Monday 1 January 2018

Selamat Tahun Baru 2018

Selamat Datang Tahun 2018, selamat tinggal 2017. Kehadiran tahun baru yang menandakan bermulanya kehidupan baru, sesi baru dalam rutin seharian dengan anak-anak dan keluarga yang semakin membesar. Dalam menggamit tahun baru, aku menoleh kebelakang, meninjau sepanjang perjalanan 2017. Banyaknya cabaran dan halangan yang tentunya tidak mungkin dapat diulang kembali. Pastinya, pemergian bapak yang berada dalam pengawasanku terlalu amat dirasai. Suatu kehilangan yang sudah pasti akan berlaku pada semua insan, malah diriku sendiri yang entah bila penghujung usianya. Allahuakhbar. Kebesaran-Mu melangkaui segala-galanya.

Malam tahun baru, Mr Hubby membawa anak-anak ke Putrajaya. Ada pesta lampu dan sambutan ambang tahun baru. Aku tidak bersama... memang tak laratlah nak berjalan jauh dengan keadaan diri yang makin sarat. Maka Mr Hubby melayani empat beradik dengan kerlipan lampu-lampu dan bunga api tahun 2018.

2018, bertambah usia baru... ya hanya pada angka namun angka ini adalah penanda bahawa usia semakin matang yang sewajarnya diikuti dengan tindakan yang lebih banyak memberi ruang positif. Apa-apa yang mahu dilakukan pastinya perlu memikirkan kesan hasil tindakan yang dibuat, bukan pada diri sendiri sahaja tetapi lebih penting kesan kepada keluarga.

2018, anak-anak juga bertambah usia... Amira sudah memasuki alam remaja, sekolah menengah dengan perubahan yang amat berbeza dari sebelumnya, sementara Ameer darjah empat dan Nina darjah dua. Ammar melepasi usia dua tahun dan bakal menjadi abang sementara aku sendiri bakal menambah bilangan cahayamata dalam awal tahun ini.

2018, adalah satu kehidupan baru kepada kami sekeluarga, bertambah bilangan keluarga dan bertambah amanah yang terpikul... tentunya dengan harapan agar kesejahteraan yang berpanjangan menjadi pendamping kami sekeluarga hingga ke akhir hayat... seterusnya untuk dibawa ke alam sana kelak.

2018... semoga Allah terus memberkati kehidupan kami keseluruhannya. Aminnn

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers