Monday 17 September 2018

Ke Gunung Angsi...

Kali ni cuba nak mendaki gunung yang lebih tinggi. Memang perancangan kali ini di luar Kuala Lumpur, namun masih tak jauh dari rumah iaitu di Gunung Angsi yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Semua perancangan dilakukan oleh Mr Hubby dan dipersetuji oleh aku. Macam biasa, Ameer dan Afrina sangat teruja, apatah lagi ada kasut hiking baru yang bakal mereka rasmikan pada pendakian ini. Nak mendaki biarlah dengan kelengkapan yang sempurna kan....

Kali ini kami disertai oleh Puteri, Adam dan Arisya kerana kebetulan mereka tidur di sini. Kebimbangan Mr Hubby adalah pada Arisya yang kali pertama akan menyertai kami. Adam pun kali pertama tapi dia aktif berbanding Arisya yang dilihat agak santun biarpun sebaya dengan Nina. Namun Arisya sangat bersemangat walaupun diingatkan bahawa gunung ini tinggi, bimbang tak larat pula.

Selepas menunaikan solat subuh kami bertujuh bertolak. Perjalanan lancar, tak banyak kenderaan dan tak sampai sejam kami telah tiba di kawasan perkelahan Ulu Bendul. Mr Hubby singgah di medan selera tersedia, sangkakan hanya nak beli minuman tapi rupanya ajak bersarapan pula. Mr Hubby makan nasi goreng, Nina juga siap ada telur mata pula. Adam berkongsi dengan Ameer sementara aku Puteri dan Arisya menjamah sedikit seorang sepinggan mee goreng yang di kongsi bersama.


Kemudian kami ke kawasan pendakian, kaki Gunung Angsi di Bukit Putus. Kawasan yang terjaga, ada ruang pendaftaran untuk para pendaki dan ada kemudahan tandas awam tersedia. Sudah ada deretan kereta di sekitar bahu jalan yang menandakan ada yang mendaki lebih awal. Masing-masing antara kami telah bersedia dengan berkasut lengkap dan beg galas berisi air selain sapu tangan untuk mengelap peluh. Sebelum memulakan pendakian aku mengetuai anak-anak melakukan senaman pemanas badan dalam 10 minit. 

Fuh... langkah pertama terus mendaki tangga yang menjunam tinggi ... kemudian mendaki laluan lain memasuki kawasan hutan bertrek yang terus mendaki dan mendaki. Tanah yang agak lembap, akar-akar pokok mendakap bumi dan daunan yang masih basah menjadi jalan pendakian. Tak ada yang landai... mendaki dan mendaki. Terasa ketat otot paha, peluh mula membasahi tubuh, nafas mula terasa mengah.

Ameer dan Adam mendahului langkah kami di depan, diikuti Puteri yang sabar melayani langkah Arisya. Aku dibelakang mereka sementara Nina makin lama makin perlahan menjadikan mood Mr
Hubby yang melayaninya mula ke laut... hehehe. Sebelum Mr Hubby semakin menyinga baik aku yang menuntun Nina yang sudah mencuka. Jauh juga kami mendaki... adalah dalam 30 minit masa berlalu.

Ameer, Adam, Puteri dan Arisya sudah jauh ke depan. Mr Hubby mengekor langkah mereka sedangkan aku menemani Nina yang langkahnya makin malas. Wajahnya kelat. Bila ditanya tiada jawapan, namun aku pasti ada yang tak kena. Tak pernah dia berperangai begini dalam beberapa pendakian sebelum ini. Biasanya Nina yang jauh ke depan dan melangkah dengan bersemangat. Sudahlah apabila ditanya tanpa jawapan, payah benar nak meluah rasa.

Aku meneka, penat... dia gelang, ngantuk... geleng lagi, nak muntah... dia menganguk. Memang, mana pernah dia makan makanan berat pagi-pagi, lagilah nak mendaki. Sudahnya dia menghamburkan isi perut yang dimakannya ketika bersarapan tadi... mee goreng dan telur yang sudah hancur habis keluar semula dengan bau masam menerjah hidung.

Kami duduk di akar kayu yang besar... seketika membiarkan Nina kembali bertenaga. Muntah kali kedua, tak sebanyak yang tadi, lebih kepada angin dan sendawa yang pastinya tak serasi dengan tubuh. Akhirnya kami tertawa. Menjadikan insiden muntah dalam pendakian sebagai lelocon untuk diingati. Itulah... lain kali jangan ikut nafsu kalau makan. Kenali tubuh dan tabiat sendiri tanpa mengikut mood abah yang berselera bersarapan. Nina selalu tak makan banyak pun kalau waktu pagi malah sebelum ini, tak pernah pun kami ambil makanan berat sebelum memulakan pendakian. Jawab Nina bersahaja, salah abahlah... nampak sedap adik pun makan la juga....


Sudahnya niat untuk meneruskan pendakian dibatalkan lantaran keadaan Nina yang tentunya tak sedap badan. Kami bersantai dalam hutan menikmati kepelbagaian tanaman di sekeliling, bauan segar daunan rimba dan bunyian unggas sayup mendamaikan. Berfoto dalam pelbagai aksi. Sesekali berselisih dengan pendaki yang baru naik sedangkan kami mulai turun ke bawah. 

Sampai di kereta aku suruh nina tidur bagi memulihkan keletihan dan mengembalikan semangatnya semula sedangkan aku lebih santai bersahaja dengan telefon bimbit.

Pukul 11.00 pagi mereka kembali ke kaki bukit dengan Adam mendahului dan diikuti yang lain. Nina dah bangun dari tidurnya dan kembali pulih. Kata Mr Hubby, tak apalah lain kali kita mendaki lagi di sini. Arisya yang nampak longlai pun rupanya bersemangat sampai ke puncak. Itulah Mr Hubby, jangan nilai orang bersahaja kerana akhirnya yang tak larat Nina pula...hehehe.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers