Friday 15 June 2018

Aidilfitri Tanpa Orang Tua...

Berbezanya sambutan Aidilfitri kali ini.... Pertama kali dalam kehidupanku tanpa orang tua... Bermula dengan pemergian mak mertua tahun 2006, kemudian arwah mak menyusul dua tahun kemudian. Selepas itu pak mertua kembali kerahmatullah pada tahun 2015 dan dua tahun kemudian bapak pula menyusur seruan Ilahi. Allahuakhbar. Tiada lagi tadahan tangan dari orang tua yang akan menyambut salaman aku sekeluarga...Tiada doa yang tanpa hisab dari mereka ke atas kami....

Sungguh, Aidilfitri ini amat terasa kehilangan... kesyahduan terasa dimana-mana namun demi anak-anak digagahi juga untuk sambutan diraikan. Kali ini tak ada buat kuih raya sebagaimana tahun-tahun lalu... oven di dapur langsung tak berasap. Teringat apabila bapak menjengah ruang dapur tatkala kami sibuk mengadun bancuhan kuih raya. Pastinya bapak akan menyapa anak-anak terutamanya Amira yang dipanggil Ira..."buat apa?"


Terasa setiap ruang sudut dalam rumah ada bayangan bapak.... Ruang dapur... ruang makan, bilik, ruang tamu... bapak dimana-mana. Kerinduan menyelinap. Betapa kosongnya kehidupan tanpa orang tua yang selama ini berada di depan mata. Tentunya kekosongan sedemikian telah Mr Hubby rasai setiap kali kembali ke desa tercinta. Pastinya bayangan pada orang tua sentiasa ada, teguran, sapaan dan pandangan redup mata tua yang gagal difahami anak-anak. Allahu....

Kata Mr Hubby... kita ada anak-anak. Mereka kekuatan kita. Jika rumah tanpa orang tua terasa kosong, namun rumah dengan adanya anak-anak akan bertambah keberkatan.

Syahdu, mendengar takbir raya serasa sayup mendengar suara mak dan bapak. Mak dah tak ada, bapak dah pergi... kedua-duanya telah mengadap Ilahi... dan aku bakal menyusul nanti.

Kedukaan dikesampingkan. Ada anak-anak bersama kami, ada mereka untuk diraikan dan diceriakan. Mereka anak-anak syurga yang sentiasa dirahmati. Aku perlu menceriakan anak-anak syurga dan membawa mereka ke jalan yang lurus untuk terus kembali ke syurga juga kelak... dan aku menumpang rahmat Ilahi dari keberkatan mereka di sekelilingku.

Ampuni aku atas segalanya... kerdil diri amat terasa saat hati kosong sekosongnya. Allahuakhbar... Cukuplah Allah tempat aku bergantung harap....💚

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers