Sunday 21 January 2018

Kelahiran Nur Amani, Anak kelima

Menantikan kelahiran anak kelima ini bagaikan menunggu durian gugur. Memang aku mengambil cuti dua minggu lebih awal dari jangkaan kelahiran namun kemudiannya tanda-tanda untuk bersalin tidak ada sehinggakan usia kandunganku 40 minggu. Dari sehari ke sehari kemunculan orang baru ditunggu-tunggu, bukan sahaja kerana tidak sabar untuk melihat wajahnya tetapi juga kerana anak-anak dan Mr Hubby ingin pulang ke kampung untuk majlis kenduri Angah pada 19 Januari.

Friday 12 January 2018

Hamil Empat Orang Anak... Menungu Yang Kelima

Bagaimana rasanya hamil pada usia yang macam-macam... 20-an, 30-an dan menjengah 40 tahun? Jawapannya bergantung pada kesihatan dan tubuh badan sesorang itu. Untuk aku, syukur alhamdulillah sepanjang kehamilan tidak merasai sebarang kesulitan malah kesihatan juga tidak ada apa-apa masalah. Ya, pemakanan perlu dikawal apatah lagi aku penggemar makanan manis, cendol, aiskrim, minuman bercoklat, float  dan macam-macam lagi. Nasib baik hanya terjebak sekejap dan tak melarat sehinggakan menyebabka paras gula dalam darah aku tinggi yang tentunya boleh menyebabkan kencing manis.

Tak dinafikan, rasa takut tetap ada. Gementer menantikan hari bersalin... entah bagaimana pula keadaannya memandangkan empat orang anak terdahulu mempunyai pengalaman yang berbeza-beza.

Wednesday 10 January 2018

Kandungan bermasalah... bakal dibedah?

Aduhai, terasa nak luruh jantung apabila Dr Asmah Yun memberitahu baby dalam kandunganku tidak berada dalam keadaan yang betul. Walaupun kandungan sudah melewati 37 minggu tetapi kedudukan bayi masih senget, tidak berada pada laluannya di pintu rahim. Kenapa keadaannya begitu? Doktor scan lagi, kali ini dengan teliti dan disekitar dinding rahim. Rupanya ada fibroid dekat pintu rahim yang menghalang kepala bayi untuk turun dan menyentuh pintu rahim. Fibroid tak besar, sekitar lapan cm sahaja tetapi sudah cukup untuk menggangu bayi daripada berada pada kedudukan yang sepatutnya.

Sunday 7 January 2018

Amira 13 Tahun, Sudah Remaja

Tarikh 7 Januari adalah tarikh lahir Amira. Genap usianya 13 tahun yang menandakan dia sudah memasuki alam remaja. Tingkahnya semakin matang, perwatakannya juga sudah jauh meninggalkan dunia keanak-anakan. Dia bukan lagi anak kecil yang pemalu atau bersifat pesimis sebaliknya Amira hari ini penuh dengan rasa kebertanggungjawaban, sebagai anak, sebagai kakak dan juga kepada rakan-rakannya. Tegas dan positif... tapi garang....

Thursday 4 January 2018

Amira: Rawatan Rheumatic Usia Remaja

Hari ini pertama kali temujanji Amira untuk rawatan susulan rheumatic fever dibahagian dewasa. Dalam usianya memasuki 13 tahun dia bukan lagi kanak-kanak yang dirujuk di pediatrik tetapi telah dipindahkan ke bahagian perubatan, sesuailah dengan fizikalnya yang sudah menyamai orang dewasa biarpun baru memasuki usia remaja.

Sebelum pertemuan ini, pemeriksaan darah telah dilakukan kepada Amira. Mr Hubby yang menemaninya namun dalam pertemuan dengan doktor, aku bersama sekali. Doktor Abdul Muiz yang melayani Amira amat prihatin, pemeriksaan secara detail dilakukan. Rekod kesihatannya sejak empat tahun yang lalui diteliti, dari mula-mula Amira mendapat serangan rheumatic hinggalah yang terbaru pada November lalu. Pemeriksaan fizikal juga dibuat. 

Tuesday 2 January 2018

Alam Persekolahan 2018

Sesi persekolahan 2018. Semuanya baru, anak-anak dengan suasana yang berbeza. Amira sudah memasuki sekolah menengah dengan belajar di tingkatan 1 SMKS4BK, sementara Ameer di darjah empat dan Nina darjah 2. Kali ini perubahan sesi berlaku, Amira akan bersama Nina pada sesi petang sementara Ameer bersekolah kebangsaan pada sesi pagi.

Bagi Amira perbezaan yang sangat ketara antara sekolah rendah dan sekolah menengah apatah lagi sekitar 70 peratus pelajar di sekolah terbabit adalah berbangsa asing yang majoritinya Cina selain India dan lain-lain bangsa. Dalam kelas Amira yang melebihi 40 orang pun hanya ada sembilan orang Melayu. Hurm... satu persaingan yang berat buat Amira dan dia perlu menyesuaikan diri dengan keadaan setempat.

Monday 1 January 2018

Selamat Tahun Baru 2018

Selamat Datang Tahun 2018, selamat tinggal 2017. Kehadiran tahun baru yang menandakan bermulanya kehidupan baru, sesi baru dalam rutin seharian dengan anak-anak dan keluarga yang semakin membesar. Dalam menggamit tahun baru, aku menoleh kebelakang, meninjau sepanjang perjalanan 2017. Banyaknya cabaran dan halangan yang tentunya tidak mungkin dapat diulang kembali. Pastinya, pemergian bapak yang berada dalam pengawasanku terlalu amat dirasai. Suatu kehilangan yang sudah pasti akan berlaku pada semua insan, malah diriku sendiri yang entah bila penghujung usianya. Allahuakhbar. Kebesaran-Mu melangkaui segala-galanya.
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers