Sunday 9 September 2018

Jalan-jalan G2G Maeps & Taman Tugu Bersama Carq

Carq... adik bongsu Mr Hubby datang lagi bercuti ke KL. Awal tahun dia datang melawat aku yang melahirkan Amani sambil membawa anak-anaknya berjalan dan kali ini juga, hati Ikram dan Akif terus tertinggal di KL untuk berulang lagi ke sini. Alhamdulillah... dalam Mr Hubby tak berkesempatan pulang ke kampung maka adik-beradik yang datang amat mendekatkan. Najiha pun datang juga. Kebetulan ada pula kenduri anak sepupu Mr Hubby di Sungai Buloh.

Carq kata Ikram yang berusia enam tahun teringin nak ke Zoo Negara. Namun kesuntukan masa di samping perlu ke kenduri maka tak berbaloi untuk ke Zoo. Lagi pula dah lama benar kami pun tak ke sana sedangkan di KL ini ada banyak pilihan untuk melihat pelbagai binatang. Lantas aku dan Mr Hubby memutuskan membawa mereka bersama anak-anak ke G2G, Animal Farm Maeps Serdang. Dekat dengan rumah, mudah dan bayarannya pun agak berbaloi untuk tempoh masa yang kami ada.

Kami bertolak dari rumah pukul 10.00 pagi, terus ke tempat dituju yang jauhnya dalam 15 minit perjalanan saja. Tiket dibeli. RM20 untuk dewasa dan kanak-kanak yang tingginya lebih dari 90cm dikira RM10.

Ruangan pertama kami memasuki kawasan taman burung, ada yang bersangkar dan ada yang dilepas bebas. Jinak. Dua ekor burung kakak tua berlainan warna mesra menggamit pengunjung. Mudah didekati, dibelai dan mudah pula nak menggigit.... Ada juga burung merak yang juga dilepas bebas, berjalan gah tanpa menghiraukan orang ramai dan ada juga yang di atas pokok. Burung-burung kecil yang pelbagai dalam sangkar berlainan yang boleh juga kami masuki. Kicauan meriah kedengaran menyambut kami.

Berjalan keluar, ada pelbagai spesis burung termasuk merpati, merbok, ayam serama, ayam hutan dan macam-macam lagi yang aku tak tahu namanya. Tentunya keterujaanku lebih kepada melihat aksi anak-anak terhadap pelbagai binatang yang ada di sekeliling mereka. Ada landak, tikus tanah, hamster dan pelbagai binatang lain yang sama spesis dengannya. Kemudian, kami turun ke bawah, bahagian ladang. Laman ternakan kampung ada ayam itik, angsa dan kambing - tentunya bagi Ikram dan Akif sangat biasa. Di kampung pun banyak malah boleh dilihat lepas bebas saja ayam berlarian, itik bermain dan kambung yang meragut rumput. Namun di KL ia menjadi satu tarikan kepada anak kota lantaran ruang dan pandangan yang berbeza. 

Ada juga ternakan rusa, ramah menjengahkan mukanya kepada pengunjung. Kita pula yang jadi cuak apabila rusa-rusa ini datang bersahaja merapatkan kepalanya tatkala kami mendekati kandangnya. Rusa-rusa boleh diberi makan dengan makanan yang dibeli dari petugas berhampiran. Bersebelahan kandang kambing ada kuda padi yang anak-anak boleh naik dengan bayaran RM5.

Kemudian ada juga burung unta yang juga sangat ramah pada pengunjung. Tak kisah pun dengan orang ramai malah burung unta ini macam tahu pula orang nak bergambar dengannya... hehehe...

Ada rumah reptilia, ada ular pelbagai jenis. Petugas mengeluarkan ular yang ada, memberi peluang pada pengunjung bermesra dengannya tapi tidaklah aku nak dekat... Sesiapa yang berani nak memegangnya sendiri, nak bergambar boleh saja tapi tidaklah bagi aku. Selain itu ada biawak dari beberapa spesis dan juga kura-kura. Rumah kucing berhampinnya, pelbagai spesis kucing termasuklah yang liar.
Meluangkan masa seketika membiarkan anak-anak lepas bebas meninjau pelbagai binatang yang ada di depan mata sebelum kami meraikannya dengan makan aiskrim di luar. Lantas perjalanan diteruskan ke rumah kenduri sepupu Mr Hubby di Sungai Buloh. Ramai saudara maranya yang ada, datang dari Perlis, juga Kedah dan Melaka selain dari sekitar KL juga. Meluangkan masa beberapa jam bersama mereka sebelum kembali meneruskan 'jalan-jalan'.

Kami ke Taman Tugu. Ramainya pengunjung dengan bas pelancong yang berderet di kawasan sekitar. Kami bergambar dari pelbagai sudut. Sana sini dan anak-anak pula bebas berjalan dan berlarian. Singgah bersolat Asar di Masjid Bukit Aman sebelum ke Taman Botani Tasik Perdana. Aku dan Amani tinggal saja di masjid, tak bersama mereka kerana mereka akan kembali bermaghrib di sini. Aku mandikan Amani, suap makan dan tidurkannya sementara menunggu Maghrib.

Sesi malam, kami ke KLCC. Perkarangan luar Taman KLCC kami tuju. Pancutan air berwarna-warni dengan iringan irama lagu menarik perhatian ramai. Kami duduk di pondok wakaf yang ada di tepi taman. Sambil melihat pancutan air dari jauh, kami makan malam. Nasi kenduri tadi, nasi minyak, ayam masak merah, rendang daging bersama acar buah dan pajri nenas amat menyelerakan. Selesai kami membiarkan masa berlalu dengan anak-anak saling bermain. Pukul 10.00 malam kami perlu meninggalkan taman, setakat itu kami di situ kerana kawasan terbabit akan ditutup. Tambah pula Akif pun sudah lena dibuai mimpi dan anak-anak lelah berjalan seharian, jadi baliklah. Esok pagi Carq pun nak balik Kedah dah... selesai bersama anak-anak semua.





 




No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers