Kami berkumpul di KLIA pukul 8.00 pagi. Alhamdulillah dipermudahkan perjalanan selama tiga jam setengah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike, Colombo. Bumi Ceylon yang masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan Kuala Lumpur, usahlah berkata soal pembangunan, kemajuan, malah kemudahan awamnya juga seakan-akan wajah Malaysia sekitar tahun 80an atau awal 90an yang lalu. Jalanannya berdebu, penuh dengan kenderaan tuk-tuk serta motosikal yang amat sibuk dalam laluan yang tidak selari, malah apabila sampai di simpang-simpang kecil tanpa lampu isyarat, maka saling berebutlah sesama mereka sehinggakan bunyian hon kenderaan ibarat satu kebiasaan. Suasananya seakan-akan merealitikan filem tamil di layar mata. Ditambah pula dengan kenderaan kami yang berpolis pengiring menjadi perhatian, tiap kali mata menyapa maka pastinya akan ada senyum tergaris. Ramah dan mesra. Mulalah pula minda tergambar wajah Rajinikanth dalam 'Sivaji The Bos'.

Bayangkan, dalam satu acara gilang gemilang yang berlangsung di Teater Nolum Pakuna Mahinda Rajapaksa, acara perasmian berlangsung penuh dengan budaya tradisi masyarakat di sini, ada paluan gendang mengiringi setiap tetamu yang hadir dan kemudian acara menyalakan lampu yang menjadi simbolik kepada masyarakat Sri Lanka. Persembahan kebudayaannya pula sangat menarik dengan tarian penuh bergemerincing loceng kaki yang disulami gerakan setiap anggota tubuh termasuklah gerakan jari dan mata senada.

Lebih mengujakan apabila perwakilan dari Rusia menzahirkan penghargaan kepada Malaysia yang tidak menyalahkan mereka dalam musibah antarabangsa nahas pesawat Malaysian Airlines MH17. Mereka turut mengutuk keganasan terhadap orang awam dan menyeru agar segala pertikaian ditamatkan secara diplomasi, tanpa nyawa sebagai galang ganti.


Untuk membeli-belah tidak ada kesempatan kerana jadual padat namun mujurlah ada pusat membeli belah yang bersambung dengan hotel penginapan kami yang membolehkan aku membeli sepasang baju untuk Mr Hubby dan mainan anak-anak sebagai ole-ole. Sebelum itu dapat juga singgah di kompleks kraftangan Laksala yang menempatkan pelbagai cenderamata, maka aku membeli 'fridge magnet' dan 'keychain' untuk tanda ingatan yang tidak pernah putus pada rakan-rakan dan juga saudara. Rasanya akulah pemborong terbanyak untuk 'fridge magnet' kerana aku enggan ada yang tertinggal atau luput dari ingatan.
Perjalanan ini penuh dengan ilmu yang tidak mungkin aku peroleh sekiranya tanpa ke sini. Bukan hanya aku menyelami tentang politik Asia malah lebih beruntung dapat merasai sendiri budaya masyarakat tempatan. Walau sekejap tetapi meresap, melekat dan membekas dalam hati. Syukur atas kesempatan diberi dan ilmu yang diperoleh!!!

No comments:
Post a Comment