Tuesday, 26 April 2016

Bapak Bersamaku

Syukur Alhamdulillah, kesihatan bapak menunjukkan perkembangan yang positif. Badan bapak kembali cergas, langkah bapak juga sudah cerdas dan wajah bapak kembali ceria. Biarpun bapak masih lagi memerlukan saluran kencing tetapi secara keseluruhannya bapak sudah sihat. Bapak tak ada rasa sakit perut, tak ada batuk-batuk, gout pun tak bertandang malah demam sakit pening yang sebelum ini kerap bapak alami pun tak datang.

Sejak sebulan lalu bapak bersama-samaku, tinggal menjadi keluarga tetapku dan insya-Allah akan terus berada bersamaku hingga akhir hayatnya. Inilah peluang bagi aku untuk bersama bapak, dalam usianya yang lanjut, dikala penglihatannya semakin kabur, diwaktu deria pendengarannya sudah tidak jelas dan disaat tingkahnya perlukan perhatian. Syukur Mr Hubby banyak menyokongku, membantu mana yang perlu dan kata-katanya agar bapak terus tinggal bersama kami amat melegakan. Sememangnya sokongan suami akan mempermudahkan segala laluan lantaran keredhaan suami adalah restu Allah SWT.

Monday, 11 April 2016

Selamat Hari Lahir ke-40

Selamat menyambut hari lahir ke-40 untuk Mr Hubby. Kata-kata life begins at 40, maka inilah permulaannya.  Semoga dengan pertambahan usia yang memulakan fasa baru dalam kehidupan maka akan cemerlang hendaknya dalam apa-apa jua yang diimpikan. Bercita-cita, menaruh harapan dan memasang impian untuk hari-hari mendatang adalah lumrah dalam kehidupan namun pengisian untuk cita-cita, harapan dan impian itulah yang perlu diambil kira. Apa pun yang dilakukan, letakkanlah keluarga jadi keutamaan - demi Amira, untuk Ameer, pada Afrina dan kerana Ammar, itulah matlamat keluarga kita hari ini. Ikatan kasih abadi...

Thursday, 7 April 2016

Hati Terluka, Muhasabahlah Pada Diri

Apakah yang kita lakukan selama ini?
Apakah yang kita mahukan dalam hidup ini?
Apakah yang kita harapkan dari orang-orang sekeliling kita?
Apakah setiap hari itu tetap ada untuk kita?

Persoalan demi persoalan adalah jawapan kepada apa yang kita alami. Bukan menuntut kesempurnaan namun memujuk hati untuk sentiasa sabar. Sabar itu kunci dari iman yang sebenar walaupun realitinya setakat mana kesabaran itu mampu dihamparkan. Tabahlah wahai hati, pujuk diri kala terluka. Menilai nikmat yang melaut di depan mata dengan membandingkan kepada kelukaan sebesar kuman yang dirasa. Apalah sangat... pujuk pada hati lagi.

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers