Friday 26 August 2011

Rutin Petang Ramadan

Saban petang aku akan membawa anak-anak ke taman permainan sementara menunggu waktu berbuka puasa. Alhamdulillah kerana tahun ini waktu pejabat tamat pukul 4.00 petang jadi aku berkesempatan untuk pulang dan memasak, hidang makanan atas meja dan 6.30 barulah bergegas ambil anak-anak di taska.

Sememangnya lebih baik aku sempurnakan semua kerja-kerja rumah dengan hidangan tersedia barulah kemudiannya ambil anak-anak dan luangkan sepenuh masa bersama mereka di taman permainan. Tergambar keceriaan di wajah mereka, dapat berlari-lari dan berkejaran selain sesekali Amira akan bertemu dengan rakan-rakan sekolahnya.

Masa setengah jam di taman ini memang cukup berbaloi berbanding jika terus balik ke rumah yang tentunya akan membuatkan suasana tegang ekoran Amer yang tak sabar untuk menjamah makanan sedangkan Amira berpuasa, kasihan pula kalau tak makan bersama… lagi pun berjemaah kan lebih baik.

Thursday 25 August 2011

Syahdu Ramadan


Ramadan sudah hampir sampai ke penghujungnya dan beberapa hari saja lagi Aidilfitri akan diraikan. Dalam waktu-waktu ini ingatan pada arwah mak semakin terasa, rindunya pada mak, seakan terbayang renungan wajahnya selain suara lembutnya terngiang di telinga.

Benar, sesekali terbit rasa kecemburuan pada rakan-rakan yang masih mempunyai ibu. Bertuahnya mereka kerana dapat merasai kasih ibu dan menjadikan rujukan kala gelisah apatah lagi dalam usia dewasa.

Dalam masa yang sama aku teringat juga pada arwah mak mertua, dalam sekejap kasihnya terasa. Biarpun aku hanya dapat mengenali ibu mertua dalam jangka hampir tiga tahun sebelum dia pergi mengadap ilahi namun sikapnya yang sangat mengambil berat amat sebati dalam diri.

Saturday 20 August 2011

Luahan Semangat


















Beberapa hari yang lalu aku menulis...

Dalam pendakian menuju ke puncak
Ia bukan semudah disebut dengan kata-kata
Apa lagi untuk digambarkan dengan suasana
Onak berduri dilalui dengan sejuta kepayahan
Tercalar diri terluka pedih
Namun perjalanan tetap diteruskan
Enggan diri alah pada rintangan yang datang
Takdir hari ini bukan penentu hari esok
Lantaran percaya pada diri
Disematkan kesungguhan
Digagahkan keyakinan
Pada lakaran kegemilangan
Langkah dilebarkan
Usaha digandakan
Insya-Allah, kejayaan akan ditemui

Friday 19 August 2011

Tanpa yang lain...




















Suamiku…
Aku hanya seorang wanita
Yang luhur dan tulus menjadi suri hidupmu
Ingin sentiasa dilindungi dan dikasihani
Ingin sentiasa didakap dan dibelai manja
Menganyam cinta, menyulam sayang, mengatur rindu
Ketahuilah suamiku
Aku ingin menjadi permaisuri menemani hayatmu
Aku ingin menjadi permata bertakhta abadi
Aku ingin di sisimu bersama selamanya
Aku ingin tetap menjadi ratu dalam hatimu hingga akhirnya
Hanya aku bersamamu di kala sukar atau bahagiamu….

Friday 5 August 2011

Berkat Ramadan...


Barakallah Ya Ramadan…. Allahu Akhbar. Bersyukur dengan pertemuan pencarian seorang sahabat yang suatu dulu amat akrab, ketawa dan menangis bersama tetapi kemudiannya hubungan kami terputus…. Sememangnya terbukti bahawa media maya hari ini amat membantu dan pencarian saban tahun beroleh hasil apabila aku tersua dengan Linda dalam laman fb.

Bersama Linda, walaupun sesungguhnya jangka perkenalan kami cuma beberapa tahun tetapi kerelaan dalam perkongsian kedukaan dengan menjadikannya sebagai penawar dalam kehidupan amat dalam maknanya, tetapi atas haluan hidup kemudiannya, hubungan akrab terus terputus.

Wednesday 3 August 2011

Sambil Menyelam Minum Air




Laman ini sudah hampir bersawang ekoran kegagalan aku untuk menggunakan waktu senggang sebaiknya. Bohonglah jika aku tiada langsung masa terluang sebaliknya aku lalai mengusir sifat malas. Itulah aku yang acapkali lemah aku lawan apabila dibelenggu emosi sedangkan aku ada banyak pilihan untuk dibuat.

Apapun aku masih bertuah kerana dapat menggunakan ruang waktu yang ada untuk memenuhi hajat dan permintaan anak-anak bagi menaiki bas pulang ke Utara. Memang aku dan suami berhajat untuk menjenguk bapa yang semakin uzur sebelum kedatangan Ramadan dan dengan ruang yang terhad kami mengisi masa sambil memenuhi hajat anak-anak.
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers