Monday, 28 February 2011

Abang Cici Sakit, Penangan Rokok Undang Kanser


abang Cici semakin kurus ekoran serangan barah

Jiwa terusik… aduhai, bagaimana untuk dirawat lagi sedangkan barah yang ada sudah semakin menjalar. Dalam usia menjengah 50 tahun abang Cici sudah kritikal. Itu kata doktor pakar di Hospital Selayang selepas abang Cici buat sekali lagi imbasan di perutnya. Memang perit untuk diterima dan aku tahu tentunya beban yang tergalas di bahu abang Cici lebih dari apa yang aku bayangkan.
Abang Cici disahkan mengidap kanser usus pertengahan tahun lalu, memang serius hinggakan pembedahan dibuat. Kemudian radioterapi dan kimoterapi selain buat terapi harian saban hari di Hospital Kuala Lumpur. Sangkaan ketika itu, sel kanser telah tiada tapi malangnya sekarang ia makin merebak. Doktor telah membayangkan kemungkinan pada satu pengakhiran lantaran tiada ubat untuk merawatnya lagi….
Keadaan fizikal abang Cici tidak menunjukkan keuzurannya selain tubuhnya yang semakin melidi. Abang Cici masih mampu menunggang motor ke sana ke mari termasuklah mengurus segala keperluan kecuali melakukan kerja-kerja berat. Barangkali abang Cici gagahkan diri berdepan semua kesakitan. Mungkin juga enggan diketahui orang lain. 

Kelmarin abang Cici berkunjung jumpa bapa, katanya sebab sudah lama tak berbual dengan bapa. Bapa tak tahu keputusan perubatan doktor dan abang Cici tak akan beritahu. Tapi abang Cici bercerita sedih pada abang Hakim… pintanya hanya satu, sekiranya sesuatu berlaku kepadanya maka abang Cici mohon agar anak-anaknya diambilberat. Anak-anaknya seramai lima orang dengan yang sulung Zainudin, 16, Zulkifli, 15, Fakhrur Razi, 13, Sulaiman, 7, dan Suhaimi yang baru menjangkau usia 2 tahun. Isterinya yang sentiasa emosi juga tidak tahu tentang kesihatan abang Cici.
Bagaimana mungkin untuk dibayangkan pada suatu kehilangan biarpun perjanjian Allah S.W.T adalah pasti. Untuk merasa keperitan atau mungkin kehilangan sedangkan tentunya abang Cici akan lebih terasa. Pada saat ini aku tak mampu bersamanya dan gagal menjenguk keberadaannya lantaran aku berada di luar Kuala Lumpur atas tanggungjawab pada tugas.
Aku hubungi abang Cici, suaranya berbunga ceria saja…sedang berada di Hospital Kuala Lumpur untuk kembali menjalani kimoterapi dengan rawatan yang lebih berat lagi tanpa ditemani sesiapa. Memang abang Cici amat terasa terbeban jika meminta bantuan orang lain malah mahu semua urusan harian berlangsung lancar termasuklah urusan anak-anak dan isterinya juga. Dalam ketawa abang Cici terangkan padaku keadaannya. Apa yang mampu aku katakan selain mohon kuatkan semangat agar ia dapat melenturkan kesakitan dan mengusir keperitan.
Pada rakan-rakan yang merokok, mohon jutaan kali…hentikanlah tabiat buruk terbabit. Mohon sayangi diri dan paling penting hargailah kehidupan untuk keluarga dan anak-anak.

2 comments:

ummiLIN said...

Kak.. Abang Cici ni abang akak ke?

Perokok2 ni kak, kadang2 tak bersungguh nak berenti. Cakap kemain lagi nak berenti... Saya sendiri pun rasa ralat.

airikamalek said...

Ini abang akak yg ke-4, yg 1st masih ada, 2nd meninggal kemalangan tahun 1999, yg 3rd meninggal 2 tahun lepas sbb rokok juga... jadi memanglah ralat sgt2 bila keadaan mcm ni berlaku...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers