Tuesday 17 April 2018

Cuti Bersalin Tiga Bulan... Terbaik!

Pelaksanaan cuti bersalin selama 90 hari yang diwartakan dalam Bajet 2018 oleh PM telah dikuatkuasakan. Alhamdulillah aku dapat merasainya kali ini dengan memanfaatkan sepenuhnya ruang dan masa yang ada bersama-sama bayi yang baru lahir. Benar, tempoh tiga bulan yang ada memberi peluang untuk ibu kembali sihat setelah melahirkan anak. Bukan mudah untuk kembali cergas seperti sediakala selepas bersalin, banyak hal-hal yang berkaitan perlu dinilai dan diteliti sebelum kembali bekerja namun ruang yang ada sangat memadai.

Aku benar-benar menghargai cuti tiga bulan yang ada. Bersalin pada pertengahan Januari dan aku akan kembali bekerja pada pertengahan April. Satu tempoh yang panjang untuk aku membiasakan dengan pengurusan diri. Dapat kembali sihat dan aktif sebelum mula bekerja. Amani juga sudah agak matang untuk menyesuaikan diri dengan penyusuan menggunakan botol, tanpa terus dengan ibu.

Sepanjang tempoh bercuti ini juga, aku sediakan stok susu ibu untuk kutinggalkan kepada Amani apabila aku kembali bekerja kelak. Tanpa resah, tanpa rasa runsing maka tentunya pengurusannya lebih mudah dengan tempoh yang panjang. Memang pada bulan pertama penyusuan beberapa kali juga berlaku bengkak susu, cuma kali ini aku lebih bersedia agar tidak melarat hinggakan demam. Memasuki bulan ketiga, aku sudah boleh membiasakan diri dengan jadual untuk mengepam susu yang tentunya aku akan terus aplikasi apabila kembali bekerja nanti.

Sebulan pertama selepas bersalin kesihatan belum benar-benar pulih biarpun aku sudah agak kuat. Tempoh berpantang selama 44 hari diaplikasi sepenuhnya untuk diri dan bayi yang baru lahir. Hal-hal berurut, bertungku, berbengkung dengan pemakanan yang sihat benar-benar aku ikuti. Ini semua untuk masa hadapan dan kesihatan yang berpanjangan. Untuk jamu aku lebih kepada herba-herba segar yang dibuat sendiri, jus kunyit, jus halia, rebusan manjakani bersama halia, cekur, kunyit dan asam jawa, selain sayur-sayuran. Pemakanan amat aku titikberatkan. Sepanjang tempoh berpantang aku berulamkan halia dan lada hitam.

Benar, emosi ibu berpantang sangat penting, malah ruang yang ada membantu ibu-ibu untuk bertenang. Rasanya seramai lima orang anak yang ada, berpantang kali inilah yang paling mudah dan lebih cergas. Barangkali pengalaman lalu memberikan kelebihan untuk diri lebih bersedia dengan sebarang kemungkinan. Kebetulan pula cuaca di luar musim hujan yang banyak menyejukkan ruang.

Untuk bulan ketiga percutian yang ada, ia adalah ruang bagi memulihkan kekuatan fizikal. Betapa tubuh yang sebelum ini hamil sembilan bulan, mengembang dan tidak berdaya, kemudian bersalin yang memerlukan kekuatan luar biasa lantas melalui tempoh berpantang dengan rasa berlengas, berpeluh, panas dan gatal maka baki cuti sebulan yang ada aku gunakan untuk mengembalikan kecergasan tubuh.

Aku perlu bersedia untuk kembali bekerja dan bertenaga dalam melaksanakan tugasan harian. Aku perlukan semangat dari segi mental dan fizikal. Aku manfaatkan saban pagi beriadah sendirian, berjoging, berjalan, menaiki tangga atau apa-apa saja yang mampu mengeluarkan peluh. Selesai menghantar nina ke kelas Kafa aku terus ke Taman Bukit Jalil mengisi ruang yang ada. Hasilnya cukup memuaskan. 









No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers