Thursday 22 September 2011

Kota Medan Yang Segan

pandangan Kota Medan dari bilik penginapan Hotel JW Marriot 
Dijalannya penuh kesibukan
Motor bergelandangan bersama debu-debu berterbangan
Ada penghuninya pelbagai lapis
Dari yang minta sedekah dijalanan
Hinggalah yang berkereta cermin hitam
Kota Medan yang segan
Di dadamu ada keresahan
Tampak beku dihimpit gelisah
Sendu pada wajah-wajah penghuninya
Mencari sesuap nasi
Panas hujan tiada terasa
Lelah dikesampingkan
Hasrat hati pada kebahagiaan
Mahukan kesejahteraan

Wednesday 7 September 2011

Santai ngan lagu raya kegemaran...

Teringat zaman kanak-kanak, berlarian dengan abang-abang dalam sorotan mata ayahanda dan laungan bimbang suara bonda pada puteri bongsu keluarga.... aduhaiii

Jasad mak telah bersemadi sementara keuzuran pak membalut diri...
mohon ampunilah anakanda mu ini,
terlalu banyak kesalahan
lantaran kenakalan dan kealpaan yang tiada bernoktah....




Tuesday 6 September 2011

Selepas Aidilfitri…


Mengikut perancangan, seharusnya aku kembali bertugas hari ini tapi ia terpaksa ditangguhkan ekoran kesihatan adik yang masih belum pulih sepenuhnya. Kasihan adik, dari sebelum Aidilfitri hinggalah hari ini kesihatannya pasang surut, antara demam, selsema dan batuk. Paling membimbangkan batuknya yang berlarutan biarpun sudah dirawat malah telah beberapa doktor ditemui bagi memastikan kesihatan adik kembali ke asal. Bermula doktor di klinik panel keluarga di Puncak Jalil hinggalah ke Putra Medical Centre di Alor Setar telah dikunjungi.

Dalam keadaan ini aku tidak menyalahkan sesiapa lantas bermuhasabah diri kerana barangkali kelalaian aku memastikan kesihatan anak menjadikan adik tidak sihat, dari soal pemakanan hinggalah kepada pemakaian aku perlu prihatin apatah lagi adik memang keletah dan sentiasa berselera.

Berbuka Di Luar…

Hari ke-27 Ramadan suami berkesempatan membawa aku dan anak-anak berbuka puasa di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya. Kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh kami bersama anak-anak yang tentunya amat gembira kerana inilah kali pertama kami berbuka puasa di luar apatah lagi si kakak dapat melaksanakan puasa penuh.

Si abang memang sentiasa berselera tambahan pula dapat menu kegemaran iaitu mee goreng sementara si adik tidak banyak ragam; menjadikan suasana harmoni dan santai sambil disajikan persembahan kumpulan Rabbani.

Thursday 1 September 2011

Hadiah Puasa Penuh…


Ceria anak-anak dapat hadiah dari abah terutamanya kakak yang sanggup berpuasa penuh walaupun usianya baru enam tahun. Jika diimbas dahulu, pada usia ini aku tidak pernah berpuasa tetapi kakak memang semangat, sehinggakan tubuhnya turut susut ekoran kurang makan nasi.

Janji telah ditunaikan, kakak mahukan kereta bateri dan si abang pula turut meminta motor kerana dia juga ‘puasa’ penuh…

Alhamdulillah, pada hari ke-27 Ramadan permintaan dan impian anak-anak dapat dipenuhi…. Sememangnya semua ibu bapa di dunia ini akan cuba sedaya mungkin untuk menunaikan apa saja permintaan anak-anak. Bukan saja untuk menggembirakan mereka tetapi dalam masa yang sama merealitikan impian sendiri. Bukan senang nak senang dan jangan cakap senang kalau nak senang tapi dengan usaha, doa dan keredhaan segalanya tidak ada yang mustahil.
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers