Saturday 17 February 2018

Selamat Hari Lahir Afrina

Usia Nina genap lapan tahun pada 16 Feb. Tiada apa-apa memandangkan aku dalam pantang. Nina pula agak emosi kerana ulang tahun kelahirannya tidak ada sebarang sambutan sedangkan kebiasaannya ada saja apa-apa. Kali ini kami tangguhkan dulu, tunggu aku benar-benar sihat dan kami akan meraikannya.

Nina anak tengah... nombor tiga dari lima beradik. Perwatakannya amat berbeza jika dibandingkan dengan kakak dan abangnya. Orangnya sangat cerewet, cermat dan sangat memilih. Dari perihal makanan, pakaian hinggalah kepada kawan-kawan pun dipilihnya juga. Jika tidak berkenan janganlah nak suruh apa-apa, dia tak akan lakukan. Kalau hitam katanya maka hitamlah... usahlah nak dipujuk atau ditakut-takutkan dengan apa-apa pun. Dia memang berani, tak kisah pun bersendirian, malah sikap keras kepalanya boleh tahan juga.

Namun dalam begitu Nina masih manja... terutama pada abah... cuma jarang benar diluah dengan kata-kata tetapi tingkahnya mencerminkan kesantunan yang mencairkan jiwa.

Sesungguhnya perlakuan anak-anak adalah cerminan dari  sikap ibu dan bapanya sendiri. Namun melihat perwatakan Nina, aku akur bahawa sifat cerewet dan memilihnya lebih terdorong kepada tingkahku sendiri. Tak apalah, keras kepala dan degil inilah yang membawa aku berjaya ke menara gading... heheheh....

Semoga Nur Afrina akan membesar sebagai anak yang solehah, sihat tubuh badan dan cerdas akal fikiran, berbakti pada agama, nusa dan bangsa serta cemerlang di dunia dan akhirat. 


No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers