Wednesday, 20 August 2025

Kak Pia Kembali Ke Rahmatullah...


Aku mengiring kak Pia pulang ke rumah abadi ... menyusul abg Maili yang mendahulu Februari lalu. Tamat cerita kita di sini.

Betapa janji Ilahi itu pasti dan pemergian mereka mengingatkan diri bahawa kematian terlalu amat dekat... sebagaimana kak Pia yang sihat namun dlm sekejap 'dijemput' dengan mudah kembali kepada-Nya. Indahnya kepulangan, mudahnya segala urusan dan lancarnya perjalanan... moga demikian juga kisah diri ini kelak..

Perkhabaran diterima ketika aku di pejabat. Pukul 3.27 petang sedang aku duduk diruangan pejabat bersama-rakan secara santai. Mamas bertelefon... katanya: Mak dah tak ada. Aku yang duduk terus bangkit terkejut lanataran berita yang tiba-tiba. Sungguh aku terkejut. Katanya, tak sakit pun malah pagi tadi menonton tv seperti biasa sebelum anak-anak meninggalkannya untuk keluar bekerja. Sekitar tengahari bersama cucu yang masih awal persekolahan dia mengadu sakit perut dan dada terasa panas... tak lama terus pergi dengan mudahnya. 

Allahu... teringat ruang masa bersamanya ketika kenduri abang Bullah akhir Julai lalu, waktu merewang pun bersama Mr Hubby dapat menghantarnya pulang ke rumahnya. Berkali-kali dia ucap terima kasih sedangkan kami anggap biasa saja. 

Mengenangnya maka aku teringat arwah abang Maili. Kamilah anak-anak bapak... abang Maili, kak Pia dan kami yang lain berlainan mak namun ikatan adik beradik tetap terpelihara. Sungguh aku tak banyak kenangan masa lampau dengan kak Pia lantaran usia kami yang berjarak puluhan tahun malah anaknya yang sulung pun sebaya abang Hakim. Namun apabila usia semakin matang maka jalinan silaturrahim diperkukuh dengan pemahaman dan kebersamaan kami semua. 

Sungguh, open house Aidilfitri di rumah tahun 2023 menjadi ruang terakhir aku, abng Maili dan kak Pia berkumpul bersama... tahun lepas kami tak berkumpul dan tahun ini tak ada dah... entah apalah yang kami bualkan dalam ruang yang amat jarang berlaku iu... dan kini tinggal kenangan.

Justeru hargailah tiap yang ada dan binalah momen bersama kerana setiap ruang adalah peluang. Jika tidak mereka yang pergi maka barangkali kita yang mendahului. Mohon maaf atas segala khilaf. Moga baik-baik semua. Al-Fatihah untuk semua yang menduhului... 

No comments: