Saturday 6 October 2018

Tokoh Agama, Hassan Azhari Meninggal Dunia

Agamawan ulung negara telah pergi mengadap pencipta-Nya. Terkesan di hati bagaimana pertemuan lalu bersama beliau yang kerap bercakap soal hidup dan mati. Dalam tugasan bersama-sama rakan-rakan sempena penganugerahan kepada beliau Tokoh Melayu Terbilang tahun 2014, aku bersama Kuman, Ann dan abang Chie berkesempatan meluangkan masa beberapa jam bersama beliau. Kami ke rumahnya di Keramat, beliau telah sedia menunggu kedatangan kami dengan ramah. Perbualan dan sesi temuramah yang berlangsung ibaratnya kami sudah acapkali berjumpa. Ada isterinya menemani perbualan kami. 


Beliau tidak canggung menjawab pelbagai persoalan kami, khususnya berkaitan penglibatan beliau dalam ilmu agama. Kalimah Allah sentiasa mengiringi ucapannya, lembut tuturnya namun sentiasa tegas dan yakin dalam berkata-kata. Beliaulah insan yang melaungkan azan sewaktu kemerdekaan dicapai pada 31 Ogos 1957. Kelunakan suaranya dengan kemahirannya dalam melagukan perlabagi versi laungan azan amat meninggalkan kesan malah menjadi detik bersejarah selepas bendera Union Jack diturunkan, laungan kemerdekaan Tunku dan juga suaran kumandang azan hasil suaran allahyarham Tan Sri Hassan sendiri. 

Allahyarham amat dekat dengan al-Quran. Sudah jadi keseluruhan dari hidupnya mendampingi al-Quran, malah pelbagai kamus berkaitan dan tulisannya tentang al-Quran melangkau sempadan negara dan ilmuan lain. Pesannya juga terngiang ditelinga untuk terus menjadikan al-Quran sebahagian dari rutin harian. Baca hari-hari, katanya. Dan barangkali kerana penghafalannya dengan kitab al-Quran, mukjizatnya terpancar sebagaimana allahyarham yang masih kuat, tidak pekak dan penglihatan pun masih baik dalam ketuaannya melewati 80 tahun. 
Benar, aku rasa bertuah dapat mendekati, berbicara dan memperoleh pelbagai pesanan beliau berkaitan al-Quran dan cara hidup kita secara langsung. Betapa kesederhanaan beliau pada pandangan mata menyimpan pelbagai ilmu yang tidak terhitung. Hari ini pemergiannya dalam usia 90 tahun adalah satu kehilangan besar bukan saja kepada negara tetapi dalam dunia ketamadunan Islam itu sendiri.  

Terlekat diminda, katanya... sembahyang, mengaji... jangan tinggal. Bila ada orang sebut mati jangan takut, banyakkan baca al-Quran lagi bila rasa diri makin berusia. Aduhai.... Inilah insan ulung yang terlalu banyak jasanya kepada agama, bangsa dan negara. Semoga Allah SWT menempatkan beliau di sisinya. - Al-Fatihah.
anak allahyarham yang sangat santun dalam bicara

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers