Saturday 29 December 2018

Ammar Farish Tiga Tahun

Ammar Farish... anak keempat genap usia tiga tahun pada penghujung tahun ini. Anak yang keletah, banyak mengusik dan kuat ketawa. Tiada sambutan besar dibuat tetapi kami meraikannya dalam keluarga bersama-sama di Gombak. Ammar ceria.

Dalam pertambahan usia, semoga anak ini kekal sihat dan membesar dengan penuh keimanan dalam berkat Ilahi dari dunia hingga ke akhirat. 

Thursday 13 December 2018

Menjengah Alma Mater - Universiti Malaya

Semalam, seharian tumpuan adalah untuk berada di Universiti Malaya. Keterujaan untuk bertemu rakan-rakan lama. Pada perancangan awal ramai yang nak datang. Berbelas-belas tapi kemudiannya hanya berlima, dengan Shah dan ditambah Riza lewat petang. Kebetulan Shah yang sentiasa cemerlang dalam akademik sudah menjadi Ketua Jabatan di pusat pengajian kami. Berbangga aku dengan pencapaiannya... rakan baik yang menerajui tempat kami menimba ilmu. Shah ada program santai, bual bicara dengan bekas-bekas pelajar JPM yang berjaya. Khalayaknya adalah para pelajar.

Wednesday 12 December 2018

15 Tahun Berumahtangga... Alhamdulillah

Tarikh 12 Disember 2003, 15 tahun berlalu. Berlangsung ijab dan kabul yang mematrikan ikatan suami isteri antara aku dan Mr Hubby. Dari berdua... sekarang kami sudah bertujuh. Syukur alhamdulillah. Dalam banyaknya dugaan, ujian dan rintangan maka kami dapat bersama seusia ini dan insya-Allah mohon pada Ilahi agar jodoh ke akhir hayat sebelum kemudiannya di alam sana nanti.

Ya, antara aku dan Mr Hubby banyak perbezaan... namun perbezaan itulah yang menyatukan kami. Latar keluarga yang berbeza, budaya tidak sama, bahasa dan loghat antara kami juga berlainan namun itu semua adalah satu pembaharuan dalam kehidupan kami. Saling menerima dan saling memberi, walau adakala saling terasa, ada perselisihan namun kemudiannya penyatuan menyemarakkan hubungan.

Monday 10 December 2018

Menjengah Big Bad Wolf Book Fair 2018

Cuti hujung tahun meluangkan masa di rumah, dan tanpa perancangan aku membawa anak-anak menjengah 'Big Bad Wolf Book Fair' yang sedang berlangsung di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC). Ini kali pertama aku ke sini biarpun saban tahun diadakan dan jaraknya dari rumah pun hanya sekitar 20 minit perjalanan.

Mr Hubby bekerja, aku memandu bertemankan Amira, Nina dan Ammar. Ameer tak bersama kerana ada di Gombak sementara Amani tidak sesuai dibawa ke tempat sebegini lagi pula kami keluar rumah dalam waktu tidurnya.

Sunday 18 November 2018

Kunjungan Adik-beradik... Meriah Rumah Kami

Alhamdulillah. Tak putus-putus saban minggu rumah kami menerima tetamu khususnya adik-beradik yang bertandang dari jauh. Kebersamaan yang sangat bererti apabila kami dikunjungi oleh para saudara sendiri. Apatah lagi Mr hubby yang tentunya hatinya berbunga riang apabila abang-abang dan kakak-kakak ada bersama-sama.

Majlis kenduri kahwin rumah abang Mie, sepupu Mr Hubby di PJ menjadikan rumah kami meriah. Abang Ad dan Kak Ida bersama kak Mah dari Kedah datang bertamu dan disusuli abang Leh dan kak Lia dari Taiping yang turut hadir kemudiannya. Walaupun sekejap namun kami amat menghargai kedatangan yang sangat besar ertinya pada kami yang berpangkat adik. Turut singgah, Pak Su Pak bersama anak cucunya dari Perlis dan Kedah yang turut disertai kak Solehah.

Saturday 6 October 2018

Tokoh Agama, Hassan Azhari Meninggal Dunia

Agamawan ulung negara telah pergi mengadap pencipta-Nya. Terkesan di hati bagaimana pertemuan lalu bersama beliau yang kerap bercakap soal hidup dan mati. Dalam tugasan bersama-sama rakan-rakan sempena penganugerahan kepada beliau Tokoh Melayu Terbilang tahun 2014, aku bersama Kuman, Ann dan abang Chie berkesempatan meluangkan masa beberapa jam bersama beliau. Kami ke rumahnya di Keramat, beliau telah sedia menunggu kedatangan kami dengan ramah. Perbualan dan sesi temuramah yang berlangsung ibaratnya kami sudah acapkali berjumpa. Ada isterinya menemani perbualan kami. 

Friday 5 October 2018

Cuti-cuti: Ada Apa Dengan Bangkok...

Percutian 'me time with gegulrs' akhirnya menjadi nyata. Memang dah lama kami memasang impian untuk bersantai bersama-sama, bertahun-tahun lalu.. kononnya nak release stress... ntah apa sangat la kot yang stress tapi sebenarnya nak santai sekepala. Kali ini kami nekad, mesti jadilah... jangan tak jadi, maka perancangan diperhalusi. Buat kaji selidik mencari mana tempat percutian yang tidak membebankan 'poket', menjimatkan masa tapi memberikan kemudahan dan keseronokan berganda.

Berbulan juga merancang masa memandangkan masing-masing ada komitmen, pada kerja dan keluarga. Yang utama perlu didahulukan... jangan sampai ada yang terabai atau ada kerja yang tak terlaksana.

Sunday 23 September 2018

Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong

Mendaki lagi... lokasi kali ini hanya di belakng rumah... sekitar 7 km dari rumah. Rupanya ada tempat hiking di sini. Hutan simpan Ayer Hitam Puchong. Terletak agak tersorok di kawasan perindustrian, berdekatan juga dengan kawasan sekolah dan kawasan perumahan. Laluan nak masuk pun tak nampak macam tempat hiking tapi rupanya kawasannya sangat cantik dan menarik.

Macam biasa, kami bertolak selepas solat subuh, taklah terlalu awal pagi... bersama Mr Hubby, Ameer dan Nina. Pukul 7.30 pagi sudah penuh kenderaan memenuhi bahu jalan. Memang tak ada tempat untuk meletak kenderaan yang khusus kepada pendaki maka bahu jalan jadi lokasi. Tempat letak kereta di hadapannya yang menempatkan deretan kedai-kedai pun penuh dengan kenderaan para pendaki. Kami meletak kenderaan bersebelahan sekolah Cina, sekitar 200 meter dari kaki bukit pendakian.

Monday 17 September 2018

Ke Gunung Angsi...

Kali ni cuba nak mendaki gunung yang lebih tinggi. Memang perancangan kali ini di luar Kuala Lumpur, namun masih tak jauh dari rumah iaitu di Gunung Angsi yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Semua perancangan dilakukan oleh Mr Hubby dan dipersetuji oleh aku. Macam biasa, Ameer dan Afrina sangat teruja, apatah lagi ada kasut hiking baru yang bakal mereka rasmikan pada pendakian ini. Nak mendaki biarlah dengan kelengkapan yang sempurna kan....

Kali ini kami disertai oleh Puteri, Adam dan Arisya kerana kebetulan mereka tidur di sini. Kebimbangan Mr Hubby adalah pada Arisya yang kali pertama akan menyertai kami. Adam pun kali pertama tapi dia aktif berbanding Arisya yang dilihat agak santun biarpun sebaya dengan Nina. Namun Arisya sangat bersemangat walaupun diingatkan bahawa gunung ini tinggi, bimbang tak larat pula.

Sunday 9 September 2018

Jalan-jalan G2G Maeps & Taman Tugu Bersama Carq

Carq... adik bongsu Mr Hubby datang lagi bercuti ke KL. Awal tahun dia datang melawat aku yang melahirkan Amani sambil membawa anak-anaknya berjalan dan kali ini juga, hati Ikram dan Akif terus tertinggal di KL untuk berulang lagi ke sini. Alhamdulillah... dalam Mr Hubby tak berkesempatan pulang ke kampung maka adik-beradik yang datang amat mendekatkan. Najiha pun datang juga. Kebetulan ada pula kenduri anak sepupu Mr Hubby di Sungai Buloh.

Friday 7 September 2018

Majlis 'Membawang' Ilmu Bersama Dr Irwani

Pucuk dicita ulam mendatang... dipelawa untuk turut serta dalam acara santai bersama isteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Prof Dr Nurdianawati Irwani Abdullah dalam ruang yang ada pada Jumaat sempena waktu rehat yang panjang sementara golongan adam menunaikan solat. Dengan gembira aku menyertainya... terlalu lama ilmu kerohanian tidak dicari, ada di depan mata maka inilah masanya.

Monday 3 September 2018

Batam... Penyatuan Dalam Persaudaraan

Abang Hakim sebut... niat nak ajak Ika tengok mamang di Batam. Tanpa fikir panjang terus aku persetujuinya... juga tanpa minta izin dari Mr Hubby lantaran aku maklum bahawa Mr Hubby tentu bersetuju. Menziarahi orang tua yang uzur, bersaudara, mengeratkan ikatan silaturrahim adalah keutamaan Mr Hubby. Pesannya yang sentiasa aku ingati, apabila kita membina ikatan pada saudara arwah mak dan bapa yang dah tak ada maka pahala berganda-ganda akan sampai kepada orang tua kita di sana.

Sunday 26 August 2018

Eh... Terbercuti Pulak...

Tanpa perancangan... tiada dalam jadual aktiviti untuk bulan ini dan tidak ada sebarang perbincangan rapi... namun kami pergi bercuti. Eh... tiba-tiba muncul idea untuk bersama geng 'gegirls' dengan berkeluarga bagi melepaskan gian kemana-mana barang semalam. Berpunca dari Farah... namun dipersetujui kami semua... khususnya kak Shida yang begitu beria.... Terima kasih kak Shida.   Asalkan bercuti, tanpa lelah dan membuang masa maka yang terdekat adalah Port Dickson.

Wednesday 22 August 2018

Aidiladha 1439H

Aidiladha yang amat berlainan dari tahun-tahun sebelumnya. Jika empat tahun berturut-turut kebelakangan sebelum ini kami raikan dengan melaksanakan ibadah korban bersama adik-beradik Mr Hubby maka kali ini tidak sedemikian. Kami tidak pulang ke kampung, kami tidak berkumpul bersama adik-beradik Mr Hubby, kami tidak lakukan ibadah korbah beramai-ramai.... Cuba dibaca apa yang tersimpul dalam sanubarinya, ya... ada rasa tercalar namun cuba dipendam. Kejauhan yang menjarakkan namun penuh dengan kenangan...

Saturday 18 August 2018

Menakluk Denai Tiga Puteri

Dah lama tak hiking... rasa teruja apabila Mr Hubby pelawa untuk join bersama rakan-rakannya. Rasa teruja lebih dirasai oleh Ameer dan Nina yang akan turut serta. Kali ini kami akan mendaki hutan simpan Kota Damansara... nak tawan Puncak Denai Tiga Puteri.

Monday 2 July 2018

Hadiah Hari Lahir - Surat Cinta Untuk Ika


Pandai-pandai tukar tajuk lagu Virgoin... dari 'Surat Cinta Untuk Starla' kepada 'Surat Cinta Untuk Ika'. Jika Virgoin menujukan kepada anak tersayang tetapi lagu ini Mr Hubby tujukan untukku. Terasa berbunga hati... manis sungguh... indah yang tak tergambar dengan kata-kata. Apatah lagi lagu ini ditujukan berserta suntingan video keluarga. Tentunya ia amat memberi makna dalam kelangsungan aku meraikan penambahan usia kali ini. 

Friday 22 June 2018

Aidilfitri 1439H

Pertama kali meraikan Aidilfitri tanpa orang tua setelah bapak berpulang kerahmatullah Oktober lalu. Mood untuk beraya 'ke laut' namun aku masih ada anak-anak, adik beradik dan sanak saudara untuk bersama. Mula-mula perancangan hari raya pun caca merba lantaran cuti di pejabat yang agak 'kalut' dengan pemilihan. Namun akhirnya mujur dapat kembali sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Lantas, kami sekeluarga pulang ke Gombak untuk berhari raya bersama-sama keluarga abang Hakim. Pagi Aidilfitri kami bersama dengan ceria, bergambar, makan-makan dan kemudian terus ke Padang Balang. Itulah orang tua kami kini, kakak Yeye... yang sulung adalah pengganti emak... dengan suara lembutnya dan kata-kata nasihat yang tiada pernah henti.

Friday 15 June 2018

Aidilfitri Tanpa Orang Tua...

Berbezanya sambutan Aidilfitri kali ini.... Pertama kali dalam kehidupanku tanpa orang tua... Bermula dengan pemergian mak mertua tahun 2006, kemudian arwah mak menyusul dua tahun kemudian. Selepas itu pak mertua kembali kerahmatullah pada tahun 2015 dan dua tahun kemudian bapak pula menyusur seruan Ilahi. Allahuakhbar. Tiada lagi tadahan tangan dari orang tua yang akan menyambut salaman aku sekeluarga...Tiada doa yang tanpa hisab dari mereka ke atas kami....

Sungguh, Aidilfitri ini amat terasa kehilangan... kesyahduan terasa dimana-mana namun demi anak-anak digagahi juga untuk sambutan diraikan. Kali ini tak ada buat kuih raya sebagaimana tahun-tahun lalu... oven di dapur langsung tak berasap. Teringat apabila bapak menjengah ruang dapur tatkala kami sibuk mengadun bancuhan kuih raya. Pastinya bapak akan menyapa anak-anak terutamanya Amira yang dipanggil Ira..."buat apa?"

Sunday 13 May 2018

Selamat Hari Ibu... Anak-anak Menceriakan

Hari ibu... saban tahun anak-anak meraikan aku. Kali ini juga dengan aku sendiri tidak ingat berkaitan hari tersebut. Waktu pagi, bangun dari tidur ada kad ucapan dari anak-anak di atas meja solek... Sungguh aku terharu dengan keprihatinan anak-anak. Mata bergenang dan hati tersentuh. Jiwa yang rawan terubat dengan kesyukuran dipanjatkan pada Ilahi. Inilah anugerah yang tidak ternilai, anak-anak yang menjadikan aku bergelar ibu dan aku diraikan dengan kad ucapan yang menyentuh hati.

Tuesday 1 May 2018

Bertahlil Di Pusara Bapak...

Khabar hiba pagi ini, mamang Dollah kembali kerahmatullah. Mamang Dollah satu-satunya bapa saudara yang tinggal di sebelah bapak, adik bapak dan kini menyusul bapak yang telah lebih enam bulan meninggalkan kami. Allahuakhbar, keuzuran mamang yang hanya terlantar dipembaringan berakhir subuh ini. Baru kami adik beradik merancang nak berhari raya ke rumah mamang pada pagi Aidilfitri memandangkan kami sudah tak punya orang tua selain mamang di sini. 

Tuesday 17 April 2018

Cuti Bersalin Tiga Bulan... Terbaik!

Pelaksanaan cuti bersalin selama 90 hari yang diwartakan dalam Bajet 2018 oleh PM telah dikuatkuasakan. Alhamdulillah aku dapat merasainya kali ini dengan memanfaatkan sepenuhnya ruang dan masa yang ada bersama-sama bayi yang baru lahir. Benar, tempoh tiga bulan yang ada memberi peluang untuk ibu kembali sihat setelah melahirkan anak. Bukan mudah untuk kembali cergas seperti sediakala selepas bersalin, banyak hal-hal yang berkaitan perlu dinilai dan diteliti sebelum kembali bekerja namun ruang yang ada sangat memadai.

Wednesday 4 April 2018

Tanaman Mr Hubby Di Belakang Rumah


Mr Hubby dan tanam-tanaman memang tak boleh dipisahkan. Sejak berkahwin hinggalah hari ini memang rutinnya pada tanaman tak pernah berhenti. Kali ini tanaman herba di belakang rumah ditambah dengan sayur-sayuran. Bermula dari tanaman cili, kesum, pandan, pudina, kari, kunyit, halia, limau purut, cekur dan serai kemudian bertambah kepada ulam raja, bendi, kangkung. 

Sunday 18 March 2018

Majlis Kesyukuran dan Cukur Jambul Amani

Alhamdulillah, tercapai juga hasrat untuk mengadakan majlis kesyukuran dan cukur jambul Amani. Inilah kali pertama kami mengadakan majlis cukur jambul di rumah sendiri biarpun sudah lima orang anak. Anak pertama hingga ketiga, waktu orang tua masih ada di Harmonis, anak keempatdi rumah abang Kamal dan kali ini biarlah di rumah sendiri terisi dengan kemeriahan dan kesatuan dalam keluarga, jiran tetangga dan rakan taulan.

Wednesday 7 March 2018

Hari Lahir Ameer - 10 Tahun

 Ameer Farhan, sesuai dengan namanya - pemimpin yang gembira - tingkahnya sentiasa ceria. Selalu buat orang tersenyum, suka mengusik dan gemar ketawa. Cukup umurnya sepuluh tahun, sememangnya dia sentiasa menantikan tarikh kelahirannya. Ada-ada saja ceritanya saban waktu, tak pernah kering ideanya untuk bercerita, itu ini semuanya pasti ada tokok tambah yang menjadikannya lebih menarik.

Wednesday 28 February 2018

Meraikan Nur Amani

Kehadiran Amani menceriakan, malah rumah kami tidak pernah sunyi. Ada-ada saja perkara yang meriuhkan, dengan anak-anak seramai lima orang yang berlainan peringkat usia - remaja, kanak-kanak dan bayi maka pastinya keceriaan dimana-mana. Ditambah pula dengan tetamu yang berkunjung nak tengok baby baru. Bermula dari hospital hinggalah ke rumah malahan saban minggu rumah kami pasti ada saja tetamu. Dari sanak saudara dan rakan taulan yang pastinya memberi makna yang sangat besar pada keluarga kami.

Saturday 17 February 2018

Selamat Hari Lahir Afrina

Usia Nina genap lapan tahun pada 16 Feb. Tiada apa-apa memandangkan aku dalam pantang. Nina pula agak emosi kerana ulang tahun kelahirannya tidak ada sebarang sambutan sedangkan kebiasaannya ada saja apa-apa. Kali ini kami tangguhkan dulu, tunggu aku benar-benar sihat dan kami akan meraikannya.

Sunday 21 January 2018

Kelahiran Nur Amani, Anak kelima

Menantikan kelahiran anak kelima ini bagaikan menunggu durian gugur. Memang aku mengambil cuti dua minggu lebih awal dari jangkaan kelahiran namun kemudiannya tanda-tanda untuk bersalin tidak ada sehinggakan usia kandunganku 40 minggu. Dari sehari ke sehari kemunculan orang baru ditunggu-tunggu, bukan sahaja kerana tidak sabar untuk melihat wajahnya tetapi juga kerana anak-anak dan Mr Hubby ingin pulang ke kampung untuk majlis kenduri Angah pada 19 Januari.

Friday 12 January 2018

Hamil Empat Orang Anak... Menungu Yang Kelima

Bagaimana rasanya hamil pada usia yang macam-macam... 20-an, 30-an dan menjengah 40 tahun? Jawapannya bergantung pada kesihatan dan tubuh badan sesorang itu. Untuk aku, syukur alhamdulillah sepanjang kehamilan tidak merasai sebarang kesulitan malah kesihatan juga tidak ada apa-apa masalah. Ya, pemakanan perlu dikawal apatah lagi aku penggemar makanan manis, cendol, aiskrim, minuman bercoklat, float  dan macam-macam lagi. Nasib baik hanya terjebak sekejap dan tak melarat sehinggakan menyebabka paras gula dalam darah aku tinggi yang tentunya boleh menyebabkan kencing manis.

Tak dinafikan, rasa takut tetap ada. Gementer menantikan hari bersalin... entah bagaimana pula keadaannya memandangkan empat orang anak terdahulu mempunyai pengalaman yang berbeza-beza.

Wednesday 10 January 2018

Kandungan bermasalah... bakal dibedah?

Aduhai, terasa nak luruh jantung apabila Dr Asmah Yun memberitahu baby dalam kandunganku tidak berada dalam keadaan yang betul. Walaupun kandungan sudah melewati 37 minggu tetapi kedudukan bayi masih senget, tidak berada pada laluannya di pintu rahim. Kenapa keadaannya begitu? Doktor scan lagi, kali ini dengan teliti dan disekitar dinding rahim. Rupanya ada fibroid dekat pintu rahim yang menghalang kepala bayi untuk turun dan menyentuh pintu rahim. Fibroid tak besar, sekitar lapan cm sahaja tetapi sudah cukup untuk menggangu bayi daripada berada pada kedudukan yang sepatutnya.

Sunday 7 January 2018

Amira 13 Tahun, Sudah Remaja

Tarikh 7 Januari adalah tarikh lahir Amira. Genap usianya 13 tahun yang menandakan dia sudah memasuki alam remaja. Tingkahnya semakin matang, perwatakannya juga sudah jauh meninggalkan dunia keanak-anakan. Dia bukan lagi anak kecil yang pemalu atau bersifat pesimis sebaliknya Amira hari ini penuh dengan rasa kebertanggungjawaban, sebagai anak, sebagai kakak dan juga kepada rakan-rakannya. Tegas dan positif... tapi garang....

Thursday 4 January 2018

Amira: Rawatan Rheumatic Usia Remaja

Hari ini pertama kali temujanji Amira untuk rawatan susulan rheumatic fever dibahagian dewasa. Dalam usianya memasuki 13 tahun dia bukan lagi kanak-kanak yang dirujuk di pediatrik tetapi telah dipindahkan ke bahagian perubatan, sesuailah dengan fizikalnya yang sudah menyamai orang dewasa biarpun baru memasuki usia remaja.

Sebelum pertemuan ini, pemeriksaan darah telah dilakukan kepada Amira. Mr Hubby yang menemaninya namun dalam pertemuan dengan doktor, aku bersama sekali. Doktor Abdul Muiz yang melayani Amira amat prihatin, pemeriksaan secara detail dilakukan. Rekod kesihatannya sejak empat tahun yang lalui diteliti, dari mula-mula Amira mendapat serangan rheumatic hinggalah yang terbaru pada November lalu. Pemeriksaan fizikal juga dibuat. 

Tuesday 2 January 2018

Alam Persekolahan 2018

Sesi persekolahan 2018. Semuanya baru, anak-anak dengan suasana yang berbeza. Amira sudah memasuki sekolah menengah dengan belajar di tingkatan 1 SMKS4BK, sementara Ameer di darjah empat dan Nina darjah 2. Kali ini perubahan sesi berlaku, Amira akan bersama Nina pada sesi petang sementara Ameer bersekolah kebangsaan pada sesi pagi.

Bagi Amira perbezaan yang sangat ketara antara sekolah rendah dan sekolah menengah apatah lagi sekitar 70 peratus pelajar di sekolah terbabit adalah berbangsa asing yang majoritinya Cina selain India dan lain-lain bangsa. Dalam kelas Amira yang melebihi 40 orang pun hanya ada sembilan orang Melayu. Hurm... satu persaingan yang berat buat Amira dan dia perlu menyesuaikan diri dengan keadaan setempat.

Monday 1 January 2018

Selamat Tahun Baru 2018

Selamat Datang Tahun 2018, selamat tinggal 2017. Kehadiran tahun baru yang menandakan bermulanya kehidupan baru, sesi baru dalam rutin seharian dengan anak-anak dan keluarga yang semakin membesar. Dalam menggamit tahun baru, aku menoleh kebelakang, meninjau sepanjang perjalanan 2017. Banyaknya cabaran dan halangan yang tentunya tidak mungkin dapat diulang kembali. Pastinya, pemergian bapak yang berada dalam pengawasanku terlalu amat dirasai. Suatu kehilangan yang sudah pasti akan berlaku pada semua insan, malah diriku sendiri yang entah bila penghujung usianya. Allahuakhbar. Kebesaran-Mu melangkaui segala-galanya.
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers