Selamat Hari Raya Korban. Perancangan telah dibuat dari awal namun tak semua yang dirancang mampu untuk dijadikan kenyataan lantaran ketentuan Allah lebih utama. Aku dan Mr Hubby merancang untuk pulang lebih awal ke kampung di Utara namun dengan kesihatan bapak yang merudum perancangan tersebut tertangguh. Sehingga ke saat-saat akhir tidak ada kata putus namun syukur kerana Mr Hubby sangat memahami dan maklum dengan situasi yang aku alami.
Sudahnya, kami menyambut Aidil Adha di Gombak dan selesai sembahyang Hari Raya kami bertolak ke kampung. Adik-beradik dan kaum keluarga Mr Hubby telah menanti kepulangan kami, malah anak-anak juga amat teruja untuk pulang ke desa yang sememangnya suasanya amat jauh berbeza dengan kota.
Hari Raya kedua, seekor kerbau dikorbankan dengan urusan penyembelihan sepenuhnya dilaksanakan di halaman rumah secara bergotong-royong. Seperti biasa, Ustaz Ramli yang menyembelihnya, ustaz kepada Mr Hubby di zaman persekolahnya yang semakin lanjut usian namun masih sihat untuk melakukan tugas-tugas penyembelihan.
Adik beradik dan sanak saudara berkumpul bersama melaksanakan tugasan yang pelbagai. Membantu mana yang patut dan kemudian duduk berkumpul beramai-ramai. Suasana meriah dengan keakraban terjalin. Inilah kali pertama Aidil Adha tanpa pak yang tentunya amat dirasai namun dengan silaturrahim yang terjalin maka tentunya pak di sana akan turut tersenyum.
Sesungguhnya, nilai pengorbanan yang terindah bukan sahaja dapat menunaikan ibadah tetapi juga dapat menjalinkan silaturrahim dan saling bertolak ansur dalam apa-apa jua hubungan baik dalam rumahtangga, hubungan adik-beradik dan saudara malah juga bersama jiran tetangga. Inilah pengorbanan sebenar!
No comments:
Post a Comment