Sunday 23 September 2018

Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong

Mendaki lagi... lokasi kali ini hanya di belakng rumah... sekitar 7 km dari rumah. Rupanya ada tempat hiking di sini. Hutan simpan Ayer Hitam Puchong. Terletak agak tersorok di kawasan perindustrian, berdekatan juga dengan kawasan sekolah dan kawasan perumahan. Laluan nak masuk pun tak nampak macam tempat hiking tapi rupanya kawasannya sangat cantik dan menarik.

Macam biasa, kami bertolak selepas solat subuh, taklah terlalu awal pagi... bersama Mr Hubby, Ameer dan Nina. Pukul 7.30 pagi sudah penuh kenderaan memenuhi bahu jalan. Memang tak ada tempat untuk meletak kenderaan yang khusus kepada pendaki maka bahu jalan jadi lokasi. Tempat letak kereta di hadapannya yang menempatkan deretan kedai-kedai pun penuh dengan kenderaan para pendaki. Kami meletak kenderaan bersebelahan sekolah Cina, sekitar 200 meter dari kaki bukit pendakian.

Pertama kali datang ke sini, kami hanya mengikut pendaki lain memasuki denai menuju kawasan pendakian. Ada tokong kecil... persinggahan para pengunjung Buddha, membakar colok... tunduk dan meneruskan pendakian.

Laluan mendaki tidak terlalu curam, ada yang bertangga dengan akar-akar berselirat, ada yang landai menjadikan perjalanan kami pelbagai. Semakain jauh kami mendaki semakin berkurangan orang yang kami temui. Laluannya naik... rata sedikit, naik lagi... rata sedikit dan naik yang memberikan para pendaki ruang rehat. Sempat menarik nafas antara waktu mendaki yang ada apabila melalui trek yang tidak begitu tinggi.

Namun aku agak keletihan... tak fit. Barangkali akibat berat yang bertambah sehinggakan 4kg dan kurang pula terlibat dengan aktiviti lasak. Haaa... itulah penangan pencinta makanan....

Sepanjang laluan ada anak panah yang memudahkan pendaki. Ada laluan berbeza, untuk ke puncak atau mahu ke air terjun. Boleh juga berkeliling, terus ke air terjun dan balik melalui trek yang lain,  lalu di puncak dan turun ke bawah.

Turun naik bukit, jumpa anak sungai yang sangat jernih airnya, ada titian kecil dan batuan tempat berpijak agar tak terkena air yang mengalir lesu. Selepas mendaki laluan yang lebih sukar, menuruni bukit dan sampailah ke kawasan air terjun yang airnya sangat jernih dan sejuk. Cantik alam sekeliling, panorama yang indah menjamu mata dengan hiasan latar pepohon hijau dan air sungai yang lalu di batuan membentuk air terjun dalam kolam alam yang dalam. Indah. Bunyian aliran air gemersik dengan deruan air terjun yang mesra.

Seketika, kami merehatkan diri, bergambar dan merasa sejuk jernih airnya membasahi kulit wajah. Sambil itu, meneguk bekalan air dan meninggalkan tempat tersebut. Meneruskan perjalanan dengan mendaki lagi ke sebelah seberang selepas meniti pada dahan pokok yang melintang sungai. 

Ada juga papan tanda kepada para pendaki. Undang-undang dan peraturan yang perlu diikuti sepanjang berada di hutan simpan ini.

Terus berjalan, selepas mendaki laluan agak rata sebelum mendaki lagi sehinggakan kami menemui hutan paku pakis yang luas. Seakan cerita 'lost world' yang di dalamnya ada menyelinap dinasour untuk menarik kami... hehehe khayalan sambil berjalan tanpa berani diluah dengan kata-kata. Lagilah pula di depan anak-anak dan di dalam hutan. Jangan cakap sembarangan, semua tempat perlu kita ada rasa hormat. Jangan mempersenda atau mentertawa, nanti lain jadinya. 

Dari atas, kami menijau ke bawah seketika, nampak bangunan-bangunan tinggi, kawasan perumahan yang meluas dari kejauhan. Namun enggan berlama lantaran keletihan yang sudah mula menjalar. Sebelum itu kami lalu di kawasan talian dan rotan yang bergayutan, sempatlah Nina dan Ameer bermain buaian yang terbentuk dengan kesesuaian alam.

Laluan turun terasa jauh pula, mungkin kerana lelah dan rasa ingin segera sampai yang sudah ada. Beberapa kali juga kami berselisih dengan kumpulan para pendaki. Tanya mereka air terjun jauh lagi tak? Dekat saja....

Akhirnya sampai juga kami ke bawah, melintasi anak sungai yang separuhnya bertutup lalang. Ternampak pula biawak yang berenang tenang menyusur arus. Besar, seakan anak buaya pula lagaknya. Di situlah habitatnya dan kami yang datang berkunjung rasa bertuah dijamu dengan kewujudannya dalam alam semulajadi. 

Kesimpulannya, inilah kawasan pendakian yang terbaik.... redup dengan kawasan yang diliputi pepohon hutan, kawasan trek yang pelbagai, tinggi, landai, bertangga dan sedikit curam selain pemandangan alam yang mengagumkan. Sampai di kaki bukitm keluar dari hutan ada penjaja sudah menanti dengan air kelapa muda dan air milo segar yang menyejukkan.


 
 



No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers