Friday, 18 December 2009

Salam Maal Hijrah

Semoga kehadiran 1 Muharam ini akan memberi seribu makna dalam kehidupan, insyaAllah, cita-cita yang selama ini terpendam akan menjadi realiti berlandaskan perancangan yang akan dilaksanakan.... Salam Maal Hijrah

Tuesday, 15 December 2009

Ulang Tahun ke-6


Tanpa sedar masa datang dan berlalu pergi bersama kenangan demi kenangan.... Sesungguhnya tarikh 12 Disember tetap kan terpahat dalam ingatan; tanda terpatrinya aku sebagai isteri apabila ijab dan kabul sah dilafaz. Enam tahun lalu bertempat di masjid As-syakirin, Gombak impian menjadi nyata apabila ikatan kasih untuk bersatu dalam alam rumahtangga setelah hampir tiga tahun mengayam impian menjadi realiti.

Alhamdulillah, sepanjang usia enam tahun bahtera rumahtangga ini berada di pelayaran, gelombang mendatang sambil sesekali disusuri angin kencang dapat direntas; lantas kesyukuran dipanjatkan kerana tiada pernah terbakar keimanan antara kami atau ada ribut taufan yang gagal diharungi.

Thursday, 10 December 2009

Kehilangan


Bukan mudah untuk menerima berita tentang kehilangan insan tersayang apatah lagi ianya berlaku secara mengejut dan sesungguhnya itulah yang aku lalui awal bulan lalu. Sungguh aku agak terkilan dengan apa yang berlaku kerana pemergian abang Solo tanpa sebarang tanda, apatah lagi beberapa hari sebelum itu kami berbual di talian...biarpun tak lama tapi selorohnya berkaitan kematian mengingatkan aku mungkin itulah tandanya.

Abang Solo satu-satunya abang aku yang tidak membesar dan tinggal bersama kami adik beradik kerana dia dijaga oleh ibu saudara sebelah mak di Singapura. Namun begitu, biarpun jauh tetapi kemesraan sebagai adik-beradik tidak pernah terbatas apatah lagi aku sebagai adiknya yang bongsu dan tunggal perempuan pastinya sentiasa menjadi keutamaan. Malahan ketika zaman kanak-kanak dan remajaku, tuntutlah apa sahaja daripadanya pasti aku akan dapat; juga sehingga aku berumahtangga suamiku pula menjadi teman akrabnya apabila berkunjung ke sini.