Thursday, 6 August 2009

Menjengah Seketika

Menyusur hari-hari berliku dengan penuh rasa insaf bahawa perjalanan masa yang pantas semakin membataskan pergerakan lantaran tuntutan pada aktiviti seharian, tanggungjawab pada tugas dan amanah pada keluarga.

Sebentar tadi, sempat aku jengah beberapa blog laman sastera yang telah lama aku tinggalkan, termasuklah tulisan-tulisan beberapa pensyarah yang selalu menyokongku dalam dunia penulisan... lantas aku tersedar pada impian masa lalu, suatu cita-cita atas ketandusan pengalaman dan kekontangan fikiran mendepani masa hadapan.


Lantaran masa, suatu perjalanan hampir sepuluh tahun lalu tidak sama dengan perancangan yang pernah terbina di ruang minda, atau jika tidakpun di laman diari yang telah musnah ekoran tumpuan sepenuhnya pada kehidupan baru.

Betapa aku terlupa, jauh aku menyimpang dari penulisan asalku, walau tidak aku nafikan bahawa aku masih lagi menulis dan terus menulis namun malangnya genreku tidak seindah bahasa, tulisanku tiada lagi melankoliknya dan karyaku bukan lagi untuk menjadi tatapan warisan bangsa.

Namun, sebagai merawat lara... aku kembali mengingati bait kata perjuangan bahawa tidak kira dalam bentuk apa tulisan yang dihasilkan, sewajarnya bertanggungjawablah atas apa yang diterjemah lantas berpeganglah pada prinsip tanpa membelakangkan matlamat dalam kehidupan.

Biarpun terkesimpang dari matlamat asal, aku bersyukur jua kerana sekurang-kurangnya aku tidak tumpul akal memikir dan memikir bahan untuk ditulis biarpun baitnya tidak lagi seindah puisi, cerpen, kritikan, rencana dan beberapa artikel yang pernah tersiar beberapa tahun lalu....


2 comments:

N Faizal Ghazali said...

salam.. teruskan penulisan anda.

MKriza said...

Kalau kita tak menulis, siapa lagi?

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers