Sunday 21 January 2018

Kelahiran Nur Amani, Anak kelima

Menantikan kelahiran anak kelima ini bagaikan menunggu durian gugur. Memang aku mengambil cuti dua minggu lebih awal dari jangkaan kelahiran namun kemudiannya tanda-tanda untuk bersalin tidak ada sehinggakan usia kandunganku 40 minggu. Dari sehari ke sehari kemunculan orang baru ditunggu-tunggu, bukan sahaja kerana tidak sabar untuk melihat wajahnya tetapi juga kerana anak-anak dan Mr Hubby ingin pulang ke kampung untuk majlis kenduri Angah pada 19 Januari.


Pada 19 Januari itu, aku sudah terasa sedikit kelainan namun agak was-was antara sakit untuk bersalin atau sekadar sakit sarat hamil yang biasa dialami. Cuma, aku pinta pada Mr Hubby untuk standby ... tidak perlu bekerja kerana barangkali aku akan bersalin. Dari pagi hingga petang, tanda-tanda sakit memang sekejap ada sekejap hilang tapi terlalu minima. Aku tidak berdiam diri, banyak berjalan malah melayan kerenah Ammar bermain bola juga. Sehinggalah pukul enam petang, ada tanda lendir coklat dan aku memaklumkan kepada Mr Hubby.


Kami mengambil keputusan untuk ke hospital, tidaklah dalam keadaan tergesa-gesa sebaliknya dengan tenang, pemanduan Mr Hubby juga dalam keadaan santai walaupun aku sesekali terasa konstraksinya. Kesakitan dapat aku tahan, aku berjalan sendiri melakukan pendaftaran sebelum dibawa ke bilik bersalin. Dengan konstraksi yang sedikit itu rupanya pintu rahim sudah terbuka 4 cm. Pukul 10.30 malam Dr Asmahyun datang dan melakukan pemeriksaan, bukaan sudah pun 8 cm. Tidak sampai sejam berlalu, bukaan mencapai 10 cm dan aku melahirkan bayi perempuan pada pukul 11.18 malam. Syukur alhamdulillah dipermudakan semuanya. Anak sihat, cukup sifat dan comel sangat. Dengan berat sekadar 2.8 kg iaitu yang teringan dikalangan adik beradiknya, bayi comel ini dinamakan Nur Amani Farihin.

Sepanjang ditempatkan di wad, ramai yang datang melawat, dan syukur aku dapat pulang ke rumah pada hari Ahad. 

 



No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers