Friday 5 April 2019

Coretan PABKL 2019...

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PABKL) berlangsung pada 29 Mac - 7 April. Memang tiap tahun aku tak akan ketinggalan apatah lagi dah ada anak-anak yang sememangnya menjadi rutin mereka untuk berkunjung.

Kebetulan pula ada penghujung cuti sekolah yang menjadikan Amira, Ameer dan Afrina aku bawa sekali ke pejabat untuk mereka berkunjung ke PABKL. Amira sudah remaja, matang dan sudah arif selok-belok PABKL lantaran saban tahun tak pernah terlepas mengikutinya. Kalau di alam kanak-kanaknya, Angah yang banyak menemani Amira apabila ke PABKL maka kali ini aku lepaskan Amira bersama Ameer dan Nina.


Biarpun keadaan ekonomi tergugat namun aku sediakan sedikit wang saku untuk mereka membeli bahan bacaan. Buku bukan perkara yang membazir. Biarlah anak-anak berbelanja untuk buku-buku yang bakal dibaca sebagai tambahan ilmu kepada mereka.

Suka betul mereka... malah Amira sendiri berbelas-belas novel dibelinya. Ada tambahan dari wang saku yang disimpannya sendiri untuk PABKL ini. Memang dia kaki novel... boleh baca dari pagi sampai malam. Aduhai... terkenang pula alam remajaku yang juga sangat meminati novel namun ketika itu perbelanjaan yang terhad menjadikan aku lebih kepada meminjam buku di perpustakaan. Nasib baik kemudiannya jadi perpustakawan maka novel-novel baru dapat aku rasmikan lebih dahulu.

Ameer dan Nina pula lebih kepada buku-buku komik lagi-lagi lawak kampus. Sesuailah dengan usia mereka yang anak-anak. Dulu pun aku selalu baca komik Gila-gila abang-abangku.

Habis untuk anak-anak. Kemudiannya aku berkunjung lagi ke PABKL sendiri. Melihat buku-buku yang dulunya menjadi sebahagian dari tugasanku sewaktu menjadi editor buku di salah sebuah IPT.  Hati dipagut rindu pada memori lama. Tiga tahun bergelumang dengan manuskrip untuk dijadikan buku amat bermakna malahan ilmu yang diperoleh dapat diaplikasi sampai ke sekarang ini.

Berkunjung juga ke booth Perpustakaan Negara, dapatlah berjumpa dengan Syafarah yang bertugas di sini.

Kemudiannya, tarikh 5 April, Prof Datuk Dr Rahman Shaari menghubungiku, maklumkan beliau akan ada di 'Sofa Putih' ITBM. Prof Rahman yang sememangnya pensyarahku di UM, masih tak putus hubungan hingga kini. Sentiasa mengingatiku, menyokong dan mendorongku untuk terus menulis. 

Katanya, aku pelajar terbaiknya yang dia sentiasa ingat, malahan ketika sesi 'Sofa Putih' pun dia perkenalkan aku kepada khalayak sebagai pelajar penulisan kreatif terbaiknya. Itu dulu... memang aku menerima anugerah itu selepas hari penganugerahan dari Jabatan Pengajian Media... tapi sekarang aku dah lama tak menulis dalam genre kreatif, maka anugerah itu terasa berat digalas....


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers