Tuesday, 29 June 2010

Ayahandaku


Sebak terasa memikirkan usia lanjut pak dengan kesihatan yang tenggelam timbul, sekejap ada dan sekejap hilang malah ada kalanyakedangkalan menguasai fikiran ku ekoran kesihatan pak. Memang, kesian pak...mungkin pak perlukan perhatian dari semua anak-anaknya namun bagaimana mungkin anak-anak pak faham naluri tua pak?

Sedaya mungkin aku ingin menguasai tanpa perlu emosi. Aku nak jaga pak selagi hayat pak ada. Memang pak dah tua... entah berapa agaknya usia pak sebenar kerana yang tercatat dalam kad pengenalan jauh lebih muda dari yang sebenar. Dianggarkan usia pak dalam 80++, entahlah.

Friday, 11 June 2010

Pertengahan tahun 2010

Menjengah pertengah tahun 2010, apa yang telah dicapai sepanjang waktu tersebut?

Alhamdulillah... bila diingat, diimbas semula rentetan hari-hari bermulanya tahun ini sejak Januari lalu terbukti bahawa kebaikan melebihi keburukan, bahagia bertambah biarpun sesekali ada juga kedukaan menyelinap.

Perkara utama, rezeki melimpah ruah. Setinggi kesyukuran kepada Ilahi atas rahmatnya kepada hamba-Mu ini Ya Allah.

Selepas diuji dengan kesakitan dan kesulitan pastinya terbayar dengan kebahagiaan dan kesejahteraan, rezeki yang tiada putus biarpun apa yang datang berbeza dengan apa yang diminta. Yakin, semua ini adalah aturan yang telah ditentukan, yang terbaik buat diriku dan keluarga.

Semoga perjalanan hidupku ini terus dipermudahkan oleh-Nya.

Monday, 31 May 2010

Ungkapan Jiwa

Kehidupan,... beginilah realiti sebuah perjalanan yang penuh dengan rintangan. Hati sentiasa mendambakan sebuah kesejahteraan dan kebahagiaan yang abadi hingga ke akhir hayat. Namun naluri pula seringkali berada dalam ketakutan pada sebuah fantasi yang akan mengganggu kemurnian mimpi.

Lantaran diri tetap tidak berubah. Walaupun berbagai rintangan yang menghalang suatu ketika dahulu semuanya dapat ditepis dan diketepikan tetapi mengapa seringkali ada sahaja gangguan hinggakan hati remuk redang, tidak tahu apa yang akan dilakukan.

Tuesday, 11 May 2010

Kerja...kerja...kerja...


Tak habis cuti pantang 60 hari aku diminta kembali bertugas awal seminggu dari tarikh yang ditetapkan.... Arghhhh...kelam kabut jadinya, apa nak dibuat... rasa kecut perut dan terus jadi tertekan dengan amanah di rumah yang belum mampu diuruskan.... Sudahlah baby Afrina baru saja keluar wad 3 April, dan kemudian 11 April kena mula bertugas (kebetulan bday suami tersayang). Patutnya mula bekerja 19 April... Dengan berat hati terpaksa aku terima, itu pun setelah suami tersayang menenangkan diri, memahami tanggungjawab tergalas biarpun pada mulanya dia juga mengeluh panjang.... Sekali lagi, kak Mah datang dari Ayer Itam Kedah untuk menjadi pengasuh anak-anakku, sudahlah semasa baby Arfina berada di wad, kak Mah juga yang menjaga kak long dan Ameer. Cuma bezanya kali ini kak Mah datang dengan pak... bapa mertua yang cukup memahami; mungkin suamiku mewarisi sifat tersebut dari pak.

Thursday, 11 March 2010

Sendiri...


Menyusur perjalanan hidup dengan berpantang sendiri selepas kelahiran cahaya mata ketiga bukanlah semudah yang dijangkakan. Sesungguhnya inilah cabaran yang perlu ditempuh bagi memastikan kesihatan kembali pulih, cuma kali ini banyak berbeza dengan keadaan ketika berpantang anak sulung dan kedua....

Paling terasa, kerinduan kepada bonda amat mendalam.... Ketika anak sulung dilahirkan bukan sahaja arwah bonda menemani malah arwah ibu mertua turut bersama. Walaupun ibu mertuaku cuma berada di sisi beberapa hari tetapi kehadirannya cukup bermakna. Namun demikian hayatnya tak lama dan apabila kelahiran anak kedua, ibu mertuaku sudah tiada. Ketika itu arwah bonda masih bersama...biarpun sudah tiada daya sebagaimana orang muda tetapi masih berupaya menemani saban masa. Paling penting apabila meriba baby ketika senja dan berjaga sama apabila anakku bangun menyusu di tengah malam atau di waktu dinihari.... Kemudian, arwah bonda menyahut seruan ilahi ketika aku baru sahaja lima hari kembali ke alam kerjaya sebaik habis berpantang.

Wednesday, 17 February 2010

Anugerah Terindah


Alhamdulillah... setinggi kesyukuran dipanjatkan atas kurniaan ilahi yang tidak ternilai... kelahiran cahaya mata ketiga, seorang lagi puteri yang tentunya akan memeriahkan keluargaku. Alhamdulillah juga, aku dipermudahkan dalam menjalani dugaan bukan sahaja sepanjang masa kehamilan malahan juga detik-detik kelahiran yang sememangnya tidak terjangkau dalam khayalanku...

Inilah dia wajah Nur Afrina Farisha yang dilahirkan Selasa 16 Februari 2010 dengan berat 3.25kg.

Thursday, 4 February 2010

Hilang Mood

Pernah atau tidak secara tiba-tiba bagaikan hilang semangat dan tidak tahu apa yang harus dilakukan dalam meneruskan tanggungjawab dalam kerjaya? Memang benar bahawa tidak ada seorang pun insan yang suka dikritik namun secara terbuka, kita terpaksa berdepan dengan kenyataan bahawa kita tidak pernah malah tidak mungkin sempurna.

Sewajarnya diakui bahawa krikitan mampu mengubah haluan dan jika diambil secara positif ia akan memberikan kematangan sebagai impak dalam pemikiran. Namun demikian, kritikan yang membunuh hanya akan mengecewakan dan melemahkan lagi keadaan tanpa mampu untuk diubati.... Lantas, untuk langkah seterusnya apakah yang harus dilakukan selain daripada kesabaran dan ketabahan agar masa yang buruk tidak terus membelenggu....

Monday, 18 January 2010

Masa yang berlalu

Tahun 2010 sudah hampir sebulan berlalu namun aku masih gagal meluangkan masa terbaik untuk mengatur kehidupan apatah lagi dalam penulisan.

Kedatangan tahun ini memang penuh dengan pelbagai hal; dari tanggungjawab terhadap kerjaya hinggalah kepada urusan dalam keluarga dan rumahtangga. Satu suasana baru di tahun baru, persekitaran yang asing apabila berlaku pertukaran dalam bahagian di pejabat. Biarpun aku sememangnya telah biasa dengan hampir kesemua kakitangan yang berada bersama ku di sini, di samping kerja-kerja yang dilakukan masih sama dengan tugas hakiki sebelum ini namun sesekali terasa juga keterasingan... mungkin masa akan membiasakan nanti.

Dalam masa yang sama aku menghitung hari... menanti detik menerima orang baru dengan tahap kesihatan yang sentiasa aku utamakan. Semoga kesejahteraan dan kesihatan akan mengizinkan aku menghadapi detik tersebut; dalam tenang aku gementar biarpun ini bukan yang pertama atau kedua kali... rasanya masih sama juga dengan suasana untuk menimang cahaya mata pertama lima tahun lalu....

Thursday, 7 January 2010

Jadilah Anak Yang Solehah, Amira

Tanggal 7 Januari, semoga anakandaku Nur Amira Farhana menjadi insan berilmu, tabah mengharungi badai mendatang... teguh dengan cita-cita di dada dan penuh rasa cinta pada agama, bangsa dan negara. Doa mama padamu anakku, semoga cekal dan sentiasa bersemangat dengan menikmati setiap detik masa tanpa keluhan dan rasa cemas. Redhalah atas apa jua ketentuan setelah usaha dan doa dipanjatkan. Yakinlah, selagi dirimu dihiasi takwa dan iman, Insya-Allah, jalanmu pada masa hadapan akan membahagiakan....


Friday, 18 December 2009

Salam Maal Hijrah

Semoga kehadiran 1 Muharam ini akan memberi seribu makna dalam kehidupan, insyaAllah, cita-cita yang selama ini terpendam akan menjadi realiti berlandaskan perancangan yang akan dilaksanakan.... Salam Maal Hijrah

Tuesday, 15 December 2009

Ulang Tahun ke-6


Tanpa sedar masa datang dan berlalu pergi bersama kenangan demi kenangan.... Sesungguhnya tarikh 12 Disember tetap kan terpahat dalam ingatan; tanda terpatrinya aku sebagai isteri apabila ijab dan kabul sah dilafaz. Enam tahun lalu bertempat di masjid As-syakirin, Gombak impian menjadi nyata apabila ikatan kasih untuk bersatu dalam alam rumahtangga setelah hampir tiga tahun mengayam impian menjadi realiti.

Alhamdulillah, sepanjang usia enam tahun bahtera rumahtangga ini berada di pelayaran, gelombang mendatang sambil sesekali disusuri angin kencang dapat direntas; lantas kesyukuran dipanjatkan kerana tiada pernah terbakar keimanan antara kami atau ada ribut taufan yang gagal diharungi.

Thursday, 10 December 2009

Kehilangan


Bukan mudah untuk menerima berita tentang kehilangan insan tersayang apatah lagi ianya berlaku secara mengejut dan sesungguhnya itulah yang aku lalui awal bulan lalu. Sungguh aku agak terkilan dengan apa yang berlaku kerana pemergian abang Solo tanpa sebarang tanda, apatah lagi beberapa hari sebelum itu kami berbual di talian...biarpun tak lama tapi selorohnya berkaitan kematian mengingatkan aku mungkin itulah tandanya.

Abang Solo satu-satunya abang aku yang tidak membesar dan tinggal bersama kami adik beradik kerana dia dijaga oleh ibu saudara sebelah mak di Singapura. Namun begitu, biarpun jauh tetapi kemesraan sebagai adik-beradik tidak pernah terbatas apatah lagi aku sebagai adiknya yang bongsu dan tunggal perempuan pastinya sentiasa menjadi keutamaan. Malahan ketika zaman kanak-kanak dan remajaku, tuntutlah apa sahaja daripadanya pasti aku akan dapat; juga sehingga aku berumahtangga suamiku pula menjadi teman akrabnya apabila berkunjung ke sini.