Sunday, 30 January 2011

Kenapa Karya 'Interlok' Dipolitikkan???



Hiba terasa menatap wajah Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein ekoran naskahnya ‘Interlok’ dipolitikkan oleh pihak yang berfikiran cetek dan berakal dangkal. Jika karya sastera yang menceritakan nilai dan budaya pembinaan bangsa sedemikian dinilai dengan hina bagaimana mungkin para pengkritik yang mempunyai kepentingan peribadi boleh menjadi pemimpin.
Interlok adalah paparan realiti yang bertemakan mengenai integrasi tiga kaum iaitu Melayu, Cina dan India seawal tahun 1900-an hingga merdeka selain pelbagai gambaran sosial, ekonomi, politik dan sosio-budaya ketika itu.
Secara peribadi saya mengenali penulisnya yang lebih mesra dengan panggilan ‘Pak Lah’ dan berbangga kerana suatu ketika dulu saya berkesempatan menimba sekelumit ilmunya melalui Penulisan Cerpen sewaktu menuntut di Universiti Malaya – kebetulannya Pak Lah adalah Karyawan Tamu.
‘Interlok’ yang dipilih sebagai teks sastera bagi tingkatan lima untuk persekolahan tahun 2011 menjadi mangsa politik apabila sengaja dinafikan ideanya tanpa melihat kepada keseluruhan kandungan di dalamnya.
Adakah pelajar-pelajar sastera hari ini perlu dihadapkan dengan realiti kehidupan semasa sahaja tanpa melihat permasalahan dan pembinaan kehidupan lampau yang diketengahkan oleh Pak Lah menerusi Interlok?
Ingatlah bahawa bangsa yang berjaya adalah bangsa yang mampu berfikir secara kritis dan rasional dalam pelbagai aspek dan tentunya Interlok mampu menyumbang ke arah itu dengan kupasan matang guru-guru sastera.
Tambahan pula, sekiranya benar karya Interlok ini bersifat perkauman maka mana mungkin ia diangkat sebagai bahan kajian dan menjadi sorotan bukan hanya kepada peminat sastera tetapi juga kepada sarjana-sarjana di Institusi Pengajian Tinggi.
Untuk menyelami tulisan atau sesebuah karya, paling penting adalah menyelami lebih dahulu siapa pengarangnya dan kena ia ditulis. Pak Lah yang telah mencapai usia lebih 90 tahun masih ada dan mampu mengingati semua bahan tulisannya apatah lagi ia mencakupi pelbagai aspek. Melihat pada angka usianya tentulah semua arif bahawa beliau melalui kehidupan yang panjang dalam zaman-zaman berbeza, dari sebelum perang, menyaksikan kemerdekaan, menyelami kemelaratan zaman lampau dan kemudian membina kehidupan dalam arus permodenan.
Ketokohan Pak Lah sememangnya amat saya kagumi, bukan beliau sahaja sebenarnya malah ketokohan dalam keluarganya iaitu adik-adiknya iaitu Tan Sri Emaritus Ismail Hussein seorang tokoh bahasa terkemuka dan seniman tersohor allahyarham Datuk Ibrahim Hussein yang telah dinobatkan sebagai tokoh Melayu Terbilang UMNO 2007.
Justeru, cukup-cukuplah mensensasikan perkara yang bukan isu sedangkan banyak lagi hal-hal lain yang boleh dimanfaatkan bukan sahaja dalam mendapat imbuhan politik malah mampu menyumbang kepada kebajikan dan menyelesaikan permasalahan rakyat.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers