Laman depan rumah sudah penuh dengan tanaman Mr Hubby. Hobinya yang tenggelam suatu waktu lalu kembali mekar dengan kesuburan pepohon yang ditanamnya. Lebih menarik apabila permintaanku untuk mendengar kicauan burung direalitikannya. Mr Hubby buat kejutan, dalam diam tanpa kata dia laksanakan keinginanku. Aku mahukan burung-burung kecil yang berkicauan meriah di laman rumah, ada bunga-bunga dan pohon-pohon menghijau. Duduk santai sambil menikmati novel romantis di tangan.... tentunya amat menyeronokkan.
Mr Hubby tak suarakan apa-apa, tapi suatu hari ketika aku ingin keluar bekerja terperanjatku dengan adanya sangkar burung di sudit laman rumah. Cantik! Kemudian, di suatu pagi di hujung minggu, aku seakan terdengar sayur kicauan beburung dari dalam bilik. Namun tidak kuendahkan kerana sangkaku ia tentunya bebrung singgah di pohon depan. Namun, pertanyaan Mr Hubby pantas membuat ku bangun. Katanya, entah apalah yang meriah di laman, bunyi macam-macam berkicauan. Lantas aku menuju ke beranda dan aku menjerit riang melihat beburung terbang dalam sangkar yang ada di laman rumah. Aku berlari melihat burung-burung berwarna hijau, ada biru, ditambah keputih-putihan yang sedang rancak bercip-cip.
Kemudiannya, aku suarakan pada Mr Hubby inginkan tempat duduk, barangkali hanya bangku di laman untuk aku dan anak-anak bersantai. Beberapa foto aku tunjukkan padanya namun kemudian, beberapa hari kemudian sekali lagi kejutan apabila sepulangnya aku dari kerja telah tersedia meja dan lima bangku di laman taman kami. Sungguh manis terasa!
Laman yang ringkas, ada pelbagai pokok yang sememangnya aku tidak tahu namanya. Ditambah lagi dengan beberapa pohon berbunga yang Mr Hubby bawa dari kampung. Pokok-pokok orkid pemberian abang Ad, anak pokok bunga ros dari kak Pah dan beberapa pokok lain. Ada juga pohon yang aku cantas dan jadikan hiasan dalam sudut rumah.
Di luar pula, Mr Hubby sudah tanam pokok mangga. Untuk memeriahkan persekitaran menghijau kami dan merimbunkan semaian kasih sayang yang ada. Di waktu santai, kami akan bersarapan atau minum petang di sini, anak-anak pula berbasikal bersama rakan-rakannya.
No comments:
Post a Comment