Saturday 18 August 2018

Menakluk Denai Tiga Puteri

Dah lama tak hiking... rasa teruja apabila Mr Hubby pelawa untuk join bersama rakan-rakannya. Rasa teruja lebih dirasai oleh Ameer dan Nina yang akan turut serta. Kali ini kami akan mendaki hutan simpan Kota Damansara... nak tawan Puncak Denai Tiga Puteri.

Pukul 7.30 pagi kami dah sampai di sini. Ada tempat pendaftaran, ada peta laluan... papan tanda, tapak berkumpul untuk kumpulan yang besar dan ada pelbagai kemudahan untuk para pendaki di sini, juga sebagai trek bagi penunggang basikal.

Ada dua laluan untuk memulakan pendakian, di Seksyen sembilan dan di seksyen 10. Kami bermula di Seksyen sepuluh. Kumpulan kami seramai sepuluh orang semuanya... ada Cik Li dan Fik, rakan mereka Kawi isteri dan anaknya serta seorang lagi rakan perempuan. Ada kumpulan lain yang lebih besar mendahului kami.

Kami memulakan pendakian dengan santai. Berjalan tanpa tekanan sambil meninjau sekeliling. Ada dua laluan ke atas yang kemudiannya akan membawa ke trek yang sama.

Trek yang telah terbentuk memudahkan laluan... dibeberapa simpang ada papan tanda dan anak panah, juga ada ruang untuk berehat melepaskan lelah perjalanan. Traiĺ pertama pendakian ialah Temuan... tidak mencabar tetapi kawasannya boleh tahan besar... sekitar 30 minit berjalan kaki. Kemudian berjumpa ke Denai Sahabat untuk melalui trail Harmoni yang lebih curam sebelum riba ke puncak Denai Tiga Puteri.

Sebelum sampai ke puncak ada pendakian, berbatu dan lebih curam. Rasa lebih mencabar apabila hujan turun sekitar 15 minit sebelum kami tiba di puncak. Lebat dan berangin. Kami meneruskan pendakian dalam hujan yang terus lebat.... hinggalah kemudian tiba di puncak. Pemandangan mengadap lebuhraya nun jauh di bawah. Angin bertiup kuat... hujan masih lebat... sejukkk... namun kami terus santai dan rasa teruja dengan keadaan sekeliling. Bermain hujan dalam ruang yang ada. Hujan lebat tak mematahkan semangat malah masih sempat buka bekalan nasi lemak, coklat dan oren yang saling dibawa. Bagaimana cara makan dalam hujan...? Jawabnya asalkan makanan boleh masuk mulut biarpun hujan turun mencurah. Berada di puncak dalam 20 minit... menikmati suasana dalam hujan yang masih berbaki dan kemudian turun ke bawah.

Laluan turun juga terasa mencabar, lebih licin dengan basah hujan dan lopak-lopak air. Ditambah dengan keadaan sejuk lencun basah dari hujung kepala hingga hujung kaki. Kasut terasa berat dalam langkah semangat untuk segera sampai ke bawah....

Fuhhh... turun terasa lebih lelah dari mendaki... barangkali kerana hujan dan tenaga yang sudah hampir habis.

Memang satu pengalaman baru mendaki dalam lebat hujan dan suasana lembap... tapi rasa menyeronokkan. Denai Tiga Puteri sesuai untuk mereka yang nak mula mendaki sebelum ke tempat yang lebih tinggi. Lain kali kami nak ke sini lagi...


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers