Berbulan juga merancang masa memandangkan masing-masing ada komitmen, pada kerja dan keluarga. Yang utama perlu didahulukan... jangan sampai ada yang terabai atau ada kerja yang tak terlaksana.
Satu-persatu ditinjau... Indonesia, Filipina, Vietnam, Mynmar hinggalah ke Korea, Jepun juga Australia. Akhirnya kata putus dibuat... Bangkok jadi idaman. Ada apa dengan Bangkok...? Antara kami tak ada yang pernah menjejakkan kaki ke Bangkok, penerbangan hanya dua jam dan tukaran mata wang pun menguntungkan....
Dari KLIA2 ke lapangan terbang Don Mueang, Bangkok makan masa dua jam. Bersarapan nasi lemak di udara pada awal pagi dan kemudian melayan mata yang memang mengantuk. Sampai saja, kenderaan sudah sedia menunggu... ditempah dari hotel penginapan kami. Kenderaan yang cantik dan 'mewah' untuk kami semua.
Perjalanan melangkau masa lebih dua jam dari lapangan terbang Don Mueang, Bangkok untuk ke kawasan pelancongan Khao Yai.... hati masing-masing meronta untuk menikmati pemandangan dengan mata sendiri setelah pelbagai khabar menarik tentang kawasan ini. Sepanjang perjalanan di kiri kanan tidak ada apa yang menarik apatah lagi dengan pelbagai papan tanda yang bertulisan Thai. Kami saling memberi erti sendiri dengan papan tanda yang ada... ada senyum dan tawa antara kami yang mengenepikan rasa ngantuk. Hampir sampai ke kawasan Khao Yai kami disajikan dengan pemandangan kawasan ladang jagung, tanaman hiasan dan ladang lembu yang meluas. Tempat tujuan di Piaza Palio atau kawasan yang lebih dikenali dengan 'Little Europe'. Bayaran untuk parking 20 bath. Kawasan sunyi lantaran kami datang dalam suasana orang bekerja. Bagaikan hanya kami di sini. Apa lagi... ini tempat kami yang punya....
Cantik binaan bangunan dan hiasannya, laman taman yang segar indah dengan tanaman pelbagai pohon hiasan. Kawasan yang besar dipisahkan dengan satu-satu tema yang sememangnya mengujakan kami. Ada pancuran air menghiasi tengah ruang taman... ada bertangga dengan tanaman berjuntaian menyapa pengunjung yang lalu... ada dinding tembok batu yang menjadikan latar menarik... ada bunga-bunga kecil yang menjadi penyeri dalam foto-foto kami. Cerah cuaca menambah mood kami untuk bergambar dengan Alia dan Sasha melayani saja sementara Maria rajin cari port terbaik dan Ucu pula bijak memberi cadangan untuk bergambar. Wah lengkap kami berfoto dengan ada group backup yang sangat sporting.
Selesai... kami ke Primo Piazza. Bayaran masuk seorang 200 baht, percuma dapat beri makan haiwan ternakan dan 20 peratus aiskrim. Menjengah Primo Piazza... aduhai... lagi cantik kawasannya, berlatar belakangkan kawasan bebukit selain hamparan ladang menghijau dengan ternakan kambing bebiri. Ada juga kuda padi dan haiwan disebut 'abaka' yang comel dan manja.
Asyik kami berfoto di setiap kawasan yang ada... teruja dengan binaan bangunan, hiasan dalaman yang minimalis namun tetap memukau selain taman-taman yang 'mesra' menjamu mata... keharmonian bersatu antara alam dan kasih sayang sesama kami. Betapa keindahan yang terpapar di layar mata begitu menyentuh jiwa, damai yang mengasyikkan. Cuaca yang mula panas menyengat enggan diendahkan. Kami mahu abadikan setiap sudut taman dalam kebersamaan dengan foto menjadi tatapan nanti. Aduh... telefon Ucu pula jatuh berderai tatkala mahu mengambil gambar kami dari pohon 'cinta' berhampiran ladang. Retak berderai skrin telefonnya namun tak dapat meretakkan hati kami untuk terus bergambar... Tumpang simpati pada Ucu... 😘
Kami tak berlama di situ. Hotel belum check-in. Namun kami sempat singgah di Khao Yai Premium Outlet. Berjalan dari hujung sini terus ke hujung sana. Sekadar sambil lalu tanpa ada niat nak membeli apa-apa. Mula terasa lapar namun untuk makan makanan sesuka hati tidaklah pula lantaran keutamaan pada yang halal perlu dijaga. Kami sekadar minum kopi dan makan roti di Starbucks yang ada. Kira alas perut sebelum menyambung perjalanan. Sebelum itu kami kendurikan biskut yang Farah bawa sebab masing-masing berlenggang tanpa bekalan makanan atau minuman. Inilah padahnya jika keterujaan lebih kepada bergambar, jadi lapar dan dahaga pun sanggup diketepikan....
