Wednesday 22 October 2008

Kembali lagi

Lama dah tak imbau blog ni, alasan tempat memang sepatutnya diketepikan tapi itulah realitinya. Kalau di pejabat, memang secara total gagal untuk mencari waktu seminit dua sekali pun, adakalanya waktu rehat terguna untuk agenda lain... dan kemudian niat untuk menulis tertangguh. Kononnya, niat disimpan untuk menulis apabila sampai di rumah. Tapi nampaknya terbengkalai juga, berada di rumah lagilah tak sempat. Terkejar dengan Ameer dan kak longnya yang penuh dengan pelbagai ragam.

Minggu ni memang sedikit lelah, pelbagai tentatif telah diatur dan cuba disesuaikan dengan masa suami agar masa bersama keluarga dapat digunakan. Memandangkan abah kak long masa bekerja tak macam orang lain, maka kenalah pandai-pandai sendiri untuk mencari ruang bersama.

Sebenarnya sejak awal perkenalan dengan suami lagi masa kami memang selalu sahaja bertindih tetapi apabila ada yang terluang maka masa tersebut akan digunakan sepenuhnya untuk mengganti masa yang berlalu. Semoga persefahaman ini akan berkekalan....

Monday 13 October 2008

Hujung minggu

Hujung minggu menghabiskan masa di rumah sahaja tapi aku gagal mencuri masa untuk memenuhi ruang catatanku. Tumpuanku pada tugas harian rumahtangga dan anak-anak. Alhamdulillah anak-anakku tidak banyak masalah dan cuma sesekali saja kak long buat hal, dia memang cerewet... banyak sedikit kerenahnya yang menuntut kesabaran.

Sesekali aku cuba melarikan diri dari fikirkan hal-hal pejabat apatah lagi yang berkaitan dengan politik semasa tetapi sesungguhnya, lumrah kehidupan... sememangnya ia sebahagian daripada hal-hal semasa yang perlu diikuti.

Friday 10 October 2008

Permulaan


Sesuatu yang baru...sememangnya telah lama diimpikan untuk mempunyai blog sendiri tetapi nampaknya baru hari ini ia mampu direalitikan. Beban tugas yang digalas di pejabat dan tanggungjawab selaku isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata sesungguhnya menuntut pengurusan masa yang bukan sedikit.

Pelbagai tugas dilakukan sesempurna yang mungkin dengan hati sentiasa cuba bersifat lapang agar apa yang dilaksanakan dapat dibuat dengan ikhlas. Namun apabila ada masa yang terluang, tidak tercapai juga impian melayar blog sendiri kerana telah kelelahan. Adakalanya duduk tersandar di sofa atau terbaring melayan kerenah anak-anak di hadapan tv.

Memang sesekali tergambar difikiran... seakan terbayang saat-saat remaja lalu. Walau sesibuk mana sekalipun, ruang penulisan tidak pernah dilupakan malah ia telah sebati dalam diri untuk sentiasa berkarya, namun kini setelah berumahtangga apatah lagi memiliki cahaya mata, menulis yang dahulunya menjadi hobi seakan samar dari jangkauan....

Harapan tersemat di hati agar blog ini menjadi titik permualan untuk meneruskan impian yang tidak terlaksana, sekurang-kurangnya sebagai tempat meluah rasa apabila yang terbuku di kalbu gagal dihamburkan...
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers