Wednesday, 24 June 2009
Hari Bapa
Hujung minggu lalu diisytiharkan sebagai Hari Bapa, namun begitu, sejak seumur hidupku tidak pernah sekali pun aku meraikan sambutan Hari Bapa. Bukan tidak mahu, tetapi sememangnya seakan sudah menjadi kebiasaan apatah lagi, budaya kekampungan yang diterapkan dalam jiwa kami sekeluarga tidak pernah meraikan apa-apa hari baik Hari Bapa, Hari Ibu atau hari lahir sekalipun.
Walaupun begitu, tidak bermakna aku tak menghargai bapa yang selama ini terlalu banyak berkorban untukku....
Malah ketika 21 Jun lalu, iaitu hari yang disebut sebagai Hari Bapa, aku meluangkan masa hampir seharian menemani bapa yang dirawat di hospital.
Sememangnya ini bukan kali pertama aku menemani bapa yang mendapat rawatan ekoran beban kesihatan yang semakin menurun, lantas aku sedar... berapa banyakkah waktu yang akan aku habiskan bersama bapa sedang emak tetap kekal dalam kenangan biarpun jasadnya telah tiada.
Sejak awal bulan lalu lagi, demam bapa sekejap datang dan sekejap pergi, dan telah beberapa kali berulang-alik ke klinik. Minggu sebelum bapa dimasukkan ke hospital juga sebenarnya telah mendapat rawatan di sini tetapi cuma seharian.
Sekejap bapa kata pening, sekejap bapa kata sakit perut dan sekejap pula suhu badannya naik hingga 40 darjah. Aduhai, kasihan bapa... tentu bapa rindukan mak sebab biasanya; sewaktu mak masih ada, kalau bapa demam mak akan picit badan bapa, sapu minyak dan selimutkan bapa....
Sesungguhnya, kasih ibu membawa ke syurga, kasihnya bapa berkorban nyawa....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Sayu bila teringatkan Arwah Ayah & Ayah Mertua ...hanya DOA ku panjangkan semoga kedua-duanya berada dalam golongan orang-orang yang soleh....AMIN
Post a Comment