Kami menuju ke Petchburi Road, Ratchathewi Bangkok untuk ke tempat penginapan iaitu Hotel Samran. Perjalanan yang sepatutnya memakan masa dalam dua jam bertambah setengah jam lagi lantaran jalan yang sesak. Kota Bangkok yang tak pernah sunyi, sana sini jalan jem. Lagilah pula hotel kami di tengah-tengah pusat bandar.
Selesai check-in, tak berlama di bilik. Selepas membasah tubuh terus turun untuk mencari nasi. Kami ke kawasan pelancongan Asia Tique. Perkara pertama makan namun aku dan Farah patah selera lantaran ada gerai yang menyajikan menu 'eksotik', namun masih banyak gerai lain yang ada makanan halal. Kebetulan pula tempat kami makan bersebelahan dengan masjid.
Kemudian kami terus ke Asia Tique. Amboi....macam-macamnya ada. Jadi rambang mata tak tahu mana nak dibeli... entah arah mana yang kami nak lalu. Ok... untuk senang kami tetapkan masa cuma dua jam saja di sini kerana dah malam dan masing-masing penat. Tapi part shopping semua jadi segar. Ada pelbagai barangan Thai di sini, dari alat eksesori, kecantikan dan kosmetik, baju, beg, kain sutera Thai hinggalah kepada makanan dan minuman selain acara hiburan yang berwarna-warni.
Memang Asia Tique tumpuan utama pelancong yang inginkan kepelbagaian di bumi Siam ini. Terletak bersebelahan Sungai Bangkok, pelbagai kedai-kedai moden tersergam selain ada gondola, persembahan kebudayaan, panggung wayang dan panggung perlawanan muai Thai. Kami masing-masing tak melepaskan peluang untuk membuat 'pasport holder' yang ada tertera nama kami sendiri. Ini adalah antara 'trademark' pada sesiapa yang berkunjung ke Bangkok. Harganya pula amat berpatutan, boleh tawar-menawar atau kalau rajin tinjau-tinjaulah dulu untuk melihat perbezaan harga. Kami habiskan masa di sini sebelum pulang ke hotel... tapi rupanya malam kami tak berakhir begitu saja, sempat singgah mengurut kaki di sebelah hotel. Murah... hanya 200 bath untuk satu jam di tengah malam, hinggakan Lin dan Farah boleh terlena di kerusi empuknya.
Hari kedua
Kami memulakan hari seawal 8.30 pagi, tapi matahari dah memancar cerah. Maklumlah waktu di sini awal, pukul 4.45 pagi dah subuh. Lokasi pertama ialah di Wat Arun. Salah satunya kawasan tokong Budha yang tersergam di Ibu Kota. Tak jauh pun... sekitar 20 minit berkenderaan. Bayaran masuk 490 baht. Kami menetapkan masa hanya dalam masa 30-45 minit saja di sini. Enggan berlama kerana kami hanya mahu bergambar di sini. Kata orang, kalau ke Thailand tak sah kalau tak menjengah wat mereka. Ini yang terdekat dan antara tumpuan pelancong di sini. Gah sungguh binaannya, dihiasi batuan pelbagai warna. Terjaga rapi dengan pengawal yang sentiasa ada di kawasan sekitar melarang pengunjung duduk di temboknya.
Tinggi Wat Arun tapi kami taklah mendaki sampai ke atas... cukup setakat tingkat pertama, bukan saja kerana masa yang suntuk tapi juga kerana tangganya yang memang boleh tahan mencabar untuk di daki.... Kawasan sekitar wat ini ada juga penempatan, barangkali untuk tempat tinggal para saminya, namun bukan untuk kunjungan pelancong. Hanya bangunan utama Wat Arun saja yang menjadi tatapan kepada orang luar sedangkan ruang ibadat dan keseluruhan kehidupan para saminya tidak terserlah.
Habis di situ kami terus ke JJ Mall. Niat nak menjelajah ke pasar Chatuchak tapi malangnya kawasan tersebut hanya dibuka hujung minggu saja. Lagilah cuaca di luar yang panas terik menjadikan kami lebih betah di dalam mall saja. Besarnya mall ini, setiap tingkat ada pelbagai barangannya, dari kraftangan, cenderamata, kain-kain hinggalah ke pelbagai aksesori lain. Singgah di supermarket bahagian bawah, diboronglah pelbagai biskut, coklat dan kacang-kacang sebagai bekalan di dalam kenderaan.
Keputusan dibuat, kami mahu makan. Restoran makanan halal di MBK Mall jadi lokasi. Restoran Yana, di aras lima. Sementara menantikan makanan sampai, ada sesuatu direncana. Kak Shida bersama Farah dan Nurul kata nak ke tandas sedangkan sebenarnya mereka mencari kek, sementara aku, Zila dan Lin melayani Filza yang masing-masing sibuk dengan gajet di tangan. Nasib baik ada kedai kek, tapi tak ada yang sebiji, maka mereka beli pinggan di Kaison dan potongan kek disusun berhias lilin. Sudahnya... surprise... Happy birthday Filza! Kami nyanyikan lagu yang disambut meriah dengan tepukan seluruh pengunjung restoran. Wah... meriah sungguh, sambut birthday di luar negara lagi tu.... Semoga panjang usia dan dirahmati Allah selalu Fill...
Dan kemudian... makanan terhidang. Amboi, meriah sungguh dengan hidangan tomyam, sayur campur, ikan tiga rasa, kerabu mangga, sotong, udang dan macam-macam lagi. Habis licin kami makan. Santai dan enak menjamu selera.
Selesai makan kami berjalan sekitar MBK Mall yang besar tersergam. Ada surau lengkap yang juga di aras lima, memudahkan kami menunaikan solat tanpa tergesa-gesa dan kemudian menyambung shopping di sini. Semua ada... sebutlah apa saja yang nak dibeli, pasti ada. Sampaikan patung gajah, beg gajah, baju gajah atau apa-apa sajalah.
Berjam-jam juga kami di MBK Mall sebelum bertolak ke Asia Tique. Tak puas berjalan semalam maka hari ini kami berulang semula. Dari waktu petang terus menjengah ke malam kami berada di sini. Berpecah mencari arah masing-masing, malam terakhir untuk meninjau dan mencari apa-apa yang nak dibeli sebagai ole-ole pada yang ditinggal.
Dah sampai di hotel sekitar pukul 10.00 malam. Eh... tak habis lagi rupanya. Terus menjengah pusat urut disebelah hotel penginapan kami. Bila lagi kan....
Hari Ketiga
Hari ini tak ada aktiviti luar. Acara bebas dan perancangan hanya nak berjalan di sekitar hotel. Tak ada apa-apa nak beli. Selesai bersarapan, kami berjalan keluar. Ok. Kita menghala ke sebelah kanan tempat penginapan. Terus berjalan kawasan sekitar, Panas terik tapi semangat berjalan tak putus. Fuhhh... jauh juga berjalan akhirnya sampailah di Platinum Mall.
Tak ada tujuan. Tak ada niat nak membeli apa-apa pun tapi akhirnya masing-masing rambang mata. Pantang ada yang singgah pastinya ada yang mengekor dan akhirnya ada yang membeli. Cenderamata lagi, enggan ada yang terlupa. Cenderahati untuk diri sendiri, kami beli gelang yang sama, juga beg kecik. Itulah untuk kami sendiri sebagai kenangan pengikat kami di sini. Daripada tak ada apa-apa nak beli sudahnya masing-masing bawa beg plastik lagi.
Kami makan di food street di hadapan mall. Macam-macam ada. Paling istimewa pulut mangga dan jus mangganya yang memang marvelous. Nasi goreng dan udang goreng pun sangat wow...! Memang mall ini saja sudah lengkap dengan pelbagai barangan hinggalah ke makanan yang sangat menyelerakan. Ditambah lagi dengan ruang solat yang sangat cantik dan selesa. Tambahan pula kawasannya sangat terjaga, bersih dan susah pula kami nak jumpa tong sampah, sebaliknya ada pula yang tukang kutip sampah pada kami.
Kembali ke hotel kami menaiki tuk tuk. Haaa... ini barulah betul kota Bangkok apabila berkenderaan tuk tuk. Tiga tuk tuk membawa kami. Saling ceria kami di jalanan apabila berselisih. Pukul 4.00 petang kami meninggalkan tempat penginapan menujuk ke lapangan terbang.
Aduhai... penerbangan lewat pula lantaran hujan yang lebat. Pukul 9.00 malam kami menaiki pesawat meninggalkan kota Bangkok yang menjadikan kami tiba di tanahair tengah malam.
Alhamdulillah. Perjalanan pergi dan pulang lancar... selamat. Percutian yang sangat memberi makna kepada kami. Penuh dengan keceriaan, disulami gelak tawa dan kasih sayang yang amat terserlah. Memang antara kami tidak sama, perangai saling berbeza... ada macam-macam namun kami saling melengkapi. Menerima kekurangan, memahami dan mengenepikan perbezaan untuk satu kelangsungan persahabatan. Menyulam persefahaman dalam belasan tahun bersama bersandarkan keutamaan persaudaran dan keikhlasan. Bukan saling meminta namun saling memberi... kasih sayang persahabatan yang bertaut menjadi saudara. Terima kasih geng gegurls... juga pada Alia, Ucu, Maria dan Shasa yang melengkapi kami. Saya sayang awak semua tau.... lain kali kita pergi lagi..❤
Gegurlz + Ucu, Maria, Alia & Shasa |
1 comment:
Blog yang menarik, mengingatkan saya akan Wat Arun, sebenarnya candi ini dinamai Temple of Dawn karena cahaya matahari yang muncul pertama kali di pagi hari akan mencerminkan candi itu di permukaan sungai Chao Phraya yang memberikan panorama yang indah seperti di filem.
Saya mencoba menulis blog tentang hal ini, semoga anda juga suka di http://stenote-berkata.blogspot.com/2020/07/bangkok-di-wat-arun.html.
Post a Comment