah dilafaz. Enam tahun lalu bertempat di masjid As-syakirin, Gombak impian menjadi nyata apabila ikatan kasih untuk bersatu dalam alam rumahtangga setelah hampir tiga tahun mengayam impian menjadi realiti.

Alhamdulillah, sepanjang usia enam tahun bahtera rumahtangga ini berada di pelayaran, gelombang mendatang sambil sesekali disusuri angin kencang dapat direntas; lantas kesyukuran dipanjatkan kerana tiada pernah terbakar keimanan antara kami atau ada ribut taufan yang gagal diharungi.

Thursday, 10 December 2009

Kehilangan


Bukan mudah untuk menerima berita tentang kehilangan insan tersayang apatah lagi ianya berlaku secara mengejut dan sesungguhnya itulah yang aku lalui awal bulan lalu. Sungguh aku agak terkilan dengan apa yang berlaku kerana pemergian abang Solo tanpa sebarang tanda, apatah lagi beberapa hari sebelum itu kami berbual di talian...biarpun tak lama tapi selorohnya berkaitan kematian mengingatkan aku mungkin itulah tandanya.

Abang Solo satu-satunya abang aku yang tidak membesar dan tinggal bersama kami adik beradik kerana dia dijaga oleh ibu saudara sebelah mak di Singapura. Namun begitu, biarpun jauh tetapi kemesraan sebagai adik-beradik tidak pernah terbatas apatah lagi aku sebagai adiknya yang bongsu dan tunggal perempuan pastinya sentiasa menjadi keutamaan. Malahan ketika zaman kanak-kanak dan remajaku, tuntutlah apa sahaja daripadanya pasti aku akan dapat; juga sehingga aku berumahtangga suamiku pula menjadi teman akrabnya apabila berkunjung ke sini.

Saturday, 21 November 2009

Malam Anugerah Bintang Hati 2009, Anggur Unggu



Malam ini acara padat untuk meraikan Amira sempena ‘Malam Anugerah Bintang Hatiku’ bertempat di Tadika Anggur Unggu. Sejak usia dua bulan hingga kini Amira terasuh di taman asuhan ini. Kemudian diikuti oleh Ameer.

Walaupun Amira telah lama di taman asuhan ini tetapi sifatnya di taska amat berbeza, apapun dia sentiasa ceria apbila pulang ke rumah…

Wednesday, 18 November 2009

Berkunjung ke Taman Rama-rama Kuala Lumpur

Dalam sarat mengandung, mencari tempat percutian yang tidak banyak menggunakan kos, masa singkat, tempat menarik dan apa yang penting anak-anak suka. Maka jawapannya adalah Taman Rama-rama Kuala Lumpur. Terletak berhampiran Taman Tasik Perdana, dibuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang pada setiap hari dengan bayaran masuk yang dikenakan hanya RM5 bagi dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak. Di sinilah wujudnya keindahan flora dengan rama-rama pelbagai spesis bebas berterbangan. Taman di tengah Kota yang sememangnya ibarat berada di alam khayalan….

Tuesday, 20 October 2009

Masa Terbaikku...


Bagi seorang wanita yang berkerjaya, tentunya tanggungjawab terhadap tugas adalah perkara utama...mahu disempurnakan sebaik mungkin tanpa ada sebarang cacat cela, walau adakalanya menuntut penelitian dan kosentrasi yang tinggi... tetap aku ingin tunaikan.

Bagi seorang isteri yang berkerjaya, tentunya perlu bijak menangani permasalahan antara rumahtangga dan juga kerja-kerja di pejabat namun kesyukuran dipanjatkan atas kerjasama dan persefahaman dalam hubungan keluarga bersama pasangan...

Monday, 7 September 2009

Ramadan dan kenanganku...

Indahnya Ramadan, bulan yang penuh dengan nikmat untuk kita rebut sebagai bekalan kita di hari kemudian... Namun demikian, di Ramadan ini penuh kesyahduan atas kenangan silam yang bersama keluarga, arwah mak dan adik-beradik yang ramai....

Suatu waktu dahulu, ketika aku masih dalam alam sekolah rendah Ramadan adalah bulan paling sibuk untukku dan keluarga. Setelah seharian berpuasa, maka berbuka bersama adalah satu kemestian. Dalam ingatanku, waktu itu aku berbuka bersama mak dan bapa, abang Maili, abang Cici, abang Kamal, abang Bullah dan abang Hakim... sementara kakak, abang Daili dengan abang Solo dah ada rumahtangga sendiri dan tidak tinggal bersama kami.

Untuk sebuah keluarga besar yang lebih ramai lelaki, tentunya aku yang banyak membantu mak walaupun ternyata tugas aku sekadar menghidang makanan dan mencuci pinggan lantas yang lain mak sudahkan sendiri sepenuhnya, tanpa bantuan sesiapa walaupun mesin dan blander bagi memudahkan kerja seperti hari ini.

Lepas Maghrib, kami akan berbual kosong sementara menunggu Isyak dan kemudian bersolat terawikh dengan berimamkan bapa sementara kami semua menjadi makmumnya. Ini memandangkan kedudukan surau yang agak jauh di samping tiada kemudahan kenderaan selain daripada basikal tua bapa dan basikal BMX abang Hakim saja. Sesekali ada juga beberapa orang jiran tetangga turut serta menjadikan ruang tamu rumahku penuh hinggakan pernah tak cukup ruang....

Monday, 24 August 2009

Influenza H1N1


Wabak Selsema Babi atau H1N1 di Malaysia nampaknya kian serius. Setakat ini sudah lebih 60 orang meninggal dunia akibatnya. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pula menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika orang ramai tidak mengambil serius langkah pencegahan bagi menghalang penularannya.

Lantaran itu, marilah sama-sama kita berusaha untuk mencegahnya, bukan hanya kepada diri dan keluarga tetapi persekitaran juga perlu dilihat sebagai faktor penting yang perlu dititiberatkan.

Sunday, 23 August 2009

Syahdu Ramadan

Ramadan datang lagi...
namun suasananya berbeza
kali ini aku di perantauan
demi tugas dan tuntutan kerjaya
jauh dari tawa sendu anak-anak
tanpa suara mesra sanak keluarga
yang ada teman-teman bersama berkongsi suasana
menyambut sederhana atas kesyukuran nikmat-Nya

Thursday, 20 August 2009

Berjauhan….

Sesungguhnya ini bukanlah pertama kali aku berjauhan dengan keluarga, tetapi yang pasti inilah kali pertama aku berpisah dengan mereka hampir dua minggu... suatu jangka masa yang bukan sekejap bagiku.... Biarpun suami dan anak-anak bukan di hadapan mata tetapi setiap hembusan nafas ini maka merekalah yang tergambar di wajah. Alhamdulillah, teknologi moden mendekatkan kami walaupun dalam waktu yang terhad tetapi suara dan perkhabaran mereka masih mampu mengubat sekelumit dari selautan rindu yang ada.

Sememangnya, tuntutan tugas yang tergalas di bahu memaksa aku berjauhan di Utara, walaupun terlalu berat rasa hati tetapi demi amanah aku laksanakan juga dengan redha. Syukur, suami amat memahami dan mengambil tugasku sebagai ibu dan bapa pada anak-anak di samping sentiasa memberi sokongan atas apa yang aku lakukan.

Pada Amira dan Ameer, semoga kelak kalian memahami naluri hati dan perasaan mama yang terpaksa meninggalkan kalian bukan sehari dua... dan semoga kalian juga tidak menyalahkan mama atas perpisahan seketika hinggakan terpaksa merubah rutin harian kalian mengikut masa dan keadaan mama dan abah, namun ketahuilah bahawa sesungguhnya nilai kasih dan sayang seorang ibu tiada pernah sekelumit maupun sebesar zarah sanggup berjauhan dengan anak-anaknya....