Sunday, 28 September 2014

Amira & Taekwando

Apa yang aku tahu tentang seni mempertahankan diri? Jawapannya tiada malah semasa di alam kanak-kanak emak tidak memperkenankan permintaan aku untuk menyertai kawan-kawan sekampung yang kebanyakannya bermain silat. Hanya aku yang jadi penonton dengan hati alpa, namun kini aku memahami kerana emak bimbang aku berperangai kasar apatah lagi aku hidup dikelilingi adik-beradik lelaki. Untuk Amira pula, permintaannya untuk menyertai taekwando ketika darjah satu tiga tahun lalu aku perkenankan walaupun ketika itu Mr Hubby agak keberatan. Amira bersungguh dan aku memahaminya kerana aku juga teruja untuk anak-anak terlibat aktif lagilah seni mempertahankan diri, elok juga untuk melindungi dirinya dan membentuk sahsiah keperibadian tersendiri.

Monday, 22 September 2014

Colombo: Menambah Rasa Syukur

Semakin banyak berjalan, semakin jauh pandangan, semakin bertambah pengalaman maka semakin tebal rasa syukur yang ada dalam diri. Betapa beruntungnya diri ini, malah secara umum betapa beruntungnya rakyat Malaysia, bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini. Aku menjejaki bumi Colombo yang majoriti masyarakat dan pemimpinnya adalah beragama Budha biarpun berbangsa Tamil. Bagi masyarakat Islam pula, mereka adalah minoriti kecil yang hanya sekitar 11 peratus dari populasi warga Sri Lanka. Apa rasanya menjadi bangsa minoriti di negara sendiri dengan agama yang berbeza?

Sunday, 21 September 2014

Kongres Di Colombo, Sri Lanka

Menjejak bumi Sri Lanka seakan jadi satu pengiktirafan, dipilih menyertai delegasi bersama 14 orang yang lain adalah satu keberuntungan. Perjalanan ini ibarat membawa satu misi besar kepada sebuah pertubuhan Melayu dalam menampakkan kebolehupayaannya di persada antarabangsa. Inilah satu kebanggaan menjadi warga Malaysia kerana negara ini telah dikagumi, malah menjadi contoh kepada negara-negara lain.

Monday, 8 September 2014

Kenang-kenangan Singapura

Kesempatan meluangkan masa ke Singapura kami gunakan sebaik mungkin, berkunjung ke kawasan persekitaran dengan berkenderaan awam. Menaiki bas dan MRT sebagaimana kebiasaan kepada warga kota Singa. Memang dari awal aku dan Mr Hubby merancang, kami akan bergerak semudahnya sebagaimana kebiasaan orang tempatan. Kami seramai 13 orang, enam dewasa dan tujuh kanak-kanak berkeretapi ke Woodlands CIQ, Singapura dengan Senandung Sutera untuk bersama-sama memeriahkan majlis perkahwinan Yayan. Dua tahun lalu abang Hakim dan Mr Hubby bersama anak-anak turut ke Singapura berkeretapi bersama-sama anak-anak meraikan perkahwinan Hafiz namun tanpa aku yang sibuk dengan kerjaya. Kali ini keterujaan aku ibarat satu percutian bersama keluarga.

Sunday, 7 September 2014

Walimatul Urus Suriyani & Razihan

Selamat pengantin baru kepada Yayan dan Razi yang memasuki alam perkahwinan. Yayan anak ketiga arwah abang Solo yang sangat manja dan 'mendayu-dayu' suaranya. Aku bersama Mr Hubby sekeluarga telah merancang perjalanan bagi menghadiri majlis tersebut sejak awal tahun ini lagi, malah sejak tarikh perkahwinan ditetapkan, kemudian disertai oleh abang Hakim sekeluarga, abang Kamal dan kak Hasanah yang turut serta. Abang Bulla tidak dapat bersama kerana Ziela bakal menduduki UPSR. Majlis berlangsung di Ang Mo Kio, Ave 6, Singapura dengan kehadiran sanak saudara yang bergabung dari tiga negara - Indonesia, Singapura dan Malaysia - masih tetap serumpun dan akrab biarpun berlainan negara.

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers