Monday 15 February 2016

Bapak Di Hospital Serdang

Hari ini hari ke-47 aku lepas bersalin. Bapak menghuni wad lagi. Kali ini di Hospital Serdang. Sakit bapak bukan kerana perutnya, gastrik, saluran kencing terganggu atau sebagaimana biasa yang bapak alami. Bapak sesak nafas, tercungap-cungap dan payah benar untuk bernafas sebagaimana biasa. Tambah pula bapak batuk.

Kebetulan bapak ada di rumahku. Perancangan kami untuk bersama-sama dengan abang Hakim dan abang Bullah sekeluarga berbeku apatah lagi musim cuti sempena Tahun Baru Cina.

Keadaan bapak tidaklah kritikal lantas abang Hakim membawanya ke klinik sahaja. Namun doktor di klinik agak kalut dan terus menelefon ambulan berikutan tekanan darah bapak yang rendah dan pernafasan bapak agak payah. Jika diikutkan abang Hakim mahu bawa bapak terus ke Hospital Selayang memandangkan perawatan keseluruhannya sebelum ini ialah di sana namun doktor bertugas enggan ambil risiko. Hospital terdekat dari rumahku ialah Hospital Serdang maka bapak menghuni wad 7 di sini. Bertemankan Didi bapak berambulan ke Hospital Serdang.


Saluran oksigen diberikan pada bapak. Bapak ambil gas empat jam sekali dengan pemantauan dari doktor. Katanya, kemungkinan ada jangkitan pada paru-paru bapak tetapi tidaklah melarat. Beberapa ujian akan dibuat pada bapak. Darah diambil dan kahak bapak juga diminta.

Didi banyak menjaga bapak dan dia sangat prihatin pada atuknya, sementara aku dan abang Hakim ambil giliran beberapa jam berganti menjaga bapak. Ada juga yang lain datang.

Sememangnya kerenah orang tua tidak terjangka dan tuntutan kesabaran bukan hanya perlu pada bapak yang dilanda keuzuran tetapi juga pada anak-anak yang tentunya berubah rutin harian.

Mohon pada-Mu Ya Ilahi kurniakanlah ketabahan, kesabaran kepada bapak berdepan kesakitan yang pelbagai, juga kepada kami anak-anak bapak untuk terus merawatnya dengan kasih sayang yang tidak terhingga. Berikanlah kesihatan kepada kami semua dengan kesungguhan untuk terus berada di jalan-Mu Ya Allah.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers