Friday 8 February 2019

Pulang Ke Utara... Cuti Balik Kampung

Cuti sempena Tahun Baru Cina dimanfaatkan dengan pulang ke kampung. Dah lama kami tak balik Kedah. Kali terakhir pada sambutan Aidilfitri lalu dan kemudiannya hanya adik-beradik yang bertandang ke rumah kami. Kali ini, sempena cuti sekolah yang panjang maka kami luangkan untuk  bersama-sama keluarga di Utara.

Perancangan hanya nak balik dalam lima hari, kemudian ditambah ke sehari kerana nak penuhi jemputan kenduri kahwin dan akhirnya kami tambah sehari lagi memandangkan anak-anak belum cukup puas berlama-lama di sana.

Seperti biasa, kami bertolak sebelum subuh... awal pagi yang mendamaikan dengan anak-anak menyambung lena dalam kereta sementara kenderaan di jalanan pun masih belum sibuk. Perjalanan lancar. Kami singgah solat subuh dan kemudiannya melalui jalan kampung yang dipenuhi pemandangan mengasyikkan. Sudahnya, sebelum tengahari kami sudah sampai ke tempat di tuju, Pendang, rumah Bang Ad. Bermalam semalam dan dua malam di Seri Malaysia sebelum pulang ke Kampung Mempelam untuk tiga malam kemudiannya.

Ziarah kasih kami panjangkan dalam lingkungan adik-beradik Mr Hubby yang seramai sembilan orang. Dari rumah Bang Ad kami ke kampung kak Lia di Sala. Tengahari yang terik diabaikan lantaran suasana desa yang menggamit anak-anak untuk berlarian, mengejar ayam, bermain kucing, meninjau tanaman sayuran berselang sajian aiskrim Malaysia dan air kelapa muda setelah usai makan tengahari.

Di rumah kak Pah di Hujung Mergong pun anak-anak tak kekok. Begitu juga di rumah kak Mah di Ayer Hitam apabila santai menikmati pemandangan di halaman belakang rumah yang dipenuhi padi menguning keemasan. Berkunjung pula ke rumah kak Chik di Sungai Petani... tetap ceria menyambut kedatangan kami. Ke rumah Pah di Kuala Nerang menjemput Boy, di bawa pulang ke kampung Mempelam yang sebelumnya ke rumah Chaq di Tunjang. Keberadaan waktu tidak membataskan kami untuk tergesa-gesa di setiap rumah malah kami amat santai dengan anak-anak meluangkan masa menikmati perbezaan suasana yang saling berganti.

Dari kawasan perumahan di Pendang ke suasana desa di Sala, Ayer Hitam, Mergong, berbasikal dan bermotor sekeliling kawasan bendang dengan padi menguning di Tunjang dan bermain air bermandian sungai di Kuala Nerang. Semuanya berbeza-beza. Sajian mata saujana luas hamparan menguning padi masak selain sesetengah kawasan ada mesin padi yang bekerja dengan lori setia menanti hasilnya di tepi sawah untuk di bawa ke kilang; ada bendang yang sudah tinggal jerami, ada yang sudah dibakar dan ada juga sawahnya yang masih menghijau.

Ke Tanjung Dawai makan mee udang... tapi tak sempat nak meninjau gerai yang ada lantaran kekangan masa selain anak didukungan yang membataskan pergerakan. Lain kali nak pergi lagi tanpa ada apa-apa halangan untuk berjalan santai dan bebas lepas menikmati pemandangan tepian laut.

Pusara arwah mak dan pak dikunjungi... inilah kerinduan Mr Hubby yang utama untuk menjenguk desa kelahirannya kerana di sinilah tersemadi jasad mereka yang mendahului kami. Semoga Allah SWT angkat roh mereka bersama para syuhada di sisi-Nya.

Niat sebelum balik ke kampung teringin juga nak meninjau Bandaraya Alor Setar waktu malam sebagaimana yang dilakukan oleh Lan tapi tak kesampaian, apatah lagi nak solat di Masjid Zahir yang menjadi landmark bandaraya ini, pun nak beli dodol Pekan Rabu yang baru - gagal juga direalitikan biarpun telah dizahirkan pada kata-kata. Pujuk pada hati... tak apalah... nanti-nanti bila ada masa... agaknyalah....

Negeri Jelapang Padi yang permai... ada pelbagai cerita bertukar, ibarat sinetron dan drama yang penuh pelbagai kejutan, namun semua itu dikesampingkan lantaran keutamaan adalah pada keluarga. Hubungan darah tidak akan pernah putus biarpun dicincang lumat walhal apalah ada pada keinginan diri sendiri.... Lagi pula kegembiraan yang tersayang adalah realiti terindah.

Sempat juga berpiknik di Kuala Nerang, di belakang rumah Pak Tam, bapa saudara Pah. Separuh hari kami di situ melayani keletah anak-anak bermandian di sungai yang luas dengan airnya yang sejuk jernih. Biarkan sajalah... besok kami nak balik ke Ibu Kota.

Kami kembali ke Ibu Kota bersama kenangan yang terlakar di lensa. 💖


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers