abang Cici semakin kurus ekoran serangan barah
Jiwa terusik… aduhai, bagaimana untuk dirawat lagi sedangkan barah yang ada sudah semakin menjalar. Dalam usia menjengah 50 tahun abang Cici sudah kritikal. Itu kata doktor pakar di Hospital Selayang selepas abang Cici buat sekali lagi imbasan di perutnya. Memang perit untuk diterima dan aku tahu tentunya beban yang tergalas di bahu abang Cici lebih dari apa yang aku bayangkan.
Abang Cici disahkan mengidap kanser usus pertengahan tahun lalu, memang serius hinggakan pembedahan dibuat. Kemudian radioterapi dan kimoterapi selain buat terapi harian saban hari di Hospital Kuala Lumpur. Sangkaan ketika itu, sel kanser telah tiada tapi malangnya sekarang ia makin merebak. Doktor telah membayangkan kemungkinan pada satu pengakhiran lantaran tiada ubat untuk merawatnya lagi….
Keadaan fizikal abang Cici tidak menunjukkan keuzurannya selain tubuhnya yang semakin melidi. Abang Cici masih mampu menunggang motor ke sana ke mari termasuklah mengurus segala keperluan kecuali melakukan kerja-kerja berat. Barangkali abang Cici gagahkan diri berdepan semua kesakitan. Mungkin juga enggan diketahui orang lain.