Saturday, 30 November 2013

Selamat Pengantin Baru Pudin...

Majlis perkahwinan anak tunggal lelaki kakak berlangsung juga di Gombak. Selepas bertanggung kerana kakak dan abang menegerjakan haji, akhirnya ia berlangsung dengan lancar. Majlis ini ibarat mengumpulkan sanak-saudara, dekat dan jauh yang kemudiannya bersama-sama meraikan raja sehari. Dalam kesibukan dengan kerja sebagaimana hujung tahun yang sememangnya amat padat, aku masih berkesempatan mencuri masa untuk bersama-sama dalam majlis ini. Namun, Mr. Hubby dan Nina tak sihat. Kasihan mereka, ketika majlis belum tamat terpaksa pulang ke rumah untuk berehat.

Thursday, 28 November 2013

Adik Pun Demam

Memang kebiasaan...selalunya demam akan berantai antara adik beradik dan kemudian Mr Hubby. Selepas Ameer, Nina pula ambil tempat. Kasihan dia, mukanya merah, badan panas dan asyik merengek. Cuma bezanya kali dia nak berkepit dengan abah saja...selamat mama tapi kasihan pada abah yang juga tidak sihat. Inilah penangan darah sama antara abah dan anak-anak. Tak ada seorang pun yang ikut dadah mama, maknanya baka abah terlebih pada anak-anak sehinggakan bengkal tonsil pun diwarisi mereka juga. Dalam aku bergelumang kesibukan yang menuntut pelbagai perhatian di pejabat bagi berdepan persidangan besar, maka keluarga juga mohon perhatian. Kasihan anak-anak yang tidak sihat namun sykur kerana ragam mereka tidaklah keterlaluan.

Monday, 25 November 2013

Tonsil...Abang janji tak nakal lagi...

Ameer demam. Kali pertama demam teruk sejak bertahun-tahun... tak ingat kali terakhir Ameer demam. Bila ke klinik buat pemeriksaan rupanya ada tonsil yang membengkak. Kasihan dia...panas badannya, merah mukanya, matanya berair. Tapi masih ada celotehnya... Kali pertama Ameer diserang tonsil walhal sebelum ini hanya Amira yang selalu mendapat tonsil. Aku pujuk Ameer minum air masak banyak-banyak, makan aiskrim vanila, makan ubat dan makan nasi juga. Seleranya patah... tak macam selalu namun memujuknya tidak susah. Semakin lewat malam maka semakin tinggi pula panas Ameer. Cool fever seakan tak jalan... aku  pujuk dia untuk kerap minum air masak.

Sunday, 17 November 2013

Ameer Graduation & Concert 2013

Hari ini konsert dan gaduasi Smart Reader Kids Puncak Jalil. Hari yang ditunggu-tunggu oleh Amer. Saban waktu dia menghitung hari menantikan tarikh konsertnya. Kali ini tempatnya di Cyberjaya pula. Namun Ameer langsung tak ceria. Tiada segaris senyum pun tergambar di wajahnya. Memang sejak malam tadi Ameer sudah tidak sihat. Badannya panas sedikit tapi tidak melarat. Seawal pagi dia bangun dari tur tanpa dikejutkan, semua orang di dalam rumah dikejutnya agar tidak lewat untuk ke konsertnya. Tetapi kemudian Ameer nampak lemah, dirinya lesu... enggan menjamah sarapan namun setelah dipujuk ada juga dua tiga suap masuk ke mulutnya. Sebelum itu dia telah muntah tiga kali...tidak banyak. Tapi Ameer berkeras juga mahu ke konsertnya. Aku memahami situasinya. Mr. Hubby pada awalnya berkeras juga mahu membatalkan hasrat untuk meneruskan perancangan pagi ini namun melihat semangat Ameer maka kami pergi juga. Ameer tak muntah-muntah lagi tapi tidak aktif. Dia yakin untuk buat persembahan. Maklumlah... berhari-hari telah berlatih, berhari-hari juga dihitung menjelang hari tersebut maka inilah masanya. Inilah Ameer yang keletah tapi menjadi kental hari ini. Walaupun tanpa senyuman tapi masih berjaya laksanakan persembahan dengan jayanya. Nina kata Ameer anak abah... tapi Ameer juga anak mama...

Thursday, 14 November 2013

Mengharap Terbaik Bermula Dari Diri Sendiri

Apa yang kita harapkan dari sekeliling kita? Pada keluarga, pada sahabat handai, pada rakan-rakan dan keseluruahnnya untuk orang di sekeliling. Tentunya yang terbaik menjadi harapan, perlukan layanan yang positif, kata-kata yang mesra dan wajah yang manis namun sesungguhnya ia perlu dimulakan oleh diri sendiri. Melakukan perubahan, melaksanakan impian dan mahukan kejayaan. Bukan semudah berkata tetapi perlu ada tindakan untuk mendapat kesudahan yang diinginkan. Apa jua yang diharapkan pada orang lain perlulah dimulakan dengan keupayaan diri sendiri. Inginkan kesempurnaan pada keluarga tetapi terlupa kesempurnaan pada diri sendiri tidak dilaksana. Memang, kesempurnaan itu tidak akan dapat diperoleh tetapi sekurang-kurangnya kita berupaya untuk menambahbaik dan mengurangi kelompongan yang ada. Berusaha untuk menjadi lebih baik dari yang sebelumnya.

Wednesday, 6 November 2013

Ke Bukit Merah Lake Town Resort

Selepas PRK Sungai Limau, bermalam di Alor Setar bertemu pak mertua yang semakin lanjut usianya. Kemudian kami ke Bukit Merah Lake Town Resort. Sememangnya sudah lama merancang untuk ke pusat peranginan ini namun acapkali percituan dirancang maka tentunya tempat ini sudah penuh ditempah. Kebetulan, perancangan dibuat dipertengahan minggu dan orang pun tak ramai yang bercuti. Kami sampai sekitar pukul 4.00 petang, dan selepas urusan check-in terus menuju ke Eco Park. Macam-macam haiwan ada di dalamnya dengan keterujaan anak-anak menikmati kehijauan alam sekitar.

Tuesday, 5 November 2013

Salam Maal Hijrah 1435H

1 Muharam detik permulaan... tahun baru hijrah yang disambut bersama keluarga di Kedah. Alhamdulillah. Satu permulaan yang baik bagi merencana masa hadapan. Semoga apa yang tersirat dalam fikiran akan dapat disuratkan menjadi realiti kelak, impian bersama keluarga adalah keutamaan dan perancangan sejak bertahun lalu semakin membayang di depan mata. Semoga Allah SWT memperkenan impian kami sekeluarga...

Sunday, 3 November 2013

Sungai Limau...

Esok, genap dua minggu berkampung di Sungai Limau... Dewan Undangan Negeri yang berdepan dengan pilihan raya kecil lantaran kematian penyandangnya, allahyarham Tan Sri Azizan. Tugasan tergalas diterima dengan senang hati apatah lagi Mr. Hubby turut teruja lantaran diakhir tugasan beliau dan anak-anak akan menyusul aku ke negeri kelahirannya. Sungai Limau, nama yang bukan asing bagi aku. Menyebut nama kampung ini maka akan terimbas kenangan wawancara dengan allahyarham seniman, Datuk Ibrahim Hussein yang tersohor dengan karya seninya. Lukisan beliau merentas seantero dunia. Juga abang-abangnya yang turut terbilang melalui karya mereka, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein - aku pernah berguru ilmu penulisan dengan beliau di UM - dan Budayawan Prof. Tan Sri Ismail Hussein yang kesemuanya dilahirkan di Kampung Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah.

Friday, 1 November 2013

Entah...

Entah... apa perasaan yang ada dalam diri. Adakalanya terlalu mudah dan seakan sentiasa memahami namun ada masa pula terlalu ikut emosi, mudah tersentuh dan marah-marah. Hati... tentunya mahukan yang terbaik, luhur dan ikhlas dalam melaksanakan apa sahaja termasuklah amanah dalam melaksanakan tanggungjawab. Memang... mencari keikhlasan bukan mudah. Belajar memahami bukan senang, juga untuk meletakkan diri dalam keadaan yang terbaik dengan kesesuaian suasana sekeliling juga adalah suatu kepayahan.

Sesungguhnya, aku bermohon pada-Mu Ilahi. Permudahkan segala urusan, huraikan kekusutan, hindarkan kegelapan, dan jadikanlah diri ini tetap teguh dengan kesetiaan, cekal untuk terus berusaha dengan segala impian menjadi matlamat utama. Tanpa-Mu, tiada upaya diri ini untuk melaksanakan tanggungjawab tergalas, keutamaan sebagai isteri, selaku ibu kepada anak-anak yang sempurna, menjadi wanita berkerjaya dengan tugasan tergalas... hanya pada-Mu Ya Ilahi. Allahu Akhbar...
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers