Friday 22 June 2018

Aidilfitri 1439H

Pertama kali meraikan Aidilfitri tanpa orang tua setelah bapak berpulang kerahmatullah Oktober lalu. Mood untuk beraya 'ke laut' namun aku masih ada anak-anak, adik beradik dan sanak saudara untuk bersama. Mula-mula perancangan hari raya pun caca merba lantaran cuti di pejabat yang agak 'kalut' dengan pemilihan. Namun akhirnya mujur dapat kembali sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Lantas, kami sekeluarga pulang ke Gombak untuk berhari raya bersama-sama keluarga abang Hakim. Pagi Aidilfitri kami bersama dengan ceria, bergambar, makan-makan dan kemudian terus ke Padang Balang. Itulah orang tua kami kini, kakak Yeye... yang sulung adalah pengganti emak... dengan suara lembutnya dan kata-kata nasihat yang tiada pernah henti.

Meriah rumah kakak, dengan anak-anaknya Pipah, Zai, Zura dan Pudin... hanya Ria yang berhari raya di sebelah mertuanya. Kemudian kami ke rumah abang Bullah, singgah rumah abang Jawi dan ke rumah Eda. Pulang ke rumah, berehat seketika sebelum pulang ke kampung Mr Hubby.

Kali ini kami terus ke rumah abang Ad di Pendang. Keesokannya barulah ke Mempelam, rumah peninggalan orang tua yang tentunya banyak menggamit memori Mr Hubby. Rumah yang dihuni kak Jah sekeluarga sentiasa dirindui Mr Hubby... biarpun tanpa kata namun ia tak perlu dizahirkan. Hanya kami yang pulang... tanpa yang lain....

Hari raya diteruskan dan kami sebagaimana kebiasaan ke rumah Pak Su di Perlis, ke rumah Chaq dan ke rumah Mat. Kali ini keluarga Mr Hubby merancang makan-makan di rumah kak Mah di Air Itam. Betullah, kediaman kakak sulung menjadi pengganti apabila orang tua sudah tiada lagi. Adik-beradik Mr Hubby semuanya berkumpul di sini. Sebelum itu ada bacaan yassin dan doa selamat. Mohon keberkatan dan kerukunan keluarga serta kiriman doa pada mereka yang telah dahulu meninggalkan kami khusunya untuk mak dan pak.

Hari raya keempat sebagimana lazimnya, aku mengikut Mr Hubby dan reunion STAR. Kelainan kali ini diadakan di homestay dengan makanan ditempah. Pelbagai menu ada, dari mee kari, bihun sup, laksa, bubur, nasi goreng, ayam goreng dan kuih muih. Makanlah sampai kenyang....

Malamnya kami bertandang pula ke rumah kak Chik di Sungai Petani. Kami bermalam di sini pula. Untungnya adik-beradik ramai maka kami bermalam dari satu rumah ke satu rumah. Di samping mengubat kerinduan Mr Hubby dapat juga mengeratkan silaturrahim anak-anak yang bakal membesar dengan ikatan tetap kukuh dan rapi.


Benar, terasa sungguh kelainan hari raya kali ini... tanpa orang tua yang menjadi pengikat maka tentunya simpulan mudah terurai... bergantunglah pada ibu dan bapa masing-masing untuk memastikan ikatan terus terpatri.

Ya, aku menyelami nurani Mr Hubby yang jauh di Ibu Kota, apa pun kampung halaman terus ada di minda dan anak-anak akan tetap dibawa bersama dalam menggamit setiap memori. Enggan melupakan namun realiti tidak boleh dikesampingkan. Masa berubah tetapi silaturrahim perlu terus diusahakan. Inilah impi anak desa yang menghuni jauh di Kota....

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers