Monday 24 August 2009

Influenza H1N1


Wabak Selsema Babi atau H1N1 di Malaysia nampaknya kian serius. Setakat ini sudah lebih 60 orang meninggal dunia akibatnya. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pula menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus influenza A (H1N1) jika orang ramai tidak mengambil serius langkah pencegahan bagi menghalang penularannya.

Lantaran itu, marilah sama-sama kita berusaha untuk mencegahnya, bukan hanya kepada diri dan keluarga tetapi persekitaran juga perlu dilihat sebagai faktor penting yang perlu dititiberatkan.

Sunday 23 August 2009

Syahdu Ramadan

Ramadan datang lagi...
namun suasananya berbeza
kali ini aku di perantauan
demi tugas dan tuntutan kerjaya
jauh dari tawa sendu anak-anak
tanpa suara mesra sanak keluarga
yang ada teman-teman bersama berkongsi suasana
menyambut sederhana atas kesyukuran nikmat-Nya

Thursday 20 August 2009

Berjauhan….

Sesungguhnya ini bukanlah pertama kali aku berjauhan dengan keluarga, tetapi yang pasti inilah kali pertama aku berpisah dengan mereka hampir dua minggu... suatu jangka masa yang bukan sekejap bagiku.... Biarpun suami dan anak-anak bukan di hadapan mata tetapi setiap hembusan nafas ini maka merekalah yang tergambar di wajah. Alhamdulillah, teknologi moden mendekatkan kami walaupun dalam waktu yang terhad tetapi suara dan perkhabaran mereka masih mampu mengubat sekelumit dari selautan rindu yang ada.

Sememangnya, tuntutan tugas yang tergalas di bahu memaksa aku berjauhan di Utara, walaupun terlalu berat rasa hati tetapi demi amanah aku laksanakan juga dengan redha. Syukur, suami amat memahami dan mengambil tugasku sebagai ibu dan bapa pada anak-anak di samping sentiasa memberi sokongan atas apa yang aku lakukan.

Pada Amira dan Ameer, semoga kelak kalian memahami naluri hati dan perasaan mama yang terpaksa meninggalkan kalian bukan sehari dua... dan semoga kalian juga tidak menyalahkan mama atas perpisahan seketika hinggakan terpaksa merubah rutin harian kalian mengikut masa dan keadaan mama dan abah, namun ketahuilah bahawa sesungguhnya nilai kasih dan sayang seorang ibu tiada pernah sekelumit maupun sebesar zarah sanggup berjauhan dengan anak-anaknya....

Thursday 6 August 2009

Menjengah Seketika

Menyusur hari-hari berliku dengan penuh rasa insaf bahawa perjalanan masa yang pantas semakin membataskan pergerakan lantaran tuntutan pada aktiviti seharian, tanggungjawab pada tugas dan amanah pada keluarga.

Sebentar tadi, sempat aku jengah beberapa blog laman sastera yang telah lama aku tinggalkan, termasuklah tulisan-tulisan beberapa pensyarah yang selalu menyokongku dalam dunia penulisan... lantas aku tersedar pada impian masa lalu, suatu cita-cita atas ketandusan pengalaman dan kekontangan fikiran mendepani masa hadapan.
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers