Monday, 3 September 2018

Batam... Penyatuan Dalam Persaudaraan

Abang Hakim sebut... niat nak ajak Ika tengok mamang di Batam. Tanpa fikir panjang terus aku persetujuinya... juga tanpa minta izin dari Mr Hubby lantaran aku maklum bahawa Mr Hubby tentu bersetuju. Menziarahi orang tua yang uzur, bersaudara, mengeratkan ikatan silaturrahim adalah keutamaan Mr Hubby. Pesannya yang sentiasa aku ingati, apabila kita membina ikatan pada saudara arwah mak dan bapa yang dah tak ada maka pahala berganda-ganda akan sampai kepada orang tua kita di sana.

Teringat pula pada Zura yang menyuarakan keinginannya pada akhir pertemuan kami Februari lalu untuk berkunjung ke Batam dan menjejak saudara di sana... apatah lagi arwah abang Daili pernah tinggal bersama mamang Awwab di zaman remajanya. Aku maklumkan pada Zura perancangan kami walaupun tarikhnya masih tiada. Terus juga dia bersetuju atas izin suaminya. Siap sedia bila-bila masa. Kami ajak abang Kamal dan abang Bullah bersama tetapi mereka tidak berkelapangan.


Dalam masa seminggu, tarikh dipersetujui... kebetulan cuti awam sempena Hari Kemerdekaan 31 Ogos. Anak-anak tak semua yang dibawa, hanya Ammar dan Amani sementara abang Hakim hanya Humaira dan Zura pula hanya Aishah. Niat kami bukan melancong tapi menziarahi satu-satunya orang tua yang ada.

Aku maklumkan pada Wiya di Batam, anak mamang Awwab berkaitan perancangan kami dan tarikh kebangkatan serta keberadaan kami. Sembilan orang semuanya, lima dewasa, empat kanak-kanak ditambah seorang bayi. Enggan lagi muncul secara mengejut sebagaimana kunjungan terdahulu yang tentunya membuatkan tuan rumah jadi kelam-kabut dan kami diulit rasa bersalah. Biarpun tiba-tiba namun terancang.

Kami bertolak awal pagi dari rumah, sekitar pukul 5.00 pagi agar pemanduan Mr Hubby lancar tanpa kesesakan jalan raya dan kami dapat meluangkan masa yang lebih di sana. Anak-anak yang ditinggal pula bersama kak Hamda, berkumpul dengan anak-anak abng Hakim ditemani abang Bullah sekeluarga. Subuh kami singgah saja di hentian lebuhraya.

Pukul 9.00 pagi kami sudah berada di Pelabuhan Stulang Laut. Kereta ditinggalkan di situ dengan kadar bayaran hanya RM3 sehari. Tiket pergi dan balik telah aku beli melalui online dengan harga RM130 seorang, kanak-kanak  RM89 (tidak termasuk cukai balik dari Batam) sementara bayi hanya perlu bayaran cukai sahaja.   
Feri kami pukul 11.45 pagi. Sementara menantikan waktu berlepas pukul 11.15 pagi, kami makan bekalan yang dibawa. Rutin apabila berjalan jauh mesti bawa bekalan.

Feri ke Batam tak ramai orang, barangkali masih awal dan orang masih bekerja. Anak-anak dapat bermain santai dalam feri, berlarian dan bergurau senda sedangkan kami yang lain melayan mata yang mula mengantuk. Zura bimbang mabuk jika ombak kuat, maka kami duduk di bahagian hadapan bot.

Alhamdulillah perjalanan lancar dan ombak pun tak kuat... cuma sesekali apabila berselisih dengan kapal besar maka terasalah olengan di permukaan laut. Dua jam perjalanan namun perbezaan waktu Indonesia yang lewat sejam menjadikan kami tiba hampir pukul 1.00 tengahari. Keluar saja dari pelabuhan, Wiya bersama suaminya telah sedia menanti kami dengan senyuman menyambut kedatangan. Erat pelukan, ramah teguran, penuh santun dan tertib menyambut ketibaan kami.

Dua kenderaan yang dipandu Wiya dan suaminya. Kota Batam masih tak banyak berubah daripada kunjungan aku beberapa tahun yang lalu. Pembangunan masih terus berjalan dan kesibukan jalannya bercampur antara kereta, motor dan kenderaan lain.

Kami terus di bawa ke Bengkong Harapan, rumah mamang Awwab... tempat tujuan asal. Mamang telah sedia menunggu di laman rumah dalam keuzurannya. Walaupun Wiya memberitahu bahawa ingatan mamang adakala ingat adakala lupa namun dia terus menyebut nama Malik sebaik saja bersalam dengan Mr Hubby. Bibik pula terus sibuk ke dapur. Ada Waqib juga yang menunggu ketibaan kami.

Hidangan terus diangkat ke ruang tengah. Bertali arus mereka mengangkat makanan yang pelbagai sedangkan kami hanya berlima dewasa sementara anak-anak makannya hanya sesuap dua. Ikan bakar pencek mangga, sayur campur, ayam goreng dan macam-macam lauk-pauk yang tak terhabis untuk kami makan. Amani terus diraih bibik agar aku dapat tekun menjamu selera tanpa anak kecil dipangkuan. Keceriaan memenuhi ruang dengan saling bertukar cerita tentang suasana semasa. Tidak terasa canggung meskipun terlalu amat jarang kami berkumpul sedemikian.

Kami bersantai merehatkan badan, menunaikan solat dan saling bercerita. Kemudian Wiya berkata... kak, lepas Asar sudah habis penatnya ayok kita putar-putar.

di rumah Wati bersama Mak Mus
Eh... nak kemana pula sedangkan kami bukan berniat untuk bercuti pun, cuma nak berkunjung menemui orang tua kami. Inilah satu-satunya yang tinggal. Adik arwah mak yang dulu kerap ke Kuala Lumpur, mak sakit diziarah... aku kahwin diraikan... malah dalam keadaan mak tenat mamang Awwab ada bersama sehinggalah ke nafasnya yang terakhir dan habis kendurinya tujuh hari. Kini giliran kami untuk melihat orang tua yang semakin surut kesihatannya.

Wiya kata tak apa... nanti kita kembali lagi. Tapi abang Hakim tak mahu ikut kerana mahu bersama mamang dan memang pun dia tak suka pun berjalan-jalan, lebih gemar menghabiskan masa di rumah saja.

ini 'bunga kembang...'
Kami singgah di rumah Mude, anak mamang Awwab juga yang tak jauh dari sini. Baru 36 hari melahirkan anak ketiganya, namun lagaknya sudah seakan lepas hari dari berpantang. Rumahnya cantik, gaya kontemporari dengan hiasan pelbagai gitar di ruangnya... diluar pula pelbagai tanaman yang digubah kreatif oleh Opeq sendiri.  Kemudian singgah di rumah Wati, menantu mamang Awwab yang anaknya bekerja di Johor. Wati tak ada di rumah tapi maknya ada maka kami bergambar bersama.

Terus ke Masjid Jabal Arafah, sebuah masjid yang gah di atas bukit. Indah dan cantik. Dimiliki seorang hartawan yang sangat dermawan. Kami bermaghrib di sini dengan jemaahnya yang ramai. Wiya kata, masjid ini memang sentiasa ramai jemaahnya terutama pada bulan Ramadan. Kebanyakan mereka dari sekitar sini, penghuni tengah Kota Batam di Nagoya. Kawasan Nagoya amat besar, ada shopping mall, kedai-kedai yang pelbagai,  tempat-tempat makan selain pelbagai kerlipan lampu menghiasi kawasannya. 

Menara Masjid Jabal Arafah
Kami berpeluang menaiki ke Menara Masjid Jabal Arafah. Tiketnya hanya 5000 rupiah untuk seorang. Ada lif tersedia dan di atasnya ada ruang untuk meninjau sekitar kawasan Batam yang pesat. Kilauan lampu bergemerlapan. Dari atasnya boleh ditinjau kawasan sekitar Nagoya yang tersergam. Dari kejauhan juga terlihat pelbagai hotel yang indah. Maju Kota Batam jauh tak terjangkau dari fikiran.

Kemudian kami berjalan ke sebelah bawahnya pula, ada cafe dan gerai jualan barang cenderamata. Terus menuruni tangga yang boleh tembus ke Nagoya Mall. Tapi kami tak ke situ. Wiya kata kita tengok bunga kembang... rupanya kami dibawa makan ke sebuah restoran makanan 'mamak'. Kami makan murtabak, roti telur dan minus es jeruk. Rupanya ini 'bunga kembang' Wiya... hahaha.

Hari kedua, hari Jumaat. Kami meluangkan masa berpagian ke Pasar Bengkung Harapan yang hanya sekitar 50 meter dari rumah mamang Awwab. Pasar yang menjual pelbagai barangan, dari barangan basah hinggalah ke barangan kering. Kak Jun menemani kami... kakak sepupu anak arwah bibik Tayyibah yang sangat pendiam. Dia mengambil cuti hari itu... 'libur' katanya tapi mungkin kerana kedatangan kami mahu diraikannya....

di hadapan kedai mamang Awwab... tak buka 
Singgah di kedai mamang yang tidak dibuka. Biasanya bibik berjualan namun mungkin kerana ada kami maka ditutupnya saja... Ada Icha yang juga menjaga toko... kedai jamu dan barangan kosmetik, di depannya ada kedai sayuran Opeq menantu mamang dengan Waqib yang berjualan. Tauge 2000 rupiah... petola 10,000 rupiah.... Ada pula abang Zahid (adik kak Jun) bersama isterinya yang pemalu... santai kami di situ seketika sebelum menjelajah ke pelosok pasar. Belilah keropok keping... keropok udang dan keropok keladi.

Selepas Jumaat, Wiya janji akan datang untuk membawa kami keluar berjalan-jalan. Dia merancang kami menginap di rumahnya namun kemudiannya terpaksa ditolak dengan berat hati. Kami datang untuk melihat mamang maka biarlah kami bermalam bersama orang tua, lagilah bibik pun tak sihat... rupanya kerana gulanya tinggi. Mulanya Wiya mendesak namun abang Hakim pun tak mahu ikut berjalan maka malam itu Wiya sekeluarga yang tidur bersama kami di sini.

Costarina
perumahan Puri Pujangga
Petang itu kami di bawa ke Costarina... taman permainan yang besar terletak di pesisir laut. Dapat dilihat feri dan kapal besar dari kejauhan. Kami berjalan-jalan di kawasan sekitar dan menaiki permainan yang ada. Bermaghrib di musallah dan seterusnya ke rumah Wiya di kawasan perumahan Puri Lagenda.

Wiya pakar bidan melahirkan yang melaksanakan sendiri di rumah setelah mempunyai pengalaman yang cukup luas. Bukan mudah untuk membuka pusat sedemikian dengan melakukan secara total, profesional dan berlesan. Bilik depannya memang khusus untuk orang bersalin. Ada dua katil yang lengkap dan moden, selain kelengkapan untuk bayi yang baru dilahirkan. Semuanya dilaksanakan sendiri. Tabik 'spring' pada Wiya yang dapat melakukannya dengan sendiri selain ada juga menjahit pakaian dan menerima tempahan dari kenalan, mengurus anak-anak sendiri dan bertanaman di laman depan dan belakang rumahnya. Belum lagi gorengan tempeyek ikan bilis dan kacang tanah hasil air tangannya.

Makan malam kami di rumah Wiya dengan sambal 'cabe setan' yang cukup menyengat, dilawan pula dengan ulam pucuk ubi dan pucuk betik yang telah dicelur, ada tauhu dan ikan goreng, ada kari daging dan sambal tempe dengan terung pipit yang memang marvelous.


Hari ketiga, jadual yang cukup padat dari awal pagi. Abang Hakim tidak turut serta acara 'putar-putar' Kota Batam. Katanya mahu bersama mamang Awwab di rumah. Kak Jun turut bersama kami. Kami dibawa berkeliling Pulau dengan mengunjungi pelbagai tempat pelancongan. Pukul 8.00 pagi kami memulakan perjalanan, bersarapan di kedai Pak Imam Puri Lagenda, iaitu kawasan perumahan Wiya. Kawasan yang cantik bersih terjaga dengan sekuriti keselamatan selain keramahan para penduduk setempat. Kami diberi pilihan untuk menu sarapan pagi, ada nasi lemak, lontong dan nasi kuning/nasi kunyit. Aku memilih nasi kuning... ada tempe, suhun goreng dan lauk ayam goreng. Sedap....

Kebun Bunga Raya
Kemudian meneruskan perjalanan ke Pantai Nongsa. Singgah bergambar di Kebun Bunga Raya Batam. Panas cuaca...terik sangat tapi semangat Wiya dan suaminya untuk membawa kami, bergambar dan melihat kawasan sekeliling amat dihargai. Tak singgah lama pun di Kebun Bunga Raya Batam, terus ke tujuan untuk berpiknik. Boleh tahan juga jauhnya, dalam satu jam perjalanan. Melalui beberapa kawasan padang golf yang menghijau selain beberapa kawasan industri yang sedang dibangunkan. Tiba di Pantai Nongsa, anak-anak terus bermain pasir dan turun ke laut... hanya Ammar yang tak turut serta.
Pantai Nongsa

Cantik juga kawasan pantainya... ada pondok untuk disewa bagi kelengkapan pengunjung. Eh... dapat line telefon dari Malaysia... rupanya Pantai Nongsa ini mengadap Pengerang yang sayup dikejauhan. Taklah jauh sangat dengan Johorkan... Sementara anak-anak bermain pasir dan ombak, kami bersantai dan membuka bekalan yang dah Wiya bawa. Nasi dimasak bibik di rumah awal pagi dan lauk-lauk sudah Wiya order dari isteri Pak Imam Puri Lagenda.

Selesai berzuhor di wakaf yang disewa, kami dibawa Wiya ke rumah Waqib. Memang dah berjanji pun nak datang. Rumahnya di Dapur 12. Tertawa kami mendengar nama tempatnya... rupanya nama tersebut diambil dari wujudnya 12 buah dapur membuat arang suatu ketika dahulu. Kini kawasan itu telah maju maka nama itu kekal dengan Dapur 12. Waqib dan keluarganya sudah sedia menanti ketibaan kami, malah berkali-kali dipesannya pada Wiya jangan tak datang. Anaknya ada dua orang... sepasang, Aziz dan Mila.
rumah Waqib

Isteri Waqib yang ayu sudah siap memasak, cuma ditambah dengan gorengan ikan yang panas-panas. Aduh... ada lagi sambal 'cabe setan' tapi sangat pedas. Tak mampu untuk aku makan. 'Cabe setan' dilawankan dengan ulam raja yang dicelur. Sedapnya... Memang orang Batam suka makan pedas-pedas dan tak terlawan oleh kami semua. Rumah Waqib mengadap pusat pesantren yang mana isterinya akan mengajar mengaji di situ saban petang. Untuk waktu cuti, ada kelas pengajian bagi kaum ibu di musollah berdekatan.  Di sebelah rumahnya pula ada juga pelbagai tanaman, dari pisang hinggalah daunan herba selain membela ayam serama. Selesai memandikan anak-anak dan solat Asar kami bergerak lagi dengan kemesraan yang terus mekar di jiwa.
Kami dibawa ke Jambatan Barelang yang menjadi antara ikon Kota Batam. Gah dan cantik jambatan ini. Dari kejauhan sayup melihat ke penghujungnya yang katanya menjadi penghubung Pulau Batam dengan pulau-pulau kecil di sekitarnya, juga menjadi tempat pelancongan yang mesti dikunjungi. Kami bergambar di sini... di tepi, di tengah dan di seberang sana. Lantaran masa yang suntuk, kami tidak sampai ke hujung pulau yang menyambungkan jambatan tersebut.

Selepas menunaikan solat Maghrib kami singgah sebentar ke Nagoya Mall membeli ole-ole ringkas untuk rakan-rakan. Rupanya ramai orang Malaysia yang membeli di sini... ada key-chain, t-shirt, fridge magnet selain pelbagai makanan dari makanan tradisional hinggalah kepada coklat dan manisan lain. Tak berlama di situ kami terus menuju ke rumah abang Zaid yang memang juga turut menunggu.

makan malam di rumah abang Zaid
Abang Hakim telah sedia dijemput oleh abang Zaid. Rumahnya tak jauh dari rumah mamang Awwab.  Terasa seakan berada dalam kawasan perumahan cerita korea yang ditonton di tv. Berbukit dan bertangga sebelum sampai ke rumahnya. Rumahnya cantik dan moden, hasil tukangnya sendiri.  Adik abang Zaid, Imam turut ada bersama isteri dan dua orang anaknya. Inilah kali pertama aku dapat berkenalan dengan Imam. Terus kemudian ada video call dengan abang Ulom dari Tanjung Pinang. Abang Ulom yang sulung anak arwah bibik Tayyibah sebelum kak Jun, abang Zaid dan Imam di Batam, diikuti Yati di Bawean, selain dua lagi adiknya yang berada di tempat berasingan di Indonesia. Ramainya sepupu sebelah emak yang aku tak kenal lagi...

Abang Ulom pernah aku jumpa sekali waktu dia berkunjung ke Kuala Lumpur lebih 25 tahun dulu. Tentulah aku rasa teruja apabila dapat bercakap dan melihat wajahnya, juga isterinya kak Wati yang juga aku kenali waktu itu. Aduhai saudara... menggamit rasa yang pelbagai di jiwa. Terasa arwah mak mendakap kami semua...

Makan malam kami dihidangkan dengan pelbagai masakan yang sedap-sedap. Banyaknya menu... ada sate Batam kuah kacang atau kuah kicap cili... ada ikan bakar, sup daging, sambal tauhu, sotong masak hitam dan entah macam-macam lagi. Memang sedap dan makanlah kekenyangan....

Masjid Agong
Hari terakhir kami, aku dan Zura ke pasar awal pagi... niat nak cari salak pondo yang memang manis untuk dibawa pulang namun nampaknya tak ada rezeki kami. Terus kami balik dan berkemas sebelum kami didatangi semua ahli keluarga yang lain dan berkumpul di sini beramai-ramai. Menghantar kami hingga ke kenderaan dan mamang Awwab pula turut serta dalam kenderaan lain bersama kak Jun, suami Wiya dan isteri abang Zaid.

Rupanya belum habis... eh... Wiya membelokkan kereta yang kami naiki ke Masjid Agung Kota Batam. Katanya mahu langsung ke pelabuhan tapi kami di sini. Kata Wiya, foto dulu di sini dan mengadap 'Welcome to Batam'.


Aduhai Wiya... habis semua tempat pelancongan kami dibawanya. Bersungguh-sungguh dia melengkapkan apa saja yang kami sebut walaupun sekadar dalam perbualan. Rasa terharu dengan kesungguhan Wiya yang ramah dan melayani kami, membawa ke sana ke sini  walhal kunjungan ini bukan untuk percutian.

Kami berpisah di pelaburan Batam Central. Tiket 10.30 pagi, dan duit tax adalah sekitar 100 ribu rupiah. Alhamdulillah... syukur atas segalanya. Dipermudahkan perjalanan, tercapai hasrat dan kebersamaan yang amat bermakna untuk keluarga besar kami.

Terima kasih semua. Terima kasih abang Hakim yang mencetuskan idea, terima kasih Mr Hubby yang menyokong usaha, terima kasih Zura yang meramaikan dan join sekali kunjungan ini dan terima kasih saudara di Batam yang sangat ramah dan istimewa... Kami sayang anda semua... :-)



 


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers