Friday 12 April 2019

Untuk wanita yang teraniaya... Bangkitlah!

Wanita...
jangan sangka hatinya rapuh
usah nilai jiwanya boleh dirobek sesukanya
biarpun raga nampak tak teguh
namun ombak membadai sanggup diharungnya....

Ya... hari ini.... jiwa begitu terkesan.
Membayangkan... betapa kebahagiaan yang diimpikan berlalu pergi tanpa terjangka... puas sudah menahan, telah lama bersabar namun setiap yang bermula pasti ada penghujungnya. Sebuah ikatan... terurai dan dibiarkan... tautan bukan hanya dengan sebelah tangan tapi perlukan ikatan kejap kukuh dan teguh... ikatan yang disimpulkan dengan lafaz kata, ijab dan kabul...janji dan sumpah setia namun terlerai lantaran rasa sudah tiada, kemanisan bertukar menjadi hempedu, kerinduan tiada lagi dikalbu, segalanya diseliputi sayu dan sendu... Rasa cinta disangka mampu terpatri hingga penghujung usia... lantas menyambung kasih di syurga sana namun belum pun senja melabuhkan tirai, jambangan indah yang seringkali disiram terkulai jua... duri tajam menusuk dalam menumpahkan darah membuka pekung berlagu syahdu... sakitnya... aduh!!!

Benar, bukan mudah mempertahankan sebuah hubungan apatah lagi jika disulami dengan kealpaan dan kelalaian dalam tanggungjawab. Semaian kasih yang terhasil dari rasa cinta masih terus mengharapkan belaian, namun bagaimana mungkin ia boleh dilanjutkan apabila matahari yang menyinar gagal menyimbahi cahayanya, panas tidak berpanjangan... mendung yang berlarutan memang sudah dijangka hujan kan mendatang, sangkakan hanya akan gerimis sebentar cuma namun rupanya badai pula bertandang... habis... lampus... diammm....

Habis sudah semuanya... tak tahu lagi apa nak dikata kerana mempertahankan rasa kasih bukan hanya kemampuan sekeping hati, bukan dengan bertepuk sebelah tangan... perlu disulami pelbagai rasa, menyemai rasa cinta berjuta namun jika kecewa hasilnya untuk apa lagi menunggu, kenapa perlu lagi berharap, wajarkah bertahan sedangkan hati telah lama lumat angkara kepalsuan dan kepuraan yang ada. Peluang demi peluang ibarat percuma tanpa harga yang hasilnya tiada memberikan apa-apa selain kecewa juga... jadi ambillah saja noktahnya biar habis semua untuk satu episod baru bermula.

Dia... pergilah tanpa ada apa lagi rasa untuknya selain kebencian mengiringi semua. Itukan yang kau mahu... ambil saja untuk sedekad yang kau siramkan kelukaan dalam hidup kerana engkau pun tak mungkin hingga berabad usiamu, maka tunggulah nanti hari-hari kesaksian bagi kesakitan yang telah kau kirimkan....

Jiwa ini tak rapuh, hati ini tak mati, raga tetap teguh...
Bangkit... biarlah diri yang berubah apabila dia enggan mengalah.
Langkah... ambil tindakan untuk maju ke hadapan tanpa perlu lagi menoleh ke belakang.
Laju... tinggalkanlah kegagalan untuk satu kejayaan di hadapan.
Kasih... bukan dia segalanya apabila sering melukai
Hidup... ya kehidupan perlu diteruskan demi kerana-Mu Ya Allah!

Buat para wanita, sahabatku yang teraniaya... terperangkap dalam kasih yang terabai, bangkitlah demi kehidupanmu sendiri, masih banyak lagi warna-warna indah dalam kehidupan berbanding kelam suasana yang dirasai sebelumnya. Kasih sayang sesama kita tidak pernah habis selagi kita letakkan atas nama-Nya... Allah!

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers