Monday, 8 September 2014

Kenang-kenangan Singapura

Kesempatan meluangkan masa ke Singapura kami gunakan sebaik mungkin, berkunjung ke kawasan persekitaran dengan berkenderaan awam. Menaiki bas dan MRT sebagaimana kebiasaan kepada warga kota Singa. Memang dari awal aku dan Mr Hubby merancang, kami akan bergerak semudahnya sebagaimana kebiasaan orang tempatan. Kami seramai 13 orang, enam dewasa dan tujuh kanak-kanak berkeretapi ke Woodlands CIQ, Singapura dengan Senandung Sutera untuk bersama-sama memeriahkan majlis perkahwinan Yayan. Dua tahun lalu abang Hakim dan Mr Hubby bersama anak-anak turut ke Singapura berkeretapi bersama-sama anak-anak meraikan perkahwinan Hafiz namun tanpa aku yang sibuk dengan kerjaya. Kali ini keterujaan aku ibarat satu percutian bersama keluarga.

Ketibaan kami diiringi dengan renyai hujan pagi Jumaat, membawa kami menaiki teksi menuju ke rumah Nani di Compassvale Lane, Sengkang. Alhamdulillah segalanya berlangsung lancar walaupun berdepan dengan kesesakan lantaran perjalanan kami serentak dengan waktu pejabat di sebelah pagi. Namun sesesak-sesak Singapura masih tidak dapat menyaingi kesesakan di Sungai Besi yang saban hari aku lalui.

Keutamaan adalah untuk majlis perkahwinan Yayan yang berlangsung di Ang Mo Kio maka kami bergerak selesai Zuhor dengan menaiki bas. Lebih mudah kata Nani kerana untuk menaiki MRT kami terpaksa transit sedangkan perjalanan dengan bas hanya sehala sahaja. Selesai Jumaat dan Sabtu memeriahkan majlis perkahwinan Yayan, kami merancang perjalanan dengan tujuan sendiri. Mr Hubby meminta ke Geylang. Ada sejarah di sini, katanya di sinilah satu-satunya kawasan orang Melayu yang masih tinggal di Singapura. Mengikut sejarah, di Geylang Serai inilah bermulanya penempatan orang Melayu sebagai peniaga malah sejak abad ke-19 lagi. Hari ini, hanya kawasan inilah yang tinggal untuk orang Melayu berkumpul seharian, membeli-belah dan makan apa sahaja masakan Melayu. Sementara kampung Jawa yang ada di sebelahnya hanya tinggal tanah kosong untuk tapak pembangunan yang sangat pesat.

Hujung minggu kota Singa ini dipenuhi dengan ramai warga asing yang mencari nafkah di sini.
Sepanjang laluan di Geylang ada ramai pekerja asing, warga Indon dan Filipina yang kebanyakannya pembantu rumah yang menikmati cuti hari minggu. Naik bas pula ramai warga Bangla yang bekerja dalam bidang pembinaan. Masih tidak jauh bezanya dengan Kuala Lumpur.

Untuk membandingkan nilai taraf hidupnya, bagi aku sama juga dengan Kuala Lumpur, perlukan persaingan dan perjuangan untuk meneruskan kehidupan. Bezanya nilai tukaran mata wang mereka jauh lebih tinggi berbanding kita RM.

Kenderaan awam di Singapura menepati masa, tiada kelewatan atau terasa beban lamanya menunggu bas, namun memerlukan langkah yang cerdas kerana perlu juga berjalan kaki yang barangkali bagi orang Malaysia terasa jauh. Tetapi alah bisa tegal biasa bagi orang tempatan di sini.

Selepas menikmati juadah di medan selera, kami berkeliling di sini seketika kemudiannya menuju ke Bedok menziarahi Obek Esah yang semakin lanjut usia. Walaupun usianya melebihi 70 tahun namun kesihatan dan kelincahannya melangkau orang muda. Dia masih aktif berpersatuan malah masih menghadiri pelbagai majlis kenduri kendara.

Pulang ke rumah, aduhai terasa amat bahagia apabila terhidang di meja masakan Herman yang amat menyelerakan. Bertuahnya kami dapat berjalan seharian dengan ditemani Nani dan Jami dan sesampainya ke rumah terus pula menjamu selera. Sememangnya layanan yang diberikan oleh keluarga di Singapura amat menyentuh hati dan terasa amat akrab sehinggakan tidak terasa asing dalam kemesraan jalinan yang terpatri. Kasih terus tersemai dalam kerinduan kepada arwah abang Solo yang wajahnya persis sekali Nani....

Keesokannya kami merancang perjalanan pulang dengan bas yang dinaiki di Little India. Perjalanan kami menaniki MRT seawal pukul 10.00 pagi biarpun bas akan bertolak pukul 12.30 tengahari. Sengaja kami keluar awal dari rumah bagi membolehkan kami meluangkan masa menikmati kawasan pelancongan di sini. Tidak jauh bezanya dengan Little India di Kuala Lumpur. Dan kemudian... perjalanan ke pulang ke Kuala Lumpur lancar apabila 5.00 petang kami tiba di TBS.

Jauh perjalanan, luas pemandangan dan banyak pula pengalaman. Memang, biar sebaik atau seindah mana pun negeri orang tetap juga Malaysia bertakhta di hati, dan semakin tebal rasa kesyukuran atas nikmat dan kurnia-Nya kepada bumi bertuah ini. Kita mempunyai kuasa, masih menjadi majoriti bangsa maka kita masih boleh menentukan hala tuju kita untuk masa hadapan generasi muda. Semoga kelak, kepimpinan Melayu tetap menjadi nakhoda dengan menjadikan Kota Singa sebagai tauladan bagaimana berkuburnya ketuaan Melayu itu.

  












 

2 comments:

nuhaz said...

seronoknyaaa....

airikamalek said...

memang sronok... lain kali nk jalan2 lagi... :-)

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers