Tanggal 1 Syawal
1433 bersamaan dengan 19 Ogos 2012, amat berbeza bagiku dan keluarga apabila
hari raya kali ini dirasakan tidak semeriah tahun-tahun lalu lantaran bapak terlantar sakit di hospital. Tiga hari terakhir Ramadan, bapak tak sihat
hinggakan dia terpaksa dirujuk ke Hospital Selayang dan hasil laporan, penyakit
lama bapak iaitu ulser perutnya kembali lagi. Perut bapak berdarah dan perlu
rawatan khusus. Bapak tak dibenarkan makan dan minum sebaliknya hanya drip air
garam yang masuk ke dalam tubuhnya.
Walaupun selepas sehari dimasukkan ke wad
bapak sudah tidak sakit tapi bapak perlukan pemantauan rapi. Daripada penyakit
bapak melarat maka kami sepakat untuk bapak terus dirawat biarpun Aidilfitri tak
dapat dirai....
Lantas, rutin
hari raya kami semua berubah. Mood untuk memasak pelbagai makanan dan kuih muih
juga terasa hambar. Dalam bergema takbir raya, hati terasa amat syahdu...
memasuki bilik bapak amat terasa kekosongannya apatah lagi bila terkenangkan
arwah mak. Kebiasaannya arwah mak akan mengaji di hujung kepala katil sedangkan
bapak berwirid panjang disejadahnya. Pada usia remajaku, aku gemar baring di
sisi emak sambil mendengar emak mengaji dan menatap wajah tuanya....
Keceriaan
Aidilfitri dirai dengan anak-anak yang sangat teruja. Maklumlah baju baru
sedondon warna biru, tapi sayangnya bapak tak dapat memakainya. Biarpun kami
bergambar di hari raya namun keghairahannya tidak sebagaimana tahun lalu kerana
sedar bahawa bapak tak berhari raya.
Selepas ke kubur
arwah abang Daili dan anaknya Nurul Farahana di Danau Kota, kami mengunjungi
pusara arwah mak di Taman Selasih. Indahnya perkuburan arwah mak, terletak
ditepi jalan dan dibawah pohon rimbun sehinggakan kami anak beranak seakan-akan
berkelah menziarahi pusara mak.
Seterusnya kami
ke Hospital Selayang. Rasa terharu melihat bapak yang terlantar biarpun katanya
tidak ada apa-apa kesakitan. Tidak ada juga sebarang bekalan yang kami bawa
kerana bapak masih tidak dibenarkan makan dan minum apa-apa. Luka diperut bapak
dirawat dengan sebaiknya oleh doktor. Selepas meluangkan masa bersama bapak,
kami terus ke pusara abang Cici di Taman Kosas, Ampang dan kemudian ke pusara
Obek Daud di Cheras. Ini saja aktiviti untuk Aidilfitri ini kerana lewat petang
aku perlu bersiap dan bertolak ke Kedah untuk meraikan berma keluarga Mr.
Hubby. Telah aku maklumkan pada bapak dan bapak amat memahami. Sebagaimana
bapak, di Kedah juga menanti seorang lelaki tua yang mahu menyambut kepulangan
anaknya – Mr. Hubby.
Sesungguhnya
kesayuan di hati amat terasa dengan keadaan bapak yang terlantar di hospital
dan ketiadaan abang Cici yang menyusul mak awal Ramadan lalu. Namun kesedihan
aku kesampingkan lantaran keutamaan pada Mr. Hubby dan anak-anak.
Seboleh-bolehnya apa saja yang diminta mereka mahu aku tunaikan biarpun lumrah
perangai aku yang cenderung memberikan komen dan banyak bertanya.
Bergambar di lobi hospital Selayang |
2 comments:
Kak, bapak cmne? Dah ok ke? Semoga dia sehat selalu.
Selamat hari raya ye kak...
Alhamdulillah, bapak dah ada kat rumah cuma bak kata org...'sihat org tua...'
Post a Comment