Friday 12 January 2018

Hamil Empat Orang Anak... Menungu Yang Kelima

Bagaimana rasanya hamil pada usia yang macam-macam... 20-an, 30-an dan menjengah 40 tahun? Jawapannya bergantung pada kesihatan dan tubuh badan sesorang itu. Untuk aku, syukur alhamdulillah sepanjang kehamilan tidak merasai sebarang kesulitan malah kesihatan juga tidak ada apa-apa masalah. Ya, pemakanan perlu dikawal apatah lagi aku penggemar makanan manis, cendol, aiskrim, minuman bercoklat, float  dan macam-macam lagi. Nasib baik hanya terjebak sekejap dan tak melarat sehinggakan menyebabka paras gula dalam darah aku tinggi yang tentunya boleh menyebabkan kencing manis.

Tak dinafikan, rasa takut tetap ada. Gementer menantikan hari bersalin... entah bagaimana pula keadaannya memandangkan empat orang anak terdahulu mempunyai pengalaman yang berbeza-beza.

Anak Pertama - 2005

Kehamilan memang tidak ada masalah, kesihatan amat baik dan aktif ke hulu-ke hilir tanpa ada sebarang kekangan. Menantikan hari kelahiran juga tak banyak aku endahkan apatah lagi jangkaan untuk bersalin adalah pada 14 Januari namun aku mengalami konstraksi bermula malam 6 Januari dan Amira selamat dilahirkan dengan cara pembedahan di HUKM pada 7 Januari. Kenapa ceasar sedangkan bukaan pintu rahim sudah pun lebih 6 cm. Ini kerana pernafasan fetus dalam kandungan tidak stabil dan doktor enggan mengambil risiko memandangkan ini adalah anak sulung.

Berada di dewan bedah, aduhai... dengan cahaya yang amat terang, lampu-lampu berwarna putih dan doktor pula bersifat ramah. Aku diberikan suntikan epidural... sakit.... Kemudian, pembedahan berlangsung dengan aku berada dalam keadaan sedar. Namun Mr Hubby tidak dibenarkan bersama.
Rasa takut, tetapi jururawat India yang menemaniku memberikan kata-kata peransang. Erat tangannya aku gengam sedangkan halwa telinga disajikan dengan pelbagai bunyian sepanjang pembedahan berlangsung. Perbualan antara petugas dalam dewan bedah dan juga alatan yang digunakan.
Syukur, Amira dilahirkan dengan selamat pada pukul 10.55 pagi dengan berat 3.1 kg.
Selepas bersalin anak pertama, berat badan aku pun tun bertambah menjadi 56 kg.

Anak kedua - 2008

Sepanjang kehamilan tanpa sebarang masalah dan kesihatan pun amat baik. Pemeriksaan beralih kepada Dr Daud dengan rawatan yang rapi, perkongsian ilmu yang lebih teliti, aku tidak malu bertanya dan mohon agar dapat bersalin normal. X-ray dibuat, ternyata tulang punggung dan kesihatan yang baik, boleh saja bersalin normal namun semuanya bergantung kepada keadaan bayi pada saat akhir nanti. Sehingga ke tarikh yang ditetapkan bayi tidak ada tanda-tanda untuk bersalin sehinggakan aku dimasukkan ke wad pada tarikh 6 Mac lantaran telah memasuki 40 minggu. Seharian berada di bilik bersalin dan bukaan pintu rahim 2 cm pada pukul 6 petang, lantas pilihan dibuat untuk aku masuk wad menantikan kelahiran normal memandangkan aku enggan mengambil induce. Sekitar pukul 1.00 pagi aku semakin sakit dan terus dimasukkan ke bilik bersalin. Ameer Farhan lahir pada pukul 4.58 pagi dengan berat 3.18 kg. Kali ini Mr Hubby menemani di sebelahku. Syukur, dipermudahkan dan dapat bersalin dengan normal sebagaimana keinginanku. 

Selepas itu berat badan ibu turut bertambah lagi menjadi sekitar 58 kg.

Anak ketiga - 2010

Kehamilan anak ketiga tidak dijangka tetapi tetap menjadi anugerah buat kami sekeluarga.  Dalam keadaan anak kedua masih menyusu badan aku mendapati diriku hamil lagii. Pemeriksaan masih terus dilakukan oleh Dr Daud juga. Dalam keadaan aku yang masih menyusukan anak kedua, aku mendapati diriku hamil lagi. Namun kesihatan masih tetap baik dan aku dapat melaksanakan tugasan harian tanpa sebarang kesulitan. Lebih dari itu, aku masih kerja ke luar kota, ke Manik Urai di Kelantan pada awal kehamilan, kemudiannya ke Permatang Pasir di Pulau Pinang untuk tugasan selama dua minggu yang juga jatuh pada bulan Ramadan, dan lebih dari itu pada trimister kedua, sekitar kandungan lima bulan aku ke Bagan Pinang di Negeri Sembilan untuk dua minggu juga. Untuk kandungan kali ini aku lebih lasak, banyak berjalan, pergerakan tak terbatas dan aktiviti harian seakan tidak hamil. Lantas Afrina dilahirkan lebih awal dari jangkaan iaitu pada 16 Februari dengan mudah dan lancar. Konstraksi yang sedikit, pecah air ketuban dan bayi terus meluncur keluar. Afrina lahir pada pukul 7.42 pagi dengan berat 3.2 kg, maka berat badan ibu juga turut naik mencecah lebih 60 kg. Mr Hubby sentiasa ada bersama sepanjang proses kelahiran.

 

Anak keempat - 2015

Untuk hamil anak keempat jarak yang jauh memandangkan kami pada mulanya tidak bercadang menambah bilangan cahayamata. Namun semakin membesar anak-anak maka semakin bertambah kerinduan untuk memeluk bayi, bau badan bayi... haruman tubuh yang segar dan mendamaikan dengan gelak tawa yang berterusan. Sebelum mula hamil, aku bertemu dengan Dr Daud kembali, meminta beberapa nasihatnya dan ternyata aku tidak ada masalah. Keghairahan hamil dengan anak-anak lain yang sudah mula memahami amat membuat mereka teruja. Saban hari berkongsi cerita bersama Amira, Ameer dan Afrina dan masing-masing saling memasang angan-angan. Kali ini juga tidak ada sebarang masalah kesihatan malahan aku dapat melakukan aktiviti harian dengan sempurna, kerja-kerja rumah, tugasan di pejabat malah masih memandu sendiri. Cuma pada akhir kehamilan Mr Hubby sukarela menghantar dan mengambil aku dari pejabat.

Kali ini aku menantikan kelahiran dengan dua minggu cuti lebih awal. Harti berlalu, masa berganti dan bayi dalam kandungan masih tak ada tanda-tanda untuk keluar pun. Sudahnya pada tarih 28 Dis aku terus ke hospital memandangkan  kandungan telah mencapai usia 40 minggu. Maksima dah. Ya, memang ada sedikit konstrauksi dan bukaan dalam 2 cm, lantas aku induce. Dua jam pertama induce aku tak merasa apa-apa tetapi kemudiannya aduhai... tak mampu aku bayangkan bagaimana sakitnya. Jangkaan doktor aku akan bersalin sekitar pukul enam petang namun syukur, kesakitan tak lama, Ammar lahir pada pukul 4.12 petang dengan berat 2.9 kg. Seperti biasa Mr Hubby menemani sepanjang proses bersalin ini malah turut memotong tali pusat bayi. Seperti biasa juga... lepas anak lahir maka berat ibu bertambah sekitar 2-4 kg lagi.

Kali ini menunggu yang kelima... bagaimana pulalah kisahnya.

Sebenarnya,
1. Tak semestinya anak pertama ceaser maka akan ceaser yang seterusnya tetapi apabila yang pertama dan kedua ceaser, maka yang seterusnya juga akan ceaser.
2. Kelahiran setiap anak tak sama, cara sakit atau cara bersalinnya, tak kisahlah anak yang keberapa pun sebab ada macam-macam tanda atau cuma kontruksi yang sedikit saja.
3. Pengalaman pertama memang tak tahu apa-apa tapi berdasarkan bersalin yang pertama akan menjadikan diri lebih bersedia untuk kelahiran yang seterusnya.

No comments:

Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers