Monday 22 September 2014

Colombo: Menambah Rasa Syukur

Semakin banyak berjalan, semakin jauh pandangan, semakin bertambah pengalaman maka semakin tebal rasa syukur yang ada dalam diri. Betapa beruntungnya diri ini, malah secara umum betapa beruntungnya rakyat Malaysia, bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini. Aku menjejaki bumi Colombo yang majoriti masyarakat dan pemimpinnya adalah beragama Budha biarpun berbangsa Tamil. Bagi masyarakat Islam pula, mereka adalah minoriti kecil yang hanya sekitar 11 peratus dari populasi warga Sri Lanka. Apa rasanya menjadi bangsa minoriti di negara sendiri dengan agama yang berbeza?

Aku berkongsi persoalan ini dalam ruang tertutup dengan seorang penasihat menteri Sri Lanka yang beragama Islam. Katanya amat menakutkan, apatah lagi kerajaan yang ada atas nama demokrasi ini bukanlah sedemikian malah lebih dari itu ada tindakan keganasan yang didiamkan terhadap agama selain Budha. Bukan hanya masjid yang dibakar tetapi gereja turut menerima nasib yang sama. Golongan penentang akan dibunuh dan suara mereka tidak akan kedengaran lagi. Soal diskriminasi terhadap golongan muslim ada dimana-mana, di sekolah, di tempat awam, pentas politik malah di hospital juga sehinggakan ada undang-undang secara lisan terhadap mana-mana jenazah masyarakat Muslim yang lambat dituntut akan dilupuskan.
 

Ketakutan dan kegelisahan ada dimana-mana. Biarpun golongan Islam di Sri Lanka berduit dan memiliki pelbagai aset namun apakah nilainya sekiranya nyawa dan keselamatan tidak terjamin. Si Pencerita juga berduit, banyak harta, mempunyai keluarga dengan empat orang anak yang disekolahkan di sekolah antarabangsa namun sekarang dia sedang mencari negara untuk berhijrah. Tentunya pilihannya adalah Malaysia kerana katanya negara ini satu-satunya negara Islam yang amat demokrasi, politik stabil dan pelbagai kemudahan untuk pelabur disediakan.

Biarpun di Colombo ada masjid di mana-mana dan laungan azannya boleh kedengaran jelas namun semua itu tidak dapat membayar ketakutan dan kegelisahan akibat keganasan dari pihak berkuasa sendiri. Masjid yang berdiri gah dibangunkan oleh orang-orang Islam yang kaya raya namun ada iri hati dari golongan tertentu yang memusnahkan semuanya. Lebih dari itu acapkali juga golongan Islam dituduh dengan dengan pelbagai kesalahan atau lebih teruk terus sahaja dibunuh namun didiamkan tanpa sesiapa tahu. Seakan hilang dalam senyap atau mati dalam jenayah tanpa bicara. Aku mendengarnya dalam bayangan cerita filem Tamil yang meletakkan sepenuhnya kuasa kepada mereka yang bergelar pemimpin, putih katanya maka jangan ada yang bercakap hitam kerana pastinya mati menjadi jawapan.

Kengerian tergambar, rasa nyilu dihati dengan sebak tanpa airmata. Walaupun hanya tiga malam di negara luar namun kerinduan kepada Malaysia amat mendalam. Inilah bumi bertuah kita, dengan pemimpin Islam, bangsa Melayu dan keutuhan kepada agama menjadi keutamaan. Biarpun di Malaysia ada banyak bangsa lain namun kita hidup rukun dan harmoni malah berkongsi budaya dan cerita yang sama biarpun berlainan agama. Bayangkan, jika orang luar mengimpikan untuk menghuni dan bermastautin di Malaysia maka mengapa kita mencela dan mempersenda kerajaan yang telah membawa kemerdekaan kepada kita, kerajaan yang meningkatkan syiar Islam dan kerajaan yang amat lantang dalam soal kemanusiaan di persada antarabangsa.

Seorang delegasi dari negara jiran juga berkongsi rasa kagumnya kepada pemimpin Malaysia yang amat berani. Katanya, biarpun Malaysia negara kecil yang mempunyai rakyat sekitar 29 juta, jauh berbeza dengan negaranya yang memiliki ratusan juta umat Islam namun Malaysia secara terbuka menentang kuasa besar yang menyokong keganasan, malah menyalurkan bantuan kepada negara yang dilanda perang.

Memang benar kerajaan ada melakukan kesalahan atau sesuatu keputusan yang kadang-kadang tidak kita senangi namun mana ada tamadun yang sempurna, maka apa pula tanggungjawab kita dalam membantu mengharmonikan negara yang kita cintai. Ada segelintir individu yang terlalu lantang mengkritik seolah-olah lupa tentang asal usul atau lahir dalam mahligai emas yang kemudian hanya tahu menyalahkan pihak lain. Aku tidak mahu jadi begitu. Aku takut lupa untuk bersyukur atas segala rahmat-Nya ke atas kita semua, maka aku persembahkan diri dalam kerdil tanpa apa-apa untuk dikongsi bersama. Hanya tulisan ini sebagai ilmu untuk dibicarakan agar kita dapat menilai apa yang kita ada dengan membandingkan melalui pelbagai kekurangan insan lain di sekeliling kita. Allahuakhbar!




No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers