Thursday 27 December 2012

Percutian Di Pulau Jerejak

Perancangan untuk bercuti dibuat pada saat akhir... sudahnya semua kawasan peranginan telah penuh. Dari satu tempat ke satu tempat dicuba tetapi tidak ada kekosongan. Percutian yang kami cari adalah yang menghala ke Utara, sambil balik kampung boleh bercuti satu malam... dan dalam tak sengaja Pulau Jerejak menjadi destinasi.

Perjalanan bermula dari kampung Mr. Hubby di Alor Setar, terus ke Pulau Pinang. Dari tanah besar ke pulau menaiki feri. Anak-anak ceria berkereta di atas feri. Dari kejauhan pandangan sayup di seberang pulau dan kemudiannya semakin mendekat menampakkan pembangunan dan kemajuan yang ada.

Kemudiannya kami terus ke jeti Pulau Jerejak dan menunggu bot datang. Jadual pengangkutan dari Pulau Jerejak ke jeti dibuat secara berjadual dan sementara menunggu kami makan bekalan nasi yang disispkan oleh kak Ida... kebetulannya Angah dan kak Hamdah pun ikut bersama. 

Pulau Jerejak indah. Pantainya putih bersih dengan pepasir halus sedang disekelilingnya masih menghijau dengan pelbagai pepohon rimba. Jika suatu ketika dahulu tiada sesiapa yang mahu bertandang ke Pulau Jerejak lantaran terkenal sebagai tempat pembuangan banduan tetapi hari ini ia telah menjadi pusat peranginan.

Aktivitinya pula pelbagai dengan acara luar boleh menjadi pilihan, sedang anak-anak lebih gemar bermandian di kolam renang, sementara aku, Mr. Hubby dan Angah memilih aktiviti berbasikal. Sememangnya aku dah terlalu lama tidak berbasikal apalagi di denai hutan yang berbatuan, menyusur lorong rimba dengan tujuan meninjau kawasan tinggalan British di pulau terbabit. Kami hanya berpandukan pelan yang diberi tapi rupanya kawasan yang ada bukan dekat sebaliknya memakan masa berjam-jam juga untuk mengelilingi pulau terbabit.


Waktu malamnya pula kami menghabiskan aktiviti dengan meninjau sekeliling lobi. Sudahnya Angah terpaksa melayan kerenah Amira yang tergoda dengan permainan tradisional congkak. Aku dan Mr. Hubby mencuba bermain ping pong dan snooker. Kebetulannya tetamu di pulau terbabit tidak ramai maka suasana sunyi dan hanya dua tiga keluarga saja yang menghuni pulau terbabit.

Apa yang pasti, percutian kali ini memberikan satu pengalaman berbeza berbanding suasana sebelum ini dan yang paling penting anak-anak gembira.

Bagi mana-mana keluarga yang masih tidak tahu kemana arah tuju percutian maka bolehlah berkunjung ke Pulau Jerejak apatah lagi kosnya amat berpatutan. Maklumat lanjut lawati jerejak rainforest
















No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers