Wednesday 10 January 2018

Kandungan bermasalah... bakal dibedah?

Aduhai, terasa nak luruh jantung apabila Dr Asmah Yun memberitahu baby dalam kandunganku tidak berada dalam keadaan yang betul. Walaupun kandungan sudah melewati 37 minggu tetapi kedudukan bayi masih senget, tidak berada pada laluannya di pintu rahim. Kenapa keadaannya begitu? Doktor scan lagi, kali ini dengan teliti dan disekitar dinding rahim. Rupanya ada fibroid dekat pintu rahim yang menghalang kepala bayi untuk turun dan menyentuh pintu rahim. Fibroid tak besar, sekitar lapan cm sahaja tetapi sudah cukup untuk menggangu bayi daripada berada pada kedudukan yang sepatutnya.

Doktor kata, pada usia kandungan sedemikian sewajarnya bayi sudah berada pada laluan yang betul dengan kepala menghala ke pintu rahim. Ini tidak berlaku pada kandunganku, kedudukan bayi agak melintang dan sekiranya ia berkekalan begitu maka kemungkinan besar aku tidak boleh bersalin secara normal. Jalannya hanya melalui pembedahan memandangkan fibriod yang menghalang laluan ke pintu rahim. Jika aku mahu juga bersalin secara normal maka aku akan menghadapi komplikasi yang sangat bahaya, sama ada kepada aku sendiri dan juga kepada bayi. Mungkin akan berlaku pendarahan yang banyak kerana fibroid yang ada, nyawa ibu dan bayi juga terancam. Doktor beri masa lagi, biarlah kandungan ini benar-benar ranum, namun sekiranya ada tanda-tanda untuk aku bersalin dengan kedudukan bayi yang masih menyenget, tiada jalan lain kecuali caesarean.

Sungguh, aku terasa ngeri mendengarkan bersalin dengan pembedahan. Memang aku pernah melaluinya untuk kelahiran anak sulung sekitar 13 tahun yang lalu namun mengingatinya aku rasa berderau darah. Aku melahirkan Amira dengan suntikan epidural, bius separuh dan aku sedar semua yang berlaku sepanjang proses pembedahan. Dengan berada dalam bilik pembedahan yang terang benderang, mendengar setiap bunyi yang ada, suara doktor dan para jururawat... aduhai sesungguhnya aku pasrah, namun jika diberi pilihan aku mahu melalui proses bersalin yang normal.

Itu belum lagi dengan proses penyembuhan yang memakan masa cukup panjang. Kesakitan yang dilalui sepanjang berpantang dan sesekali dirasai juga berbulan-bulan.

Sebaik sahaja berada di rumah aku membuat pembacaan, menyelidik dan mencari kaedah untuk bersalin secara normal, tanpa pembedahan. Kemudahan internet banyak membantuku. Banyak ilmu dan pengetahuan baharu yang aku peroleh. Pencarian yang dilakukan disusuli tindakan agar semuanya mendatangkan hasil. Dalam youtube juga banyak senaman-senaman yang boleh diikut dengan mudah. Ada doa-doa khusus, ada petua, ada senaman-senaman mudah dan yang paling penting banyakkan sujud agar laluan mudah untuk bayi turun ke bawah.

Allahuakhbar, betapa sujud itu adalah penawar yang sangat berharga. Dalam solat lima waktu seharian, kemudiannya aku susuli sujud yang panjang diisi dengan doa-doa ringkas, mohon permudahkan pergerakan bayiku untuk menyentuh pintu rahim. Kupujuk-pujuk bayi ini dengan mengelus lemnut perut yang sarat memboyot. Setiap masa terluangku, aku lakukan juga senaman ringkas termasuklah bersujud diiring doa kepada-Nya. Aku tidak duduk diam, sentiasa bergerak, berjalan-jalan, naik turun tangga dan semuanya aku lakukan dengan cergas.

Lima hari kemudian, pemeriksaan dengan Dr Asmah Yun lagi. Imbasan dibuat dan syukur alhamdulillah, doktor maklumkan yang bayi sudah berada dilaluan yang betul. Hanya tunggu untuk menyentuh dengan pintu rahim. Keajaiban dari Allah SWT, mendengar doa hambanya. Janganlah berhenti berdoa kerana Allah maha mendengar. Alhamdulillah. Leganya rasa hati mendengar penjelasan doktor. Ya, bila-bila masa saja boleh bersalin, hanya menunggu masa.

Habis tu mana perginya fibroid? Hasil scan, fibroid yang ada beralih sedikit ke kiri rahim. Kepala bayi menolak fibroid dari pintu rahim, dan bayi dapat berada pada kedudukan yang betul.  Syukur fibroid  yang ada tidak membesar, tidak membahayakan apa-apa... pada pada bayi atau juga ibu. 

Alhamdulillah... jangan pernah berputus asa, jangan berhenti berdoa. Usahalah sehabis baik, panjatkan doa kepada-Nya dan kemudian bertawakallah kepada Allah. Allah sebaik-baik perancang dan semuanya atas kehendak-Nya.  


  • Doa dan amalan untuk elak bayi songsang
    • baca surah Yassin 
    • baca surah Al-Hashr (ayat 1-24)
    • baca surah Al-Kursi
    • baca surah Thariq (ayat 1-7)
    • baca surah Al-Insyirah
    • baca doa Nabi Yunus
  • Tips elak bayi songsang
    • digalakkan sujud lama sedikit semasa solat - dalam 5 minit
    • dalam keadaan sujud, rebahkan badan ke kiri dan ke kanan - jika badan bayi ke kanan, rebahkan ke kiri dan sebaliknya.
    • Lakukan posisi seperti merangkak
    • Letakkan pek ais atas perut - supaya bayi rasa tak selesa dan beralih kedudukannya.
    • Gunakan lampu suluh - suluh di bawah pusat agar bayi bergerak ke arah cahaya
    • Pujuklah bayi supaya berpusing ke kedudukan yang betul 

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers