Thursday 2 May 2019

Tahniah Didi... Konvokesyen dan Percutian Di JB

Awal-awal lagi abang Hakim dah maklumkan tarikh konvokesyen Didi di UTM pada 30 April. Kami memang merancang untuk meraikannya. Alang-alang je Johor, teruslah bercuti di JB apatah lagi kami semua tidak pernah menjelajah Selatan tanah air. Dengan tarikh konvo yang telah muktamad, perancangan dibuat... anak-anak yang bersekolah semuanya 'ponteng' kerana konvo adalah antara hari yang penting dalam hidup. Itulah satu kejayaan atas usaha yang telah dilakukan... dari kecil, alam tadika, sekolah rendah dan sekolah menengah tentunya tujuan utama adalah untuk ke menara gading. Lantaran itu, hari penganugerahan adalah satu pengiktirafan atas kejayaan bergelar pelajar selama ini. Tahniah Didi... alhamdulillah, berjaya dalam usaha yang lelah dan tentunya penuh mencabar.

Penginapan kami booking di JB, di tengah-tengah bandar mengadap ke Sogo. Kami bertolak 29 April, secara santai tanpa ada perlu yang dikejarkan. Didi bertolak sehari lebih awal kerana ada raptai yang perlu dihadirinya. Kami jemput Didi di Larkin dan menuju ke tempat penginapan yang sangat eksklusif. Memang kami mahukan penginapan selesa, ada dapur untuk memasak dan ada kolam renang untuk anak-anak bermain.

Waktu malam, kami ke Pasar Karat, JB tapi tak ramai orang sebab hujan... tak ada apa-apa acara dan banyak orang yang tak berniaga.... Kami berkereta ke sekitar JB, melalui Danga Bay dan kawasan sekitar.

Hari Konvokesyen Didi... yang masuk dewan bertolak dulu dengan grab sementara yang lain menghabiskan masa bermain di kolam malah aku sendiri sempat menjengah gym yang ada. Sangat selesa. Selepas itu barulah kami menyusul ke UTM. Bergambar dalam tawa dan ceria. Jambangan bunga untuk Didi, hadiah atas kejayaannya dan semoga terus maju jaya tidak kiralah dalam apa jua yang dicitakan.

Malamnya Didi bertolak balik ke KL kerana perlu bekerja setelah tiga hari bercuti, sementara kami meneruskan percutian di JB.

Kami ke Zoo JB yang sangat santai dan menarik. Dengan harga tiket yang hanya RM2, kami berkeliling menikmati suasana meriah melihat pelbagai haiwan di dalamnya. Kebetulan cuti 1 Mei, Hari Pekerja, maka tak hairanlah pengunjung pun ramai. Anak-anak amat teruja melihat pelbagai haiwan rimba di depan mata.

Kemudiannya, kami bersolat di Masjid Sultan Abu Bakar, sayangnya masjid ini sedang dibaikpulih jadi tak dapatlah bergambar di ruang utamanya. Lalu, kami menuju ke Forest City. Cantiknya tempat ini, seakan bukan dalam negara. Bersantai di tepian pantai dalam cuaca cerah dan berangin. Ramai pengunjung dari Seberang, malah secara terbuka meneguk minuman keras di kerusi-kerusi rehat tepian pantai.

Kami tak berlama di situ, terus bergambar di kawasan sekitar. Kawasan yang cantik dan menarik untuk disimpan sebagai memori di dalam foto.

Waktu malam, kami ada temujanji makan malam di rumah Zai. Ingatkan jauhlah rumahnya, rupanya dalam sekitar 25 minit saja. Zai menyambut kedatangan kami dengan ramah. Menghidangkan makan malam siap dengan pencuci mulut lagi tu... wahhh. Sementara Mr Hubby dan abang Hakim ke dobi, aku menghabiskan masa berbual dengan Zai. Memang dah lama betul kami tak jumpa dan meluangkan masa berbual sedemikian, lainlah dulu di alam remaja.

Keesokannya, hari terakhir di JB. Anak-anak berpagian di kolam renang dan pukul 12.00 tengahari kami bertolak balik ke Ibu Kota.

Ternyata, percutian di JB menarik... banyak lagi tempat-tempat yang belum dikunjungi jadi lain kali boleh datang lagi.... 

 
 
 
 

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers