Indahnya Ramadan, bulan yang penuh dengan nikmat untuk kita rebut sebagai bekalan kita di hari kemudian... Namun demikian, di Ramadan ini penuh kesyahduan atas kenangan silam yang bersama keluarga, arwah mak dan adik-beradik yang ramai....
Suatu waktu dahulu, ketika aku masih dalam alam sekolah rendah Ramadan adalah bulan paling sibuk untukku dan keluarga. Setelah seharian berpuasa, maka berbuka bersama adalah satu kemestian. Dalam ingatanku, waktu itu aku berbuka bersama mak dan bapa, abang Maili, abang Cici, abang Kamal, abang Bullah dan abang Hakim... sementara kakak, abang Daili dengan abang Solo dah ada rumahtangga sendiri dan tidak tinggal bersama kami.
Untuk sebuah keluarga besar yang lebih ramai lelaki, tentunya aku yang banyak membantu mak walaupun ternyata tugas aku sekadar menghidang makanan dan mencuci pinggan lantas yang lain mak sudahkan sendiri sepenuhnya, tanpa bantuan sesiapa walaupun mesin dan blander bagi memudahkan kerja seperti hari ini.
Lepas Maghrib, kami akan berbual kosong sementara menunggu Isyak dan kemudian bersolat terawikh dengan berimamkan bapa sementara kami semua menjadi makmumnya. Ini memandangkan kedudukan surau yang agak jauh di samping tiada kemudahan kenderaan selain daripada basikal tua bapa dan basikal BMX abang Hakim saja. Sesekali ada juga beberapa orang jiran tetangga turut serta menjadikan ruang tamu rumahku penuh hinggakan pernah tak cukup ruang....
Bapa cukup tegas menjadi imam malah sejak kecil kami semua dibiasakan sembahyang berjemaah, iaitu bukan sahaja untuk solat terawikh malahan Maghrib dan Isyak adalah satu kemestian.
Selesai berterawikh pula, kami adik beradik akan bertadarus. Begitu juga dengan bapa dan mak yang masing-masing akan bertadarus sendiri. Biasanya aku bersama adik-beradik akan berkongsi untuk menghabiskan tadarus 30 juzuk sebelum 26 Ramadan kerana pada malam 27 atau 28 Ramadan mak akan adakan majlis kesyukuran doa selamat pula.
Sesungguhnya aku amat kagum dengan arwah mak, seringkali kami adik-beradik hanya mampu menghabiskan 30 juzuk al-Quran sekali sahaja tetapi berbeza dengan mak yang seringkali sampai tiga kali, manakan tidak setiap waktu senggangnya akan diisi dengan mengaji.
Memang adakalanya ketika kecilku, sesekali aku akan merungut pada mak kerana waktu yang terhad apatah lagi rakan-rakan sebayaku yang lain akan bermain bunga api sesudah berterawikh, namun demikian aku tidak berkesempatan lantaran adakalanya bertadarus hingga ke 11 malam, lantas terpaksa menyudahkan kerja sekolah sebelum keesokannya bangun awal.
Tapi mak pandai memujuk dan aku tidak pernah sekalipun terkesimpang daripada matlamat asal apatah lagi untuk menyuarakan pada bapa, tambahan lagi abang-abangku yang lain tidak pernah membantah atau melakukan dengan wajah terpaksa.
Namun itu semua telah tinggal kenangan dengan lipatan sejarah yang tidak mungkin berulang lagi....
Itulah kisah lebih 20 tahun lalu, lantas perubahan masa menyingkap perubahan suasana apabila seorang demi seorang abang-abangku berumahtangga dan menjalani hidup sendiri. Kesibukan mereka membataskan masa yang ada apatah lagi untuk mengulangi saat berterawikh dan berkumpul ramai-ramai selain cuma menjenguk sesekali.
Mak pun telah tiada, yang tinggal hanya al-Quran arwah yang diwarisi bapa, malah saban waktu seusainya solat lima waktu, akan terdengar suara perlahan bapa mengalunkan bacaannya di hujung kepala katil – memang tempat arwah mak selalu mengaji dulu.
Jika dahulu mak yang membacanya, aku seringkali akan berbaring di sebelah mak, sambil mendengar mak mengaji aku akan renung wajah tuanya, adakalanya mak akan tertawa dan senyum lantas bertanya pada aku, apa yang dipandang. Mak terganggu dengan tingkahku yang nakal, dan pernah juga aku hingga tertidur di sisi mak sambil mendengar mak mengaji....
Dan Ramadan ini... tahun kedua tanpa mak, tinggal cuma bapa yang kian uzur... namun demikian kasih dan kenangan pada arwah mak tak pernah luput malah makin mendalam, lantas demikian juga pada bapa... masih tak berubah biarpun mak sudah tiada....
2 comments:
Kenangan Ramadhan mana mungkin dapat dilupa tambahan disamping insan yang tersayang. Mana yang telah pergi hanya doa mengiringi dan mana yang masih di sini teruslah ditaburkan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi... Kini giliran kita pula menjadi ibu dan bapa... Semoga berjaya!
insyaallah...tuntutan amanah akan dilaksana sepenuh jiwa biarpun sesekali kesabaran tercalar dan hati gundah gulana ekoran kenakalan anak-anak...
Post a Comment