Thursday 16 August 2012

Ramadan Terakhir dan Kehilangan....

hari raya Aidilfitri 1987, aku bersama abang Cici
Menjelang Aidilfitri… saban tahun berbeza dan kali ini aku kehilangan lagi dengan pemergian abang Cici pada Ramadan yang keenam. Jika tahun lalu, abang Cici masih mampu berhari raya dan berkunjung ke rumah bapa dan adik beradik bersama keluarganya walaupun uzur tapi kali ini abang Cici dah pergi menyusul mak, abang Daili dan abang Solo.

Abang Cici yg sentiasa memanjakan aku...
Abang Daili pergi pada Ramadan yang ke-27 tahun 1999 akibat kemalangan jalan raya apabila kereta yang dipandunya bertembung dengan lori. Kesedihan ketika itu amat terasa apatah lagi dalam suasana kami melakukan persiapan Aidilfitri, khabar sedih dari HKL minta mak datang membuat pengecaman. Lebih sayu, sehari kemudiannya anak bongsu abang Daili, Nurul Farahana yang turut sama dalam kemalangan tersebut menyusul pemergian abang Daili. Dalam usia 40-an abang Daili mendahului semua. Pilunya ketika itu memikirkan anak-anak arwah yang seramai tiga orang, Zura, Laila dan Fizi apatah lagi ibu mereka entah dimana. Tapi kemudiannya kami terus terpisah lantaran salah faham yang tak bersempadan, atau barangkali ada perasaan dendam yang tersimpan di hati mereka. Kini yang aku tahu Zura, Laila dan Fizi masing-masing sudah pun berkeluarga tanpa ada khabar yang dikirimkan. Apa yang mampu aku lakukan selain doa semoga kebahagian kalian akan berkekalan hingga ke akhir hayat.
Kenderaan yg dinaiki abg Daili
Kemudian mak pergi pada tahun 2008 dalam usia 70 tahun lantaran keuzuran yang  mendatang. Pemergian mak kami redhai walaupun ternyata amat berat tapi alhamdulillah kerana kami sekeluarga dapat bersama-sama mak hingga ke akhir hayatnya. Dalam sambutan Aidilfitri ketika itu, masa lebih diluangkan di tanah perkuburan, membaca surah yassin dan bertahlil bersama bapa dan adik beradik yang lain.

Menyusul selepas itu abang Solo yang berada jauh di Kota Singa pada tahun 2010. Kedegilan abang Solo yang seringkali enggan menerima dirinya sakit akhirnya berakhir. Namun pemergiannya dipermudahkan Ilahi apabila menghembuskan nafas seolah-olah tanpa keuzuran atau terlantar sakit. Jika tahun sebelumnya kami sempat berhari raya bersama-sama namun pada tahun pemergiannya dia tidak pulang menyambutnya bersama kami. Abang Solo menghadap Ilahi ketika usianya melewati 50 tahun.
Mr. hubby bersama abg Solo...
Dan kali ini... barangkali Ramadan terakhir bersama siapakah yang akan diraikannya, apakah mungkin aku sendiri yang akan menyusul mak, abang Daili, abang Solo dan abang Cici di sana? Apakah cukup bekalanku, apakah cukup amal ibadahku... mohon pada keluarga, sanak saudara dan rakan taulan, sempena menjelangnya Aidilfitri ini, maafkanlah segala salah dan silapku baik yang zahir mahupun tersembunyi. Semoga kita semua akan tetap beroleh keberkatan dari-Nya.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